Pengeluaran duit KWSP, pengkritik kata ia akan bawak masalah baru

F1

Ketika menghadapi krisis, sudah tentu kerajaan akan sedaya upaya untuk mencari jalan penyelesaian. Pada akhirnya, matlamat utama sesebuah perancangan itu adalah untuk memberi manfaat dan negara. Apabila sesebuah perancangan telah dikeluarkan, sebagai rakyat – kita memiliki kebebasan untuk melontarkan pandangan dan kritikan terhadap perancangan tu.

Sengaja kami kata benda ni awal-awal, sebab setiap kali kami tulis artikel yang kritik kerajaan, kami selalu dilihat sebagai wakil pembangkang. Termasuklah masih kami kritik Pakatan Harapan masa diorang jadi kerajaan dulu.

Kerajaan akan membantu rakyat dengan cara membenarkan mereka mengeluarkan wang simpanan persaraan

Di antara strategi yang diperkenalkan kerajaan adalah; pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan untuk keluarkan wang simpanan di Akaun 2 melalui pengeluaran i-Lestari untuk tampung keperluan keluarga ketika krisis Covid-19 melanda negara.

Pengumuman ni dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dua hari lepas. Permohonan untuk pengeluaran ni boleh dibuat bermula 1 April depan.

“Ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan,” – Muhyiddin Yassin, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Kemudahan tu melibatkan jumlah RM40 bilion. Kerajaan jangkakan seramai 12 juta ahli KWSP akan lakukan pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 bilion. Perdana Menteri kita kata, dengan pengumuman inisiatif tu, ia akan bolehkan para pekerja mempunyai lebih wang dalam poket untuk membeli barang-barang keperluan harian.

Pengeluaran Kwsp Akaun 2 Umur 50
Via The Rohani

“Nasihat saya kepada anda semua yang akan menerima manfaat ini, gunalah wang ini sebaik mungkin. Beli barang- barang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini. Yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga selain sebahagiannya mungkin digunakan untuk membayar bil,” – Muhyiddin Yassin, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Pengumuman ni merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang diumumkan oleh kerajaan, dua hari lepas.

Beberapa pihak tak setuju cadangan ni, sebab 70% penyimpan ada simpanan cukup sampai 5 tahun je

Langkah ni dapat kritikan dari pelbagai pihak, sebabnya langkah kerajaan benarkan rakyat mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari akaun dua dilihat sebagai langkah tak bertanggungjawab.

https://www.youtube.com/watch?v=SkLsCRFNH54

Menurut, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; dia nak perkara tu dikaji semula kerana dibimbangi akan jejaskan nilai simpanan tabungan persaraan rakyat. Dia yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kata, adalah lebih baik bagi kerajaan batalkan kutipan cukai pendapatan melalui Potongan Cukai Berjadual (PCB) untuk tempoh selama 12 bulan.

“Adalah tidak bertanggungjawab untuk menyuruh rakyat Malaysia mengeluarkan simpanan KWSP untuk membiayai keperluan mereka kerana ia merupakan satu idea yang akan menjejas masa depan ramai rakyat Malaysia,” – Saifuddin Nasution, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Dsa1
Saifuddin Nasution. Via The Star

Saifuddin kata, kerajaan sepatutnya tunjukkan kesediaan berkorban untuk rakyat dalam keadaan krisis Covid-19 dan kemelesetan ekonomi dihadapi negara hari ni. Adalah lebih wajar semua pekerja yang bergaji kurang dari RM10,000 sebulan dikecualikan dari potongan cukai bulanan untuk tempoh 12 bulan akan datang. Ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka.

Tindakan ini akan merangsang kegiatan ekonomi melalui perbelanjaan pengguna. Kesan alir ke bawah dari pendekatan ni adalah lebih cepat dalam merancakkan aktiviti perniagaan khusus di sektor peruncitan.

Saifuddin turut kata kira-kira 70 peratus daripada pencarum KWSP ada simpanan yang hanya dapat bertahan untuk tempoh lima tahun sahaja selepas mereka bersara.

“Hasrat di sebalik penubuhan KWSP untuk mewujudkan satu skim tabungan hari tua dan ia bukanlah akaun simpanan seperti di bank yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa. Kini jangka hayat rakyat Malaysia telah mencapai 76 tahun namun jumlah simpanan KWSP sebahagian besar mereka tidak mencukupi untuk menyara kehidupan sehingga ke 76 tahun,” – Saifuddin Nasution, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Cadangan alternatif yang diberikan adalah memberikan wang kecemasan RM1,000 kepada penerima BSH

Oleh sebab tu ada cadangan supaya kerajaan salurkan peruntukan kecemasan sebanyak RM1,000 kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi tempoh Mac dan April. Cadangan tu jelaskan – pemberian bagi tempoh dua bulan membolehkan penerima BSH harungi keadaan ekonomi meruncing dan mencabar kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu.

Covid
Via CNA

Kalau ikut cadangan tu, kos yang perlu ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM8.2 bilion.

“Cara ini adalah pendekatan paling cepat untuk membantu mereka yang paling terkesan akibat pelaksanaan berkenaan berbanding keputusan kerajaan membenarkan rakyat negara ini mengeluarkan simpanan melalui Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Mereka yang dibenarkan mengeluarkan simpanan KWSP sendiri harus menyedari bahawa inisiatif itu sebenarnya bukan bantuan tetapi diambil daripada simpanan hari tua hasil tabungan sendiri,” – Cadangan Majlis PH, dipetik dari Sinar Harian

Untuk selesaikan masalah, sebaiknya kita tak cuba buat masalah baru. Kami rasa cadangan untuk berikan semua keluarga bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 semasa krisis adalah wajar. Ia jauh lebih baik daripada mintak diorang pecahkan tabung persaraan sendiri. Kalau diorang ambil duit persaraan tu? Nanti masa tu nak guna apa?

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *