Siapa tak kenal Britney Spears? Melonjak mendadak popularitinya sejak 1998 dan terus dikenali sehingga kini, dia adalah antara artis pop yang berjaya kekalkan namanya walaupun dipalit dengan pelbagai kontroversi. Britney Spears mula naik nama semasa dia baru berumur 16 tahun, dan tahun demi tahun, lagu-lagu dendangannya sangat laku dalam kalangan pendengarnya. Apa saja perkembangannya, pasti akan dilaporkan media. Bahkan, dia seringkali terpaksa larikan diri daripada paparazi terutamanya yang rajin sangat nak kejar cerita tentang Britney. Takde cerita, diorang buatlah gosip hangat yang mungkin tak betul pun.
Namun begitu, pada 2007… dia mulai dibelenggu bermacam kontroversi. Akhirnya pada 2008 dan lepas berkali-kali masuk hospital, bapanya pulak nak jaga Britney Spears dan berjaya panjangkan tempoh tersebut dengan permohonan kepad mahkamah. Bertahun-tahun lepas tu, rupanya Britney mogok dan tak lagi bahagia ‘dipelihara’ oleh bapanya. Ramai peminatnya mulai percaya bahawa Britney ditindas dan perlukan bantuan diorang… dan bermulalah kempen meluas #FreeBritney.
Britney Spears mula ‘hilang akal’ sejak 2007 lepas bercerai, bapanya nak jadi hero untuk jaga Britney dalam sistem jagaan
Kesihatan mental Britney Spears mulai terganggu dan terkesan teruk akibat tekanan media dan keruntuhan rumah tangganya. Pada 2007, kisah peribadi berkaitan rumah tangganya jadi bualan hangat sedunia iaitu apabila dia bercerai dengan Kevin Federline. Diorang mula bersama sejak 2004, dan hanya tiga bulan bercinta, diorang kahwin terus pada tahun yang sama.
Pada ketika tu, kisah Federline-Spears ni jadi tumpuan sebab Federline dikatakan sanggup tinggalkan bekas tunangnya yang tengah hamil anak diorang dan selalu dilabelkan ‘pisau cukur’ kerana nakkan harta Spears. Namun pada 2006, Spears failkan perceraian dan bergelut untuk rebut hak penjagaan dua orang anaknya semasa diorang masih bersama sebagai suami isteri.
Pada 2007, mahkamah memutuskan bahawa Federline dapat hak penjagaan anak-anak diorang. Spears tak puas hati dan tertekan sehinggakan pada 2008, Spears kunci dirinya bersama anak kecilnya, Jayden kerana tak dapat terima hakikat bahawa dia tak dapat hak penjagaan. Pihak polis terpaksa dipanggil dan Spears diusung ke hospital, lalu didapati dia di bawah pengaruh bahan yang tak dikenalpasti.
Oleh sebab tu, Federlinelah yang diberikan hak penjagaan penuh anak-anak diorang. Susulan kesihatan mental Spears yang semakin merosot, bapanya James Spears buat petisyen kepada mahkamah Los Angeles untuk letak anaknya di bawah sistem penjagaan sementara. James Spears diberikan kuasa untuk menguruskan kehidupan Britney termasuklah dalam kerjaya, hartanah dan hal ehwal kewangan. Sistem jagaan tersebut dipanjangkan tempohnya pada tahun yang sama.
Latar belakang James Spears pun taklah cemerlang, gemilang dan terbilang mana sehinggakan dia rasa nak jadi hero kepada Britney Spears. Dia sendiri pernah bergelut dengan ketagihan alkohol hingga dikatakan jadi kuat marah disebabkan arak. Ibu Britney, Lynne Irene pernah minta perintah sekatan sementara ke atas James Spears kerana takut bakal diapa-apakan lepas dia minta cerai khususnya lepas dia ada minum arak. James jugak terpaksa masuk ke dalam pusat pemulihan akibat ketagihan alkohol pada 2004.
Britney dah lama taknak bapanya terus uruskan hidupnya, taknak kembali ke pentas semula selagi di bawah kawalan
Rezeki Britney Spears masih lagi tak terputus-putus. Nama dan popularitinya masih lagi gagah, dan kembalinya semula Britney ke persada muzik sedikit sebanyak melegakan ramai peminatnya. Walaupun tak sehangat dulu, Britney kekal relevan meskipun kalau korang perasan, lagu-lagu 2000-annya masih lagi mendominasi dunia hiburan. Mungkin ada sedikit elemen nostalgik dalam lagu-lagu lamanya, sehinggakan lebih ramai peminat baharunya mengenal lagu lamanya berbanding lagu baharunya. Kadangkala ada jugak yang ‘tertangkap’ Britney mengalunkan lagu-lagu lamanya hanya dengan lip-syncing seolah-olah Britney macam dah kebosanan nyanyi lagu yang sama je bertahun lamanya.
Pada 2013, imej Britney Spears semakin baik dengan pelancaran album ketujuhnya dan beberapa kemunculan di televisyen. Pada tahun yang sama jugak, dia memulakan residensi konsert di Las Vegas selama empat tahun. Ingatkan tu je kesudahannya dan semuanya baik-baik je dengan Britney Spears. Pada 2019, Britney umumkan hiatus dan batalkan konsertnya kat Las Vegas selepas bapanya sakit.
Pada Mac 2019, sebuah mesej suara yang didakwa datangnya daripada bekas anggota perundangan Spears tular. Diorang kata bapanya yang batalkan konsert tersebut lepas Britney taknak ambil ubatnya lagi, dan bapanya yang paksa dia masuk ke dalam pusat pemulihan sejak Januari tahun tersebut lepas dia langgar syarat tak boleh memandu. Britney jugak didakwa memang dah lama tak puas hati sebab sepatutnya, sistem jagaan tersebut tamat tempoh 10 tahun lalu.
Hanya ketika bapanya sakit tu, barulah Britney ada sedikit berani untuk suarakan ketidakpuashatiannya. Tambah lagi, dah ramai orang perasan bahawa Britney seolah ‘minta tolong’ kepada para peminatnya. BBC laporkan, ramai peminatnya perasan Britney seolah memberi tanda-tanda tersebut iaitu dengan cara hantar kod yang ada maksud tertentu. Contohnya, ada peminat minta dia pakai pakaian berwarna kuning sekiranya dia betul-betul perlukan bantuan dalam hantaran Instagram seterusnya. Dalam hantaran swafotonya lepas komen tersebut, Britney betul-betul pakai baju warna kuning. Sama ada tu suatu kebetulan atau disengajakan, hal ni menguatkan lagi keyakinan para peminatnya bahawa Britney perlukan bantuan dan sokongan.
Pada tahun 2020, kempen #FreeBritney mendapat perhatian ramai. Bukan tu je, ramai artis terkemuka seperti Cher, Paris Hilton, Bette Midler, Miley Cyrus menyatakan sokongan diorang kepada kempen tersebut. Tambah lagi, Federline terpaksa minta perintah sekatan ke atas James selepas dikatakan berlaku pertengkaran fizikal antara anak Federline-Spears dengan James.
Boleh jadi jugak, anak Britney Spears tak puas hati dengan tindakan datuknya yang masih nak kawal ibunya, Britney. Meskipun Britney Spears pada 2020 masih berdiam diri, bapanya berusaha sehabis baik untuk menidakkan berlakunya ‘penindasan’ ke atas Britney. Bila bapanya dah sakit, barulah Britney mintak peguamnya untuk adakan sesi pendengaran terus kepada mahkamah tentang sistem jagaannya sekarang.
Kaya tak bermakna bahagia, Britney dakwa sistem tersebut menindasnya sehingga terpaksa diberikan lithium untuk kawal dirinya
Britney Spears mungkin dah lebih kaya dari dulu, tetapi dia tak bahagia. Pada tahun ni, Britney dah bersuara selepas sekian lama memendam rasa dan pengalamannya ‘dikendalikan’ seperti anak kecil sementara bapanya terus memperlakukannya seperti sebuah produk dan bukanlah sorang anak, atau manusia. Mengikut laporan CNN Entertainment, Britney sendiri menceritakan pengalamannya ‘dikendalikan’ oleh kumpulan pengurusan bapanya, yang mana dia langsung tak boleh buat apa-apa untuk dirinya.
https://www.youtube.com/watch?v=iVrhKBhMrEI
Nak berpasangan pun tak boleh, berkahwin pun tak dibenarkan, apatah lagi nak bina sebuah keluarga bersama kekasihnya sekarang, Sam Asghari. Dalam sesi pendengarannya, dia luahkan kisahnya selama 13 tahun di bawah sistem jagaan tersebut. Katanya, dia sentiasa rasa lemah tak bermaya dan selalu dipaksa ambil lithium. Dia kata dia rasa takut, dan semasa dia disuruh makan ubat ni, sekurangnya enam jururawat berbeza datang ke rumah untuk tengok kesihatannya.
Susulan sesi pendengaran awam tu, lebih ramai artis terkemuka sokong Britney Spears seperti Justin Timberlake, Madonna, Christina Aguilera, Brandy dan Mariah Carey. Firma pengurusan kewangan, Bessemer Trust pulak nak minta tarik diri daripada uruskan harta Spears bernilai $60 juta kerana ingatkan bahawa 13 tahun lalu, ikatan kontrak Spears dengan diorang dilakukan secara sukarela. Bila dah sampai macam ni, diorang nak tarik diri. Banyak peguam diorang tarik diri lepas tu, lagi-lagi selepas Britney secara terbuka nak pilih barisan peguamnya sendiri. Para peguam ni semuanya diuruskan oleh bapanya dulu, jadi sekarang diorang taknak masuk campur dah.
Sekarang ni Britney tak lagi fokus dengan kerjayanya, dan bapanya. Kini, dia fokus nak lawan kes untuk lawan sistem jagaannya sendiri. Kalau boleh, dia nak keluar dari sistem jagaan tersebut dan berharap kerajaan menilai semula bagaimana sistem jagaan ni boleh dijadikan sebagai suatu mekanisme penindasan kepada orang lain. Sekurang-kurangnya Britney ni kaya harta, dan popular. Satu dunia datang menyokongnya dalam usaha melawan sistem jagaan yang dulunya diharapkan boleh lindungi Britney. Sistem jagaan yang bermasalah ni mungkin tengah mencengkam ramai lagi yang senasib dengan Britney, dan itulah kekuatan luar biasa yang akhirnya boleh mengubah sistem jagaan tersebut.