Britain ada kucing rasmi negara, Malaysia bila lagi?

Kucing sangat terkenal sebagai haiwan yang disayangi dan menjadi simbol tertentu kepada beberapa tamadun. Malahan, Islam sendiri sangat menganjurkan umatnya agar menyantuni serta kasihkan binatang. Nabi Muhammad SAW memberi gelaran ‘Abu Hurairah’ (Bapa Kucing) kepada sahabat Baginda, bernama Abdul Rahman bin Sakhr yang sangat menyantuni anak kucing, malah meletakkannya dalam lengan jubahnya yang besar.

Kucing mantan PM. Via Astro Awani

Lima ekor kucing di beri kedudukan istimewa di Britain

Di Britain, kucing juga mempunyai kedudukan yang istimewa. Bukan satu atau dua, tapi kini ada lima ekor kucing diberikan kedudukan istimewa di Kediaman Rasmi Perdana Menteri United Kingdom. Pejabat Kabinet Britain mengesahkan bahawa mereka mengambil seekor kucing berwarna hitam dan putih bernama ‘Evie’ dan seekor lagi bernama ‘Ossie’ untuk menyelesaikan masalah tikus di pejabat tersebut.

Tiga lagi kucing di sana adalah ‘Gladstone’ yang bertugas di Pejabat Perbendaharaan, ‘Palmerston’ di Pejabat Kementerian Luar, dan ‘Larry’ di Pejabat Perdana Menteri. Haiwan peliharaan paling pelik dalam kalangan Menteri di Britain pastinya milik Gavin Williamson iaitu seekor labah-labah tarantula, ‘Cronus’, yang disimpan di mejanya.

Comel! Via BBC News

‘Evie’ adalah seekor kucing betina yang tinggal di Pejabat Kabinet Britain secara tiba-tiba menjadi perhatian, selepas dinaikkan pangkat menjadi ahli baru Unit Kesaksamaan Jantina Britain baru-baru ini. Setiausaha Pembangunan Antarabangsa Britain, Penny Mordaunt menyebut bahawa perlantikan itu adalah bagi mengimbangi populariti tiga lagi kucing jantan iaitu Palmerston, Larry dan Gladstone.

Kucing jadi pekerja Pejabat Hal Ehwal Britain

Pada April 2016, Pejabat Hal Ehwal Luar Britain telah menggajikan ‘pekerja’ baharu mereka, iaitu seekor kucing, untuk tugas khas membasmi ancaman tikus. Kucing yang diberi nama sebagai Palmerston itu ‘diambil bekerja’ untuk menangani masalah tikus di bangunan pejabat tersebut di kawasan Whitehall. Apa yang menarik adalah, Palmerston turut tinggal dalam bangunan tersebut yang terletak di kawasan cukup terkenal di ibu kota Britain, tempat rasmi kebanyakan menteri dan diplomat kerajaan bertugas.

Peranan ‘Mouser’ (pemburu tikus) dipercayai bermula pada pemerintahan Raja Henry IIX pada abad ke-16, yang melantik Thomas Wolsey sebagai Lord Chancellor pada tahun 1515. Wolsey adalah seorang pencinta kucing yang terkenal dan dikatakan sentiasa membawa seekor kucing di sampingnya.

Menurut rekod, Perbendaharaan England pada 1929 membenarkan sejumlah peruntukan dana untuk ‘penyelenggaraan kucing yang cekap’. Kemudiannya, menjadi kebiasaan untuk kucing berkhidmat kepada pelbagai Perdana Menteri. Contohnya, kucing bernama ‘Peter III’ berkhidmat sebagai ‘Ketua Mouser’ dari 1946-1964 di bawah Perdana Menteri Clement Attlee, Winston Churchill, Anthony Eden, Harold Macmillan, dan Alec Douglas-Home.

Kucing ada 245,000 pengikut twitter

Ketika David Cameron mengambil alih jawatan pada 2010, 10 Downing Street sebenarnya tidak mempunyai Ketua Mouser kerana Mouser sebelum ini, ‘Sybil’, telah bersara pada 2009 yang dikatakan kerana Perdana Menteri, Gordon Brown, tidak menyukainya. Namun, pemilihan Ketua Mouser ini juga dikatakan berkait dengan lobi daripada sekelompok kumpulan pro-kucing.

‘Larry the Cat’ dianggap sebagai Mouser terbaik setakat ini. Larry juga mempunyai akaun Twitter bukan rasmi, yang kini mempunyai 245,000 pengikut. Namun, Palmerston yang menangkap puluhan tikus sejak kehadirannya pada 2016, menggugat kedudukan Larry, yang mula berkhidmat sejak 2011.

Malah, ‘perkelahian’ Larry dan Palmerston juga pernah disiarkan secara langsung di stesen televisyen Britain. Walaupun ia bukanlah Ketua Mouser yang sangat berkesan, ia sangat disukai dan disenangi oleh para tetamu yang mengunjungi pejabatnya. Gelaran penuhnya adalah ‘Ketua Mouser ke Pejabat Kabinet Kerajaan Inggeris Great Britain dan Ireland Utara’.

Hai saya Larry. Via Wikipedia

Uniknya, Larry sangat peramah ketika menerima kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, namun menghalang Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu daripada memasuki 10 Downing Street, sehingga akhirnya terpaksa disepak oleh seorang pegawai polis supaya menteri itu boleh masuk.

Larry turut menghadiri pelbagai acara kebajikan dan amal bagi pihak kerajaan dalam kapasiti rasmi. Seekor lagi kucing yang mahir dan menjadi pesaing Larry adalah kucing betina bernama Freya. Kemudian, Freya dan Larry sama-sama berkongsi jawatan sebagai Ketua Mouser sehingga 2014.

Via Tenor

Walaupun ramai pendahulu Larry mempunyai kos pemeliharaan mereka yang diambil oleh pembayar cukai, kakitangan 10 Downing Street sebenarnya membayar penjagaan Larry dan kucing-kucing lain daripada poket mereka sendiri, malah mengadakan program mengumpul dana untuk membelikannya makanan dan mainan. Pejabat Ehwal Luar Britain bahkan memberi jaminan bahawa ‘menggajikan’ kucing tersebut tidak akan membebankan pembayar cukai.

Mungkin Malaysia patut ada kucing macam ni

Di Malaysia, selain Datuk Seri Najib Razak yang sering memuatnaik gambar mesra bersama kucingnya, Tun Dr. Mahathir juga sebenarnya sangat menyayangi kucing. Cuma, agak lucu bila Tun pernah menjawab satu teka-teki dalam temubual santai berkenaan ‘haiwan mana yang paling kedekut?’.

Sambil tercari-cari jawapan, beliau memberi jawapan dengan yakin – “Kucing!”. Kita pun tak pasti macam mana keadaan tikus di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. Tapi, mungkin Tun pun boleh mengambil kucing rasmi untuk menangkap tikus di sana, jika ada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *