Dos ketiga katanya akan diberikan kepada rakyat, ini beberapa hal yang anda perlu tahu

f1

Idea dos tambahan ni dah lama dilontarkan oleh para pakar kesihatan bagi menambah keberkesanan vaksin melawan Covid-19. Apa taknya, dah banyak negara mulai mengagihkan lebih banyak dos tambahan sama ada dos ketiga atau dos penggalak kepada rakyatnya demi menjaga kesihatan awam. Jadi kalau Malaysia pun tak buat benda yang sama, dikhuatiri kita jugak ketinggalan dalam perkembangan sedunia menentang Covid-19.

Tetapi sekarang pulak, kita dah boleh melihat jangkaan tersebut apabila dah semakin ramai yang nak ambil vaksin dan berjaya melengkapkan dos kedua. Inisiatif kerajaan yang turut memberikan kelonggaran kepada golongan lengkap vaksin banyak mempengaruhi peningkatan orang nak ambil vaksin. Apabila dah naik populasi dewasa yang lengkap vaksin, barulah kerajaan rasa bersedia nak berikan dos ketiga lagi.

vaksin suntik
Via Berita Harian

Keyakinan terhadap vaksin semakin tinggi, kerajaan setuju beri dos ketiga lepas capai 80% divaksin

Sebelum ni, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran berkenaan vaksin. Daripada pertikaian mengenai harga, bekalan vaksin tu sendiri serta reaksi sebilangan masyarakat tentang vaksin. Oleh sebab kita dah tandatangani perjanjian NDA (non-disclosure agreement) yang tak membenarkan kita beritahu harga vaksin secara terbuka, banyak pihak mempersoalkan peruntukkan pembelian vaksin.

Kemudian, bekalan vaksin sendiri pun semakin kurang lantaran permintaan yang tinggi terhadap vaksin mRNA Pfizer. Namun bila dah semakin banyak syarikat yang dah keluarkan vaksin sendiri, bekalan kita dipelbagaikan. Kita jugak menerima derma vaksin daripada pelbagai negara.

nstp
Via Berita Harian

Kemudian, tentang reaksi sebilangan masyarakat pulak. Ada kajian mendapati bahawa sebenarnya golongan yang anti-vaksin ni kecil je, tetapi suara diorang tampak lebih besar kerana kita yang fokus kat diorang. Kami pun dah berjaya susup masuk ke dalam perbincangan sebilangan anti-vaksin dan cuba rumuskan apa sebenarnya dalam minda diorang dalam tiga tema ringkas. Tentunya dengan khabar dos ketiga, macam-macamlah diorang akan simpulkan nanti… dengan teori konspirasi diorang dan kesimpulan dangkal.

Pada 19 September lalu, PM Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan setuju nak beri dos ketiga vaksin Covid-19 untuk golongan rentan. Langkah ni akan dilaksanakan lepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara dah capai 80%.

Dos ketiga ni akan ditumpukan dulu kepada kumpulan berisiko tinggi seperti anggota petugas kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun dan warga tua dengan komorbiditi serta turut meliputi individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang (long-term care facilities).

“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19 yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua. Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini,”- Ismail Sabri Yaakob, