Sultan Kelantan cerai talak tiga? Ini yang berlaku jika mereka nak rujuk semula

Sultan

Baru-baru ni, teka-teki mengenai status perkahwinan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dengan wanita warga Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko akhirnya terjawab. Menerusi kenyataan peguam Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, Koh Tien Hua mengesahkan pasangan tu sah bercerai talak tiga pada 22 Jun lalu. Menurut Tien Hua, firma guaman Eversheds Harry Elias LLP yang berpangkalan di Singapura itu dah menghantar surat cerai talak tiga terbabit kepada pihak peguam Oksana.

“Dimaklumkan bahawa baginda telah bercerai talak tiga dengan Rihana Oxana Gorbatenko pada 22 Jun 2019 mengikut undang-undang Syariah dan Mahkamah Syariah Kelantan telah mengeluarkan Surat Perakuan Perceraian pada 1 Julai 2019 mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002,” – Peguam Sultan Muhammad V, seperti yang dilaporkan Astro Awani

Via Astro Awani

Sijil perceraian tu dipercayai didaftarkan 1 Julai lalu selepas proses perceraian Oksana, 26 tahun, bertarikh 22 Jun di Singapura. Sijil perceraian yang dilengkapi dengan nombor siri tu turut menyatakan perceraian itu sudah mendapat kelulusan daripada Mahkamah Syariah.

Perkahwinan cina buta, masih ada yang amalkan perkahwinan ni sebab nak rujuk dengan isteri lama…

Apabila benda ni terjadi, ramai gak yang tertanya-tanya kalau pasangan diraja ni nak rujuk, apa yang diorang kena lakukan? Hahhh…ni kami akan kongsikan – perkahwinan yang dimaksudkan tu menurut perundangan Islam adalah nikah muhallil. Dalam masyarakat kita, ia dikenali sebagai ‘kahwin cina buta’.

Perkataan muhallil adalah daripada kata dasar ‘halal’ iaitu maksudnya bagi menghalalkan suami pertama berkahwin semula dengan bekas isteri yang sudah ditalak tiga. Bagi mana-mana suami isteri yang sudah bercerai dengan talak tiga, hukum dan aturannya dijelaskan Allah SWT dalamSurah al-Baqarah, ayat 230 yang bermaksud;

“Sesudah (diceraikan dua kali) itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga perempuan itu berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau dia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis iddahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkan kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.”

Masalah ni berlaku sejak zaman Nabi SAW lagi. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: Isteri Rifa’ah pernah datang kepada Rasulullah lalu berkata: “Saya dulu pernah jadi isteri Rifa’ah kemudian saya ditalak. Talaknya kepada aku itu sudah tiga kali, lalu aku kahwin dengan Abdurrahman Ibnu Zubair, tetapi sayang dia ibarat hujung kain iaitu lemah syahwat.

Lalu Nabi pun tersenyum seraya bersabda: “Apakah kamu ingin kembali kepada Rifa’ah? Oh, tidak boleh, sebelum kamu benar-benar merasakan madu kecilnya Abdurrahman bin Zubair (bersetubuh) dan dia juga merasakan madu kecilmu.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis itu berkaitan kisah Aisyah binti Abdul Rahman yang diceraikan suaminya, Rifa’ah bin Wahab dengan talak tiga. Dia kemudian berkahwin pula dengan Abdul Rahman bin Zubir al-Qurazi. Malangnya dia turut diceraikan oleh suami keduanya itu.

Via Giphy

Setelah tu, dia datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, Ya Rasulullah, Dia (Abdul Rahman bin Zubair al-Quraizi) menceraikan aku sebelum menyentuhku (bersetubuh). Bolehkah aku kembali kepada bekas suamiku yang pertama? Baginda SAW menjawab tak boleh selagi tidak disentuh (bersetubuh dengan suami kedua).

Ada tiga pandangan popular tentang status akad nikah ‘cina buta’…

Ulama fiqah sepakat, sekiranya suami ceraikan isterinya dengan talak tiga, suami tak boleh merujuk kembali kepada bekas isterinya dan berkahwin yang diiktiraf syariat serta tujuannya kekal bukan perkahwinan yang dirancang (perkahwinan muhallil).

Hadis tu juga menyatakan perkahwinan dengan suami kedua hendaklah berlaku ‘dukhul’ iaitu jimak.  Kahwin cina buta batal dan tidak sah kerana laknat tidak akan dijatuhkan melainkan terhadap perbuatan yang tidak dibolehkan syarak. Bagi suami pertama, tidak halal kembali semula kepada bekas isterinya sekalipun ketika ijab kabul tidak dinyatakan sebagai kahwin cina buta, selagi didapati niat untuk berbuat demikian.

Pakar perundangan Islam membahagikan kes kahwin cina buta kepada beberapa keadaan:

1. Jika dinyatakan dalam majlis akad nikah syarat suami baru kena menceraikan isterinya bagi membolehkan wanita itu berkahwin semula dengan bekas suaminya yang menceraikannya dengan talak tiga, maka pernikahan itu tidak sah dan pihak yang terbabit berdosa.

2. Jika syarat itu dinyatakan sebelum majlis akad, lalu ketika akad nikah suami baru berniat ‘selepas berkahwin nanti dia akan menceraikan isterinya itu supaya dia boleh kembali semula berkahwin dengan bekas suami pertamanya, maka pakar berbeza pendapat.

Via Metro

Syarat berkenaan tidak ditetapkan, tetapi suami baru dengan rela hati berniat begitu. Pakar bermazhab Maliki dan Hanbali jelaskan, nikah itu tidak sah manakala menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Syafii, nikah itu sah kerana syarat itu tidak dinyatakan dalam majlis akad. Hujah mereka, niat suami baru tidak menjejaskan kesahan akad nikah itu dengan syarat segala rukun dan syarat nikah dipenuhi.

3. Jika isteri atau walinya berniat supaya suami baru menceraikan isteri itu supaya dia dapat kembali kepada suami pertamanya, maka akad nikah itu sah.

Apa-apa pun, kita doakan kesejahteraan Sultan Kelantan dan bekas isterinya

Kita pun tak tahu dan tak perlu tahu sebab apa pasangan diraja ni bercerai, itu adalah hal peribadi diorang. Apa yang penting, kita doakan supaya semuanya baik-baik saja, sebab kadang-kadang perceraian adalah jalan terbaik untuk manfaat kedua-dua individu.

 

Untuk maklumat hukum rujuk talak tiga, kami mengambil maklumat daripada laporan Metro yang bertajuk Mahu Rujuk Talak tiga. Suntingan dilakukan oleh Pasukan Editorial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *