Kisah Dan Price, seorang CEO yang memotong gajinya sendiri untuk kebajikan pekerja

F11

Korang boleh bayangkan tak kalau CEO syarikat yang korang tengah kerja tu dapat gaji yang lebih rendah dari korang? Dengar macam tak masuk akal je kan, namun tu lah yang pernah berlaku dulu pada 2015. Sorang CEO ambil keputusan untuk potong gajinya sendiri supaya para pekerja di bawahnya tu dapat gaji wajar pada abad ke-21 ni. Ramai orang rasa tu kerja gila, dan melihat syarikatnya tu mesti akan rugi teruk nanti.

728 X 90

Jangkaan tu meleset sekali. Malah, syarikat tersebut hidup subur je lagi walaupun dicabar teruk sekali lagi dengan pandemik tahun ni. 5 tahun berdiri sebagai sebuah syarikat yang mendahulukan pekerja; bagaimana pula situasi mereka tatkala merundumnya kewangan syarikat? Sekali lagi, CEO tersebut ambil tindakan gila…

Dan Price
Ni lah rupa CEO gila tu… Via Inside Hook

Lepas dengar luahan pekerja, Dan Price beranikan diri potong gaji sendiri supaya pekerjanya dapat gaji minimum lebih tinggi dari CEO

Kisah ni berlaku tak lama dahulu. Sorang CEO bernama Dan Price memulakan sebuah perniagaan perkhidmatan kad kredit Gravity Payments bersama abangnya, Lucas Price pada 2004. Sejak tu, syarikat tersebut akhirnya membangun pesat. Dan Price selaku CEO syarikat tu pulak sentiasa berfikiran bahawa syarikatnya tu baik dengan para pekerja.

Sehinggalah pada suatu hari, dia terserempak dengan sorang pekerjanya bernama Haley pada 2011. Masa tu, Haley ni nampak murung je… memandangkan dia rasa dia sorang bos yang baik, dia tegurlah nak tanya khabar. Tiba-tiba Haley tu kata sebenarnya pihak atasan (termasuk Dan Price) tu sebenarnya dah menipu para pekerjanya sebab gaji mereka sebenarnya jauh lebih rendah dari apa yang sepatutnya mereka dapat.

Dan Price Gravity Payment
Ni lah Dan Price, CEO Gravity Payment… Via Entreprenuer

Dan Price masa tu memang terkejut beruk, lalu dia mintalah Haley ni paparkan bukti. Katanya lagi, gaji yang mereka bagi kepada para pekerja syarikat tu memang gaji dalam pasaran industri tu. Haley tepis permintaan Dan Price dan sambung lagi;

“Saya tahu niat kamu buruk. Kamu berbangga mengenai betapa berdisiplinnya kamu tentang kewangan, tapi tu hanya menyebabkan saya tak dapat sara diri saya ke arah kehidupan yang selesa”-seperti yang dipetik Inc.com

Kat beberapa negara termasuklah Amerika Syarikat, mereka biasanya kira gaji berdasarkan tahunan. Haley ni secara kumulatifnya hanya menerima kira-kira $35,000 setahun, jadi sebulan tu gaji Haley hanya $2,916.66. Selama 3 hari tu, Dan Price takde mood nak layan orang sebab kembali teringatkan perbualan mereka tu.

Dan Price Laptop
Via The New York Times

Kisah pendek tu mengubah pandang hidupnya pasal gaji di syarikatnya. Selama ni, dia ingatkan dia dah cukup baik dan membawa perubahan besar kepada orang lain. Ye lah, penubuhan syarikatnya sendiri pun berasaskan idea yang hampir sama, iaitu mereka buat sistem yang lebih baik dan lebih murah untuk menjimatkan caj perkhidmatan kepada para peniaga kecil setiap kali para pelanggan nak bayar guna kad kredit.

Untuk pengetahuan korang, kami pun dah pernah sentuh pasal ni. Visa dan Mastercard akan caj kat para peniaga tu untuk setiap transaksi kad, tapi kerapkali para peniaga tu akan ‘pindahkan’ caj tu kepada para pelanggan supaya peniaga tak rugi banyak untuk bayar caj proses transaksi tersebut. Oleh demikian, syarikat Dan Price ni buatkan para peniaga di Amerika Syarikat ni tak rugi banyaklah gitu… Maksudnya syarikatnya ni pun penting dan laris jugak sebagai pilihan orang yang nak cari kerja dan pelanggan yang nak guna servis mereka.

Gravity Payment
Via Forbes

Bila fikir lama, Dan Price rasa apa yang dikatakan oleh Haley tu ada benarnya- dulu masa nak selamatkan syarikatnya pada waktu Great Recession 2008, simpanan kewangan amat penting untuk CEO ni agar boleh bantu tampung operasi syarikat. Tapi tu dah lama berlalu… akhirnya pada 2015, dia putuskan untuk potong gajinya sebanyak 1.1 juta dollar setahun menjadi $54,000 setahun manakala para pekerjanya dapat minimum $70,000 setahun.

Ramai rasa syarikat tu akan gagal terutamanya masa pandemik, tapi Dan Price pun ada cara lain nak terus hidupkan syarikatnya

Ketika idea Dan Price nak kurangkan gajinya sendiri dengan beri pekerja gaji yang lebih tinggi, ramai agak syarikat dia ni mesti akan hadapi masalah kewangan tak lama lagi. Lebih jauh, siap ada lagi yang maki dan melabelkannya sebagai sorang “sosialis”, serta usaha ni cuma gimik nak tarik perhatian je. Walau apapun yang dikatakan ramai, Dan Price nampak tenang je.

