Menjadi sebuah lumrah sesebuah negara pasti akan mempunyai pelbagai kisah yang menarik tidak kiralah sama ada ianya adalah kisah seram, misteri ataupun sebagainya. Namun, korang pernah tak mengalami secara sendiri kisah urban legend seram yang menakutkan dalam hidup korang? Kali ni kami akan kongsikan kepada korang tentang kisah urban legend yang menakutkan yang ada kat dunia.
1. Anasi The Goatman, gabungan di antara manusia dan haiwan yang menyeramkan
Kisah ini berkaitan gabungan di antara manusia dengan haiwan, oleh sebab itulah dia mendapat gelaran sebagai Goatman atau manusia kambing. Kisahnya bermula tentang seorang saintis, ramai yang menganggapnya sebagai seorang saintis yang gila kerana dia menjalankan eksperimen ekstrem berkaitan kambing. Dia cuba untuk memutasikan kambing tu.
Pada suatu hari, dikatakan saintis ni dah bermutasi jadi separuh kambing, dan separuh lagi manusia. Dia kemudian akan mundar-mandir pada waktu malam untuk mencari mangsa yang pada kebiasaannya kanak-kanak. Ada juga kisah yang menceritakan tentang The Goatman ini boleh berubah ataupun bertukar menjadi ibu, rakan dan ahli keluarga mangsa di samping dia boleh menyerang mangsa yang dia kehendaki dari dalam rumah mangsa tu.
Mengikut kisah urban legend, kisah ini dikatakan telah direka oleh penduduk tempatan dengan tujuan agar orang luar tidak masuk ke dalam kawasan kediaman mereka.
2. Mae Nak Phra Khanong, tak dapat “move on” ke alam kematian, setia menunggu suaminya pulang
Mae Nak Phra Khanong juga dikenali sebagai Nang Nak, ia adalah merupakan sebuah kisah urban legend yang terdapat di negara Thailand dan pernah popular di Malaysia sekitar tahun 2000. Sebabnya kisah Nang Nak ini telah diadaptasikan ke dalam beberapa buah filem. Kisah ini mengisahkan tentang seorang wanita yang dikenali sebagai Nak dan suaminya yang dikenali sebagai Mak. Mereka berdua tinggal di persisiran salah sebuah sungai di Thailand.
Pada suatu hari, Mak telah dipanggil untuk menjadi anggota tentera dan Nak tinggal berseorangan di rumah mereka. Sebelum Mak pergi, Nak telah berjanji kepadanya bahawa dia akan menunggu kepulangan Mak di rumah, namun malang bagi Nak kerana tidak lama setelah Mak tinggalkannya, Nak telah pun meninggal dunia semasa melahirkan anak mereka. Disebabkan rasa cinta Nak yang sangat mendalam kepada Mak, roh Nak tidak mahu pergi meninggalkan bumi dan dia tetap menanti kepulangan suaminya di rumah serta menjadi penunggu di rumahnya.
Sehinggalah pada suatu hari, suaminya kembali daripada menjalani latihan tentera dan kepulangannya telah disambut oleh roh Nak yang dilihat sebagai manusia tetapi hakikatnya itu adalah hantu Nak. Walaupun suaminya sedih akan kematian anak mereka, namun mereka tetap hidup bahagia bersama-sama sehinggalah pada suatu hari di waktu senja semasa Nak sedang menyiapkan makanan, limau yang dihiris telah terjatuh ke tanah dan suami Nak yang pada ketika itu berada di bawah rumah telah melihat limau yang terjatuh itu.
Tidak beberapa lama kemudian, Mak juga telah melihat satu tangan yang sangat panjang datang dari atas rumahnya dan mengambil semula limau tersebut. Akhirnya, Mak telah mengetahui akan kematian isterinya dan telah meminta bantuan untuk menghantar roh isterinya ke alam kematian.
3. Hanako San, “hantu” yang akan menarik mangsanya ke neraka
Di Malaysia, kita ada Melati yang sering menghantui hostel, di Jepun pula mereka ada Hanako San. Nama ini bukanlah semangat yang asing lagi dalam kalangan pelajar sekolah yang ada di negara matahari terbit tu. Legenda menceritakan bahawa Hanako San akan menghantui tandas perempuan tingkat tiga sesebuah sekolah dan akan menganggu mereka yang berada di tandas khususnya yang pelajar yang berseorangan.
Hanako San menyerupai seorang budak kecil yang berambut pendek dan memakai skirt merah. Untuk pengetahuan korang, terdapat pantang larang bagi mereka yang pergi ke tandas sekolah iaitu mereka harus mengetuk pintu tandas sebanyak tiga kali dan bertanya adakah Hanako San di sini? Jika tiada sebarang jawapan maka tandas tersebut selamat untuk digunakan tetapi jika ada yang menjawab daripada dalam tandas maka beredarlah mereka daripada tandas tersebut dan pergi mencari tandas yang lain.
Bagi mereka yang tidak bernasib baik pula, akan ada tangan yang dipenuhi dengan darah muncul dari bawah pintu tandas dan menarik kaki mereka masuk ke dalam “neraka”. Seterusnya, bagi pelajar yang nakal pula, mereka akan mencari tandas tingkat tiga di sesebuah sekolah dan cuba untuk menyeru Hanako San datang kepada mereka. Asal usul kisah urban legend ini pada asalnya ditulis oleh Michael Dylan Foster yang menulis The Book of Yokai: Mysterious Creatures of Japanese Folklore pada tahun 1950-an dahulu yang kini menjadi antara kisah urban legend popular di negara Jepun.
4. La Pisadeira, akan menindih mangsa menyebabkan mangsa tu tak boleh bergerak
La Pisadeira ataupun wanita tinggi ni selalunya suka memerhati dan menunggu untuk menganggu seseorang. Cuba korang bayangkan jika seseorang sedang memerhati korang dan ahli keluarga di rumah ketika korang dan ahli keluarga sedang makan, menonton televisyen ataupun sedang istirehat di bilik korang. Tiba-tiba korang terdengar bunyi pelik yang datang dari atas bumbung seperti orang sedang merangkak dengan kuku yang panjang dan bunyi tersebut akan mengikuti korang walau di mana saja korang pergi. Seram bukan?
La Pisadeira gemar untuk menunggu seseorang itu habis makan dahulu, kemudian apabila orang tu dah kenyang, barulah dia akan pergi menganggu orang tersebut dengan cara mengikuti orang tersebut ke dalam bilik dan kemudian akan duduk di atas perut mangsanya dan membuatkan mangsanya tidak dapat bergerak. Kalau korang nak tahu, walaupun mangsa tersebut sedar tetapi dia tidak dapat menjerit ataupun menggerakkan tubuh badannya akibat daripada gangguan La Pisadeira itu tadi.
5. Maria (The Weeping Woman), akibat terlalu kecewa, sanggup buang anak-anaknya ke sungai
Korang pernah tak korang dengar bunyi yang pelik-pelik masa korang tengah berseorangan? Tidak kiralah di rumah atau di mana-mana; tiba-tiba korang terdengar suara perempuan yang sedang menangis? Jika kat negara Malaysia, pada kebiasaannya kita akan beranggapan bahawa bunyi tersebut adalah bunyi pontianak yang sedang cuba untuk menganggu korang. Namun, di Mexico kelibat perempuan menangis ni dikenali sebagai Maria ataupun La Llorona.
Maria lebih dikenali dengan berambut hitam panjang, berbaju putih dan seluruh badannya basah seperti baru je terkena air hujan. Kisah asal Maria ini sangat menyedihkan yang mana legenda urban menceritakan bahawa semasa dia masih hidup dahulu, dia sangat kecewa disebabkan oleh suaminya yang tidak mahukan dirinya lagi dan ditinggalkan. Akibat kecewa dengan suaminya, dia kemudian membawa anak-anaknya dan telah membuang mereka satu persatu di sungai sebelum dia sendiri terjun bersama.
Namun, tidak berapa lama selepas itu, di sebalik air yang deras dari tengah-tengah sungai dia muncul dan melangkah ke tebing. Untuk pengetahuan korang, Maria tidak mati kerana rohnya tidak diterima oleh langit. Dia kemudiannya menjadi roh yang menghantui sekitar kawasan Mexico dan dia akan menangis teresak-esak sambil berkata “Ay, mis hijos!” ataupun oh, anak-anakku.
Apa yang lebih menakutkan ialah pada masa-masa tertentu Maria akan berubah dan menyerupai wajah seorang wanita biasa sebelum dia menarik tangan kanak-kanak yang berada di jalan. Kanak-kanak tadi akan menyangka bahawa itu adalah ibu mereka dan akan mengikuti sahaja ke mana mereka akan dibawa oleh Maria termasuklah ke sungai. Sehinggalah Maria perlahan-lahan berubah dan menunjukkan wajah sebenarnya dan menangis teresak-esak barulah kanak-kanak tadi sedar bahawa wanita tersebut adalah bukan ibu mereka.
Ada sesetengah cerita yang diwujudkan untuk takutkan kanak-kanak, supaya diorang dengar nasihat
Kadang-kadang cerita seram yang kami kongsikan ni diwujudkan untuk memberi didikan, terutamanya kanak-kanak. Kami dapat nampak ada beberapa cerita yang kami kongsikan ni; sebenarnya nak bagi kanak-kanak takut. Biasalah, kadang-kadang kanak-kanak ni sukar nak dengar nasihat, mungkin disebabkan benda ni – orang-orang tua kita buat cerita untuk takut-takutkan diorang.