Kentucky Fried Chicken (KFC) terkenal di serata dunia. Dari pengasasnya yang ikonik sehinggalah ayam gorengnya yang diadun dengan rempah rahsia, hampir semua lapisan masyarakat tahu tentangnya. Dengan rambut, misai dan janggut berwarna putih, berkaca mata, dan memakai bow tie hitam, selain berpakaian sut putih, logo ‘Atuk KFC’ pastinya dikenali ramai. Terdapat beberapa fakta sejarah KFC yang jarang diketahui oleh rakyat Malaysia.
Restoran francais ni diasaskan oleh Colonel Harland D. Sanders, yang lahir pada 9 September 1890. Ketika berumur 6 tahun, ayahnya telah meninggal dunia dan Colonel Sanders mengambil alih tugas memasak untuk keluarganya, manakala ibunya keluar bekerja.
Sejarah ringkas KFC, Colonel Sanders temui adunan 11 rempah rahsia ayam gorengnya
Sekitar tahun 1930an, Colonel Sanders telah lakukan banyak pekerjaan sebelum dia mula memasak untuk para pengembara yang kelaparan di pusat servisnya di Corbin, Kentucky. Ayam gorengnya sedap dan digemari ramai. Dia kemudiannya membuka satu restoran di sepanjang jalan Corbin. Ketika berusia 50 tahun, Colonel Sanders berjaya menemui adunan 11 rempah rahsia ayam gorengnya: bersama 11 herba dan rempah ratus dan kemudian memasaknya dengan teknik ‘pressure-cooked’.
Kemudian, pada sekitar tahun 1950an, dia mengembara ke seluruh Amerika dan Kanada dengan menggunakan kereta. Dia bergerak dari restoran ke restoran untuk mengembangkan perniagaan ayam gorengnya. Colonel Sanders asalnya adalah seorang pengurus stesen minyak, Restoran KFC pertama dibuka di luar stesen tu dinamakan sebagai ‘Sanders Court & Café’. Dia pernah bekerja sebagai buruh dan konduktor trem, sebelum bekerja untuk perusahaan kereta api. Pada 1935, Gabenor Kentucky, Ruby Laffoon memberikan gelaran ‘Colonel’ kepada Sanders, kerana ayam goreng masakannya menjadi sangat popular di sana.
Pada tahun 1952, francais KFC yang pertama diasaskan di sebuah tempat yang dikenali sebagai South Salt Lake, Utah oleh Colonel Sanders dan Pete Harman. Kemudian, Sanders telah menjual keseluruhan francais KFC dengan nilai AS$2 juta pada tahun 1964. Sejak waktu itu, francais ini telah dijual sebanyak tiga kali lagi, termasuk kepada Nabisco pada 1982. Kini KFC dimiliki oleh Pepsico yang menjadikannya sebagai sebahagian daripada Tricon Global Restaurants, yang kini digelarkan Yum! Brands, Inc.
Ada mamat yang dapat makan KFC percuma selama setahun dengan menipu?
Baru-baru ni, tular di pelbagai media tentang berita kakitangan restoran makanan segera KFC di Afrika Selatan, telah ‘diperbodohkan’ oleh seorang pelajar sebuah universiti selama setahun lamanya, untuk mendapatkan set makanan percuma. Lelaki yang berusia 27 tahun itu dipercayai mengenakan sut kemas ala jutawan, dan tiba dengan menaiki kereta mewah limosin sebelum melangkah masuk dengan penuh keyakinan. Realitinya, kereta tersebut bukan miliknya, tetapi ia dipandu oleh kawannya yang bekerja sebagai pemandu limosin separuh masa.
Setiap kali dia menjejakkan kaki ke restoran itu, dia didakwa akan menunjukkan kad pengenalan diri ‘head office’ sebelum terus menuju ke dapur untuk melakukan pemeriksaan ke atas ayam yang sedang digoreng. Nama lelaki tersebut tidak didedahkan, namun laporan media tempatan mengatakan yang dia merupakan seorang pelajar di Universiti KwaZulu-Natal, Afrika Selatan.
Dia didakwa akan mengunjungi setiap cawangan KFC di Afrika Selatan dan setiap kali itu jugalah dia akan melakukan tindakan yang sama. Lelaki yang ‘terlebih’ akal itu juga memberitahu para pekerja yang dia dihantar oleh ibu pejabat KFC untuk memeriksa kualiti makanan yang dihidangkan.
