Sejarah buktikan kerjasama masyarakat Islam dengan kaum lain perkuat ekonomi

Mm
Sejarah buktikan kerjasama masyarakat Islam dengan kaum lain perkuat ekonomi

Sekarang ni tengah kecoh pasal isu boikot barangan bukan Muslim atau utamakan produk Muslim. Benda ni dah berlaku sejak sebulan yang lepas kalau kami tak silap. Kami pun pernah tulis pasal beberapa pandangan individu terhadap kempen ni. Bukan ramai lagi orang kata kami ni pengkhianat bangsa Melayu sebab lakukan kritikan terhadap kempen tu.

Hari ni kami nak bawakan lagi sebuah pandangan yang bagus tentang isu boikot barangan non-Muslim ni, kali ni ia ditulis oleh seorang ahli Parlimen.

Rasulullah pernah beli gandum dari orang Yahudi, dan gadai perisainya

Lebih enam dekad selepas Merdeka, isu ekonomi Muslim-Bumiputera masih jadi polemik tak berkesudahan. Terbaru isu boikot barangan bukan Islam. Benda ni perlu dilihat dari sudut hujah, bukan emosi; fakta, bukan sentimen yang melulu.

Via TTKM

Ramai yang setuju ekonomi Muslim-Bumiputera tengah berhadapan dengan cabaran besar – tapi cabarannya lebih kompleks, ia tak boleh diselesaikan melalui isu boikot yang mungkin ada kesan lain yang tidak dirancang (unintended consequences).

Isu berjual-beli dengan bukan Islam ini bukan perkara baru, malah Rasulullah s.a.w. merupakan seorang saudagar, berjual-beli dengan masyarakat bukan Islam. Di Khaibar, selepas ditawan Rasulullah, orang Yahudi dibiarkan bercucuk-tanam di atas ladang di sana memandangkan kepakaran mereka dalam perkara tu.

Via Usahawan

Pada akhir hayat baginda, baginda membeli gandum dari orang Yahudi dan kerana tak mampu membayarnya, baginda gadaikan baju perisainya.

Begitu juga, ketika Islam menjadi semakin kuat dan mentadbir empayar yang besar, masyarakat Islam takde masalah berurusan dengan bukan Islam. Di Andalusia, masyarakat Yahudi yang berhadapan tekanan di Eropah berhijrah ke sana dan memainkan peranan penting di dalam kerajaan, bidang ilmiah dan sektor ekonomi seperti perdagangan sutera.

Hahhh?! Biar betul? Via Giphy

Empayar Mughal pernah menguasai 24 peratus daripada ekonomi dunia

Selepas kejatuhan pemerintahan Islam di Andalusia, orang Islam dan Yahudi berhijrah beramai-ramai ke wilayah-wilayah Islam yang lain, termasuk Turki Uthmaniyyah.

Pemerintah Uthmaniyyah lihat kedatangan pelarian Yahudi sebagai elemen penting untuk majukan Istanbul dan kota-kota utama lain sebagai pusat perdagangan dan pertukangan. Masyarakat Ortodoks Kristian, golongan bukan Islam terbesar di Uthmaniyyah diberikan beberapa kelebihan di dalam perdagangan.

Sehingga ke awal tahun 1800, ekonomi Turki Uthmaniyyah dari segi pendapatan purata lebih tinggi daripada Eropah atau Jepun, dan setanding dengan negara-negara Eropah Barat.

India di bawah pemerintahan Mughal pulak, pada tahun 1700, menguasai 24 peratus daripada ekonomi dunia, lebih besar daripada Empayar Qing China dan Eropah. Ekonomi yang alami proto-industrialisasi ini menyumbang suku daripada keluaran pembuatan ekonomi dunia sehingga hujung abad ke-18.

Empayar Mughal. Via The Ancient World

Raja Todar Mal, seorang beragama Hindu, jadi Menteri Kewangan pada zaman Akbar Khan; manakala Aurangzeb, yang ada reputasi kontroversi dalam kalangan bukan Islam melantik kakitangan kerajaan Hindu yang ramai disebabkan kebolehan, bukan agama.

Di Malaysia banyak je syarikat non-Muslim dan Muslim bekerjasama…

Di Melaka, dikatakan 84 bahasa digunakan di bandarnya ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, menunjukkan sikap kemajmukan yang luar biasa.

Berbalik kepada isu boikot – kita harus lihat semula, dalam ekosistem ekonomi, banyak produk melibatkan kolaborasi syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera. Ada syarikat yang memiliki pemilik Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Via Hidup Ringkas

Bagaimana pulak syarikat Bumiputera yang melibatkan Bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak? Banyak syarikat bukan Bumiputera ada pekerja Islam. Sekiranya timbul tindakan balas dari pembeli bukan Islam, siapa yang rugi jika bukan pengusaha Islam?

Kita patut manfaatkan kemajmukan untuk pacu perniagaan ke peringkat global…

Kita patut mengambil peluang kekuatan kita dalam ekonomi halal dan kewangan Islam, yang diterima bukan sahaja bukan Islam di Malaysia malah di peringkat antarabangsa untuk lebih ke hadapan. Kita wajar memanfaatkan kemajmukan kita untuk membolehkan kita mendapat manfaat dari ekonomi global, dengan pertumbuhan pesat di rantau Asia.

Artikel ini ditulis oleh YB Nik Nazmi yang merupakan ahli Parlimen Setiawangsa. Sebahagian daripada tulisan asal disunting oleh pasukan editorial ORANGKATA.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print