Khabar angin Pakatan Harapan akan kembali berkuasa semakin kuat, PN akan tumbang?!

F1
Khabar angin Pakatan Harapan akan kembali berkuasa semakin kuat, PN akan tumbang?!

Sejak minggu lepas kita dengar laungan majoriti 129 dari beberapa sosial media penyokong Pakatan Harapan. Bagi yang masih tak tahu apa yang dimaksudkan dengan majoriti 129 ni – dikatakan PH dah berjaya yakinkan 129 ahli Parlimen untuk bersama-sama membentuk kerajaan. Keadaan ni menyebabkan perbahasan yang hebat berlaku kat media sosial. Ada yang bersetuju kalau kerajaaan hari ni ditukar, dan ada jugak yang rasa dalam keadaan sekarang – ia tak diperlukan.

Tak kisahlah apa jua pandangan korang, nampaknya khabar angin tu semakin bertiup kencang. Sebab ada beberapa sumber yang kami terima yang katakan PH sebenarnya dah ada majoriti, tapi diorang tunggu je masa yang sesuai untuk bentangkan kat Yang Di-Pertuan Agong. Adakah satu lagi drama politik akan berlaku? Tidak pun, adakah pilihan raya akan berlaku?

Peletakan jawatan MP Sri Gading sebagai timbalan menteri menyebabkan khabar angin tu semakin kuat bertiup

Ramai yang bertambah yakin dengan berita ni apabila ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh umumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, semalam. Kalau difikir secara logik, ahli politik Malaysia ni, adakah ke yang nak letak jawatan saja-saja bila dah ada gaji yang sedap? Mesti dia tahu sesuatu yang kita tak tahu ni.

Kalau ikut surat peletakan jawatan yang dipautkan pada halaman Facebooknya, Shahruddin kata, dia dah lakukan ijtihad politik yang kurang tepat iaitu dengan menyertai kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya seharusnya meletakan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi-pengundi di Parlimen Sri Gading telah memilih parti Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Sebagai langkah awal bagi saya membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh Perdana Menteri dari kerajaan Perikatan Nasional PN,” – Shahruddin, seperti yang dilaporkan Berita Harian

Wq
Surat yang tengah tular. Via Blog Minda Rakyat

Menerusi satu surat berasingan dengan tandatangan Shahruddin dan ditujukan kepada Muhyiddin, katanya dia hanya letakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, tapi kekal sebagai ahli Parlimen di bawah PN. Sebagai backbencher gitu. Apa yang peliknya, selepas dia letak jawatan sebagai timbalan menteri, dia cepat-cepat pergi bertemu Tun Mahathir. Benda ni mudah, tu signal dia nak pindah kem lah tu. Katanya dengan kejadian semalam ni, PH dah ada 110 kerusi dan PN 112. Majoriti PN cuma 1 kerusi je.

Anwar dan Mahathir adakan pertemuan berasingan dengan Pakatan Harapan, tanda diorang nak menang?

Selain bertemu dengan Shahruddin, Tun Mahathir Mohamad turut bertemu dengan beberapa pemimpin Pakatan Harapan semalam. Cuma, takde pemimpin PKR dilihat dalam pertemuan tu. Pembantu Mahathir, Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin kongsikan gambar pertemuan tu di Facebook.

Wq
Minum-minum je, makan takde? Via MalaysiaKini

Kelihatan di dalam gambar tu ialah Tun Mahathir, Mukhriz Mahathir, Marzuki Yahaya, Mat Sabu, Shafie Apdal, Lim Guan Eng dan Anthony Loke. Ketika MalaysiKini tanya mengenai ketidakhadiran pemimpin PKR pada pertemuan tu, setiausaha agung parti Saifuddin Nasution enggan mengulas.

Nampaknya PH tengah beri isyaratkan yang diorang ada jumlah MP mencukupi untuk kembali Putrajaya. Cuma, sumber kata memutuskan calon perdana menteri di antara Mahathir dan Anwar Ibrahim masih jadi hal yang perlu diselesaikan oleh PH.

Wq
Dua kombinasi yang sebelum PRU14, kalau difikirkan secara logik, tak akan berlaku. Via MalayMail

Pada belah malam pulak, Anwar Ibrahim berkongsi gambar pertemuan bersama pimpinan utama Pakatan Harapan iaitu Lim Guan Eng dan Mat Sabu. Cuma Tun Mahathir takde dalam pertemuan tu.  Menurut kenyataan Pakatan Harapan, pimpinan utama Pakatan Harapan bertemu malam ni dan ulangi komitmen untuk bersama mengukuhkan Pakatan Harapan dalam buat setiap keputusan dan tindakan politik.

[ADMIN]Pimpinan utama Pakatan Harapan telah bertemu malam ini dan mengulangi komitmen untuk bersama mengukuhkan…

Dikirim oleh Anwar Ibrahim pada Kamis, 04 Juni 2020

Dalam kehangatan politik yang tengah berlaku, BERSATU adakan mesyuarat dalam kedinginan malam

Dengan semua khabar angin yang tengah berlaku ni, semalam BERSATU adakan mesyuarat tergempar. Muhyiddin hadir ke mesyuarat MPT BERSATU buat kali pertama selepas tamat jalani kuarantin. Mesyuarat tu adalah yang pertama selepas Pengerusi BERSATU, Tun Mahathir Mohamad digugurkan keahlian parti bersama empat lagi konconya. Kawalan ketat polis dan anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) di sepanjang laluan masuk ke tempat mesyuarat tu.

Beberapa penyokong Mahathir dilihat turut berkumpul di perkarangan rumah tempat mesyuarat tu. Difahamkan mesyuarat tu tak dihadiri Tun Mahathir dan empat lagi pemimpin yang digugurkan. Cuma, Setiausaha Politik Mahathir yang juga ahli MPT, Datuk Abu Bakar Yahya dilihat memasuki rumah persatuan itu dipercayai menghadiri mesyuarat tu. Semua hasil mesyuarat semalam akan diumumkan hari ini. Perkara tu diumumkan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika ditemui media usai mesyuarat ni.

Difahamkan mesyuarat ni untuk mengesahkan pengguguran keahlian Dr Mahathir dan empat lagi pemimpin parti dan penyertaan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN).

Jika Pakatan Harapan diberi peluang kedua, apa agaknya pendekatan yang diorang akan bawa?

Kita semua tahu, salah satu sebab PH jatuh adalah pengkhianatan member sendiri yang bergabung dengan musuh politik. Cuma, kejatuhan ni turut dipengaruhi Buku Harapan yang sepatutnya menjadi “kitab” mereka semasa memerintah, selalu dibuang ke tong sampah. Akhirnya rakyat dah jadi menyampah, dan isu transisi kuasa di antara Mahathir-Anwar telah digunakan untuk “menghalalkan” pembentukan kerajaan hari ini.

Kami percaya, PH hanya akan jadi kerajaan semula jika isu Mahathir-Anwar dapat diselesaikan. Barangkali sudah masanya Anwar diberi peluang untuk mentadbir negara dan Tun Mahathir boleh bertindak sebagai individu yang menasihati Anwar. Ia juga akan jadi simbolik – PH yang kali kedua ni bukanlah PH yang sama, yang telah dijatuhkan kawan sendiri. Manifesto harus kembali ditunaikan dan pendekatan yang lebih mesra rakyat perlu diamalkan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top