Ini gelagat Menteri Kesihatan ketika krisis wabak COVID-19 yang buatkan rakyat keliru

F1

Baru seminggu kita berada dalam tempoh kawalan pergerakan, banyak benda yang rakyat tak puas hati pasal bagaimana kerajaan PN menangani wabak ni. Kami taknak kritik kerajaan dengan tujuan mempolitikkan benda khususnya ketika negara kita perlukan semangat moral dan kekuatan hati sesama lain.

Pun begitu, kami nak tegur pihak kerajaan terutamanya Menteri Kesihatan baharu ni, Dr. Adham Baba. Bukanlah satu tanda yang baik jika rakyat sendiri tak berhenti bandingkan bagaimana Dr. Dzul tangani krisis kesihatan dulu, dengan prestasi Dr. Adham Baba sekarang.

Dzul Adham
Via Reddit

Dr. Adham gugup hingga salah pakai topeng muka, warganet dah mulai ragu dengan kemampuannya…

Biasalah kalau rakyat biasa, mereka gugup. Tapi benda ni jadi tak biasa, kalau menteri yang ditugaskan memimpin rakyat pulak yang gugup. Kegugupan ni pun dijadikan alasan untuk warganet menilai semula kemampuan Dr. Adham ni sebagai Menteri Kesihatan.

Ramai kata latar belakangnya sebagai seorang doktor perubatan yang berpengalaman hingga dah banyak klinik sepatutnya dikira layak nak jadi Menteri Kesihatan. Kami pula berpendapat, kalau hanya nak backup Dr. Adham sebab dia banyak buka klinik pun tak cukup wajar juga. Hujah ni kerap diulangi oleh kaki laskar siber kat luar sana tu supaya tak ramai orang berani lagi kritik Menteri Kesihatan.

Klinik Adham Cawangan Penawar
Via Klinik Adham Cawangan Bandar Penawar

Sebabnya mudah je… macam mana korang nak ukur prestasi Dr. Adham sebagai doktor yang baik, sedangkan syarat utama nak buka klinik (atau kedai dan premis) adalah duit dan ilmu perniagaan je? Sedangkan banyak je doktor kat luar sana boleh dianggap doktor yang baik dan layak nak jadi Menteri Kesihatan kalau nak diukur semata-mata dari berapa banyak klinik yang dia dah buka.

Cakap pasal salah pakai topeng muka tu, Dr. Adham Baba dalam sidang akhbarnya nak tunjuk macam mana nak pakai betul-betul topeng muka tu. Namun begitu, warganet kita pun ramai jugak yang bijak belaka. Jadi ramai jugak yang perasan cara yang ditunjukkan tu tak berapa sempurna.

Gelagatnya mungkin mencuit hati wartawan masa sidang akhbar tu, tapi rakyat masih sakit hati lagi dengan gelagat ‘kerajaan pintu belakang’ oleh kerajaan PN. Akhirnya yang tercuit tu adalah kegeraman rakyat je lah…

Ditanyakan soalan serius, Dr. Adham jawab buat lawak dah pulak…

Kami yakin bukan kami je yang terangkat kening tengok cara Dr. Adham jawab soalan sewaktu dia ditemubual dalam sebuah program iaitu Bicara Naratif kat TV1. Dalam program tersebut, dia dah batuk beberapa kali ketika program tu bersiaran dan menimbulkan kebimbangan pada rakyat yang tengah tonton program tersebut.

Adham Batuk
Kot-kotlah dia pun terjangkit wabak COVID tu, kami pun risau jugak… -Via Malaysia Dateline

Menurut Malaysia Dateline, perantara tu cuba mencungkil jawapan yang lebih padat dengan lontarkan soalan-soalan yang mudah agar penonton kat rumah tu lebih faham tentang virus ni. Salah satu soalannya adalah “bagaimana perkembangan terkini keadaan semasa di hospital dan pasukan perubatan kita?”

Dr. Adham boleh pulak jawab;

“Kalau kita tengok wabak ini sudah bermula sejak bulan 12 (tahun lalu) di Wuhan, China. Wabak itu bermula di situ. Sebab itu kita panggil Covid-19. Dia berlaku pada 2019. Kalau dia mula pada 2020 mungkin nama dia Covid-20,”- seperti yang dipetik oleh Malaysia Dateline pada 20 Mac 2020

Walaupun ucapan sebegitu mungkin datangnya dari kelemahan berkomunikasi sebagai seorang menteri, perkara ni harus diperbaiki lebih pantas sebab tak banyak orang nak dengar lawak dalam isu yang sebegini serius. Perkara ni secara langsung buatkan ramai rasa Dr. Adham gagal beri pemahaman yang baik mengenai perkembangan pandemik tu di Malaysia.

Nasihatkan minum air suam untuk musnahkan virus, Dr. Amalina tegur kesilapan tersebut…

Dalam program yang sama jugak, Dr. Adham dakwa minum air suam ni boleh bunuh virus. Ada jugak orang backup Dr. Adham lepas dakwaan ni, mereka kata dia sengaja cakap begitu sebab nak bagi orang kampung faham.

“Virus ini tak suka panas. Jangan (air) panas sangatlah. Virus ini akan dinyahkan, disingkirkan, dan di perut. Kalau masuk perut ada asid, dia kalah. Yang penting, kita mesti singkirkan virus ini dari kerongkong sebelum dia masuk ke paru-paru. Virus ni dia suka paru-paru bawah,”- Dr. Adham Baba, seperti yang dipetik oleh Mstar pada 21 Mac 2020

Masalahnya, ramai pulak bersungguh-sungguh percaya minum air suam tu bunuh virus sampaikan anak-anak mereka yang tegur bahawa tindakan tu tak jamin berkesan bunuh virus dalam badan. Lepas habis program tersebut, ramai jugak warganet nak kepastian dalam perkongsian sang menteri kita ni.

Anson Air Suam Menteri
Salah satu komen dari warganet melalui saluran Youtube..Via Youtube

Perkara ni turut dapat perhatian Dr. Amalina, doktor cerdik kita di UK sekarang. Bayangkanlah betapa orang tak percaya dah dengan penjelasan Menteri Kesihatan sampaikan kena rujuk semula dengan doktor lain.

Ciapan Dr. Amalina dari Twitter nampaknya lebih yakinkan warganet lepas dia jelaskan bahawa air suam tak bunuh virus dan tips ni adalah mitos je.

Via Giphy

“Tidak disarankan oleh doktor dan tiada bukti mengenai sasaran ini. Sudah dimaklumkan minum air memang bagus untuk kekalkan hidrasi tetapi ia tidak mampu untuk nyahaktifkan virus. Tips yang betul adalah jaga kebersihan, basuh tangan, jangan sentuh muka, amalkan batuk atau bersin dengan etika, duduk rumah dan amalkan social distancing 1 meter.”- Dr. Amalina Che Bakri, seperti yang dilaporkan oleh Mstar pada 21 Mac 2020

Dr. Noor Hisham selaku Ketua Pengarah Kesihatan pun tolak ‘mitos’ yang dikongsi oleh Dr. Adham Baba. Kejadian ni betul-betul mengurangkan kredibiliti dan reputasi Menteri Kesihatan kita ni. Dah sentuh pasal mitos, korang boleh lawan apa je lagi mitos-mitos di sebalik COVID-19 ni.

Fasiliti dan keperluan perubatan semakin sedikit, kakitangan barisan hadapan terpaksa jadi kreatif…

Ni belum masuk lagi aduan dan rayuan kakitangan perubatan yang tengah bertungkus lumus selamatkan nyawa pesakit wabak, dimana ramai antara mereka kata bahawa fasiliti seperti katil dan ventilator tak mencukupi. Setakat ni, Putrajaya memang dah berhasil dapatkan katil dan ventilator yang diharap cukup untuk kakitangan hospital teruskan rawatan.

Selain tu, timbul jugak dakwaan terhadap kekurangan bekalan topeng penutup hidung dan mulut serta peralatan perlindungan diri (PPE) tatkala dalam situasi menguruskan individu yang terjejas. Tular jugak video yang memperlihatkan kreativiti petugas kesihatan yang terpaksa pakai plastik sampah je.

Selain tu, timbul jugak kerisauan mengenai abang polis dan askar yang hanya pakai uniform dan perlu mengawal serta berdepan dengan ramai orang termasuklah mereka yang dah positif wabak tersebut.

Pihak berkuasa memang tak banyak yang pakai PPE selengkap para petugas kesihatan, jadi kami pun terfikir jika mereka boleh diberikan perlindungan luaran yang lebih baik. Kena lagi kes positif wabak tersebut pun turut terdiri dari kalangan pegawai polis jugak.

Polis
Contoh perlindungan luaran untuk polis yang digunakan kat Israel. -Via JNS.org

Dr. Adham kena pantas belajar dan ketepikan bahasa ‘terlalu mudah’ supaya elak orang awam keliru…

Macam kami katalah tadi, kritikan kami tak datang dari niat nak mempolitikkan kesihatan, kebajikan dan keselamatan rakyat. Samalah dengan niat Dr. Amalina nak betulkan mitos Dr. Adham tu, begitulah kami nak kritikan ni sampai pada pihak KKM.

Dr. Adham kena lebih pantas belajar, kerana kadar jangkitan COVID-19 ni sangat pantas sebab setakat ni, lebih ramai yang disahkan positif berbanding yang dah sembuh. Belum masuk lagi kiraan para pesakit yang dah masuk ICU…

Covid Icu
Via Must Share News

Jadi kalau nak ratakan lekuk jangkitan tu, benda paling mudah Dr. Adham kena buat sebagai sumber utama rakyat adalah dengan gunakan laras bahasa yang sesuai. Tak semua benda tu kerajaan nak guna bahasa yang ‘terlalu mudah’ hinggakan orang awam sendiri dah boleh salah faham lah pulak…

One thought on “Ini gelagat Menteri Kesihatan ketika krisis wabak COVID-19 yang buatkan rakyat keliru

Leave a Reply

Your email address will not be published.