Bagaimanapun, taktik yang dilakukan pelajar ini akhirnya ‘dihidu’. Menurut salah seorang pekerja di KFC, pelajar tu mungkin pernah bekerja di restoran itu kerana dia seakan faham dengan cara kerja di sana. Dia siap mengambil nota dan membuat pemeriksaan dengan teliti dan cukup yakin sebelum memesan sampel makanan yang dimahukannya. Berita tular itu kemudian menyatakan bahawa dia kemudiannya telah ditahan oleh pihak berkuasa.
Walaupun tindakannya tu salah, namun rata-rata warganet menganggapnya sebagai ‘hero’ kerana taktiknya yang tidak pernah terfikir dek akal itu.
Kenyataan rasmi balas daripada KFC, nampaknya benda tu tak betul
Ramai warganet yang percaya akan berita itu, dan mengangkat lelaki mitos itu sebagai wira. Ia mula menjadi tular apabila seorang wartawan Kenya berkongsi kicauan daripada satu akaun Twitter dengan nama ‘The African Voice’. Hantaran itu kemudian mendapat 22,000 ‘likes’ dan 10,000 ‘retweet’, yang melihat lelaki di dalam cerita itu sebagai sangat ‘cool’.
Namun, pihak KFC menyatakan bahawa kisah itu adalah tak betul dan pastinya akan menjadi epik, jika ianya adalah benar berlaku. Akaun Twitter rasmi KFC di Afrika Selatan mengesahkan bahawa:
“Kami akan memberikan dia semua ‘props’ jika ianya adalah benar tapi malangnya, ia adalah berita palsu.” Pengarah Hal-Ehwal Awam KFC Afrika, Thabisa Mkhwanazi turut mengesahkan bahawa ia adalah palsu, memandangkan KFC mematuhi proses operasi yang ketat.
Tatkala berita lelaki ‘hero’ itu bergentayangan ke seluruh alam, KFC tampil dengan kenyataan rasmi – menafikan cerita tersebut. Mereka menafikan berita itu, apalagi berita penangkapannya di Durban. Cerita ini menjadi tular selepas mendapat liputan meluas daripada media Afrika. Media antarabangsa lain seperti CBS di Amerika Syarikat dan The Daily Mail Online di United Kingdom, turut menyiarkan laporan tentang kes mamat yang didakwa makan KFC percuma selama setahun itu.
Selain meminta KFC mengambil lelaki itu sebagai pekerja, ada juga warganet yang menyatakan bahawa ianya adalah lucu. Kisah ini menjadi pengajaran kepada kita semua, bahawa tanpa mengira sebanyak mana pun sesuatu cerita itu disebar atau dikongsi, kita masih perlu menyemak dan mengkaji kesahihannya. Orang kita ni kadang-kala, asal kawan sendiri atau ada selebriti yang buat perkongsian, kita terus percaya tanpa melakukan kajian.
KFC pertama di Malaysia dibuka pada tahun 1972, sekarang dah ada 500 rangkaian di sekitar Malaysia
Di Malaysia, restoran KFC pertama dibuka di Jalan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1972. A&W adalah merupakan rantaian makanan segera yang pertama diperkenalkan di Malaysia iaitu pada tahun 1963. KFC hingga kini terdapat lebih kurang 500 rangkaian diseluruh Malaysia, Singapura dan Brunei serta terdapat 14,200 rangkaian KFC di seluruh dunia. Kini, terdapat lebih 500 cawangan KFC di seluruh negara dan berpuluh ribu lagi di seluruh dunia. Di Amerika sahaja, KFC dinikmati oleh 8 juta orang sehari, selain francaisnya sudah tersebar lebih daripada 80 negara di seluruh dunia.
Apa pun, KFC ada juga sumbangan kepada ekonomi negara, khususnya peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, khususnya yang baru habis zaman persekolahan, atau mahasiswa yang sedang bercuti semester. Cuma harapan kita, janganlah pula ada pelajar Malaysia yang cuba pandai-pandai nak berlakon jadi ‘bos’ KFC semata-mata nak makan percuma. Belum sempat tular, ke penjara pula destinasi tujuannya nanti. Sepandai-pandai tupai melompat, ke tanah jua jatuhnya. Berwaspadalah!