Tak kurang jugak orang yang bangga dengan usahanya dan puji keteguhan Dan Price yang tekad nak potong gaji sendiri. Ni suatu yang menarik bagi kami, sebab respon negatif yang diterimanya menunjukkan bahawa ramai masih rasa para pekerja ni tak patut diberi gaji tinggi berbanding dengan pihak atasan. Ada yang turut merasakan apa-apa peningkatan gaji ni akan membawa kepada masalah ekonomi sesebuah syarikat.

Ceo Dan Price Best Bos
Via GeekWire

Eksperimen Dan Price ni memecahkan jangkaan mereka, apabila keuntungan yang dicatatkan oleh syarikat mereka melangkaui ‘kerugian’ mereka bayar para pekerja mereka dengan gaji minimum yang selayaknya tinggi. Pandemik kemudiannya banyak mengugat kestabilan dan kelangsungan sesebuah syarikat, bahkan syarikat Gravity Payment pun terpaksa memikirkan cara untuk tak buang orang dan tutup perniagaan sebagaimana yang dah berlaku dalam ratusan syarikat di sana.

Cara pertama yang berada dalam senarai adalah buang pekerja. Cara kedua pulak adalah kurangkan gaji pekerja. Cara ketiga ni yang menaikkan lagi imej Dan Price, dan suatu benda yang jarang dilakukan oleh majikan – tanya apa pendapat para pekerjanya. Biasanya kita selalu dengar, majikan yang buat keputusan sendiri sebab ye lah, mereka yang lebih tau tentang ‘kesihatan’ kewangan syarikat mereka. Tak bagi Dan Price; dia rasa para pekerja turut layak bersuara sebab dah jadi sebahagian daripada syarikat tersebut.

Gravity People Work
Via TLNT.com

Oleh disebabkan tu, dia menerima pelbagai jawapan dan rata-ratanya secara sukarela nak tolak gaji mereka daripada purata 5% hingga 50% daripada jumlah gaji yang sepatutnya diterima. Ada jugak yang nak bagi keseluruhan gaji mereka, tapi Price sendiri mengehadkan purata sumbangan gaji tu kepada 50% je supaya nampak adil kepada syarikat dan 200 pekerja yang berada di bawahnya.

Gaji CEO di Malaysia terlalu tinggi, manakala gaji pekerja pulak masih terlalu rendah

Bila bercakap pasal gaji ni… fikiran kami menerawang semula kembali ke Malaysia. Dah muak sebenarnya kita dengar dan baca senarai CEO yang dapat gaji paling tinggi di Malaysia ni, sebab apa je manfaat nak tau fakta ni untuk marhaen? Yang kaya akan tetap kaya, dan yang kerja biasa tu terpaksalah pandai-pandai membawa diri nak cari makan sehingga dulu, dipopularkan kempen ada 2-3 kerja tambahan untuk ‘tambah pendapatan’.

Ahmad Maslan 2 3 Kerja
Via Mstar

Sebenarnya masalah terbesar kita adalah gaji. Perkara ni dibawakan sendiri oleh Dr. Muhammed Abdul Khalid pada tahun lalu, dia kata gaji CEO di Malaysia ni terlalu tinggi. Bahkan, gaji eksekutif di Malaysia ni jauh lebih tinggi daripada eksekutif di Hong Kong atau Singapura. Lebih teruk, ada syarikat yang sengaja bayar gaji tinggi kepada CEO ni walhal keuntungan syarikat sebenarnya biasa-biasa je.

“Lebih baik jika wang tersebut kita gunakan untuk membayar jururawat-jururawat, tentera atau pekerja-pekerja bergaji rendah. Dari segi justifikasi ekonomi, itu lebih baik. Seringgit yang diberikan kepada kumpulan berpendapatan rendah adalah lebih baik kepada pertumbuhan ekonomi berbanding seringgit yang diberikan kepada CEO. Ini kerana golongan berpendapatan rendah akan berbelanja dengan menggunakan wang tersebut, sekali gus meningkatkan penggunaan domestik berbanding wang yang diberikan kepada CEO. Mereka akan pergi UK (untuk bercuti atau membeli-belah) atau mereka akan menyimpan.”- Seperti yang dilaporkan Malaysia Gazette

London Branded Raya Vip1
Via H.I.S Travel

Golongan eksekutif ni jugak didapati akan lebih banyak berbelanja di luar negara berbanding dalam negara, jadi sebenarnya wang lebih di tangan orang miskin jauh lebih efektif untuk menjana ekonomi negara. Sehubungan tu jugaklah, kami pun dah kupas soal gaji pekerja ni. Semasa hangat lagi perbincangan pasal gaji minimum dulu, kami dah sebutkan dulu idea pengenalan gaji kehidupan atau gaji wajar kepada para pekerja.

Mungkinkah suatu hari nanti, bakal terwujudnya Dan Price yang sanggup memotong gajinya sendiri agar gaji minimum para pekerjanya dah melebihi gaji biasa yang diterimanya? Tak dinafikan, ramai dah terlalu biasa hidup bergaji rendah sehinggakan bila orang nak bagi peluang gaji tinggi, kita taknak sebab “takut rugikan negara”. Perkara ni suatu kemenangan kepada kapitalis, bukan kepada golongan miskin dan ironinya, lebih rugikan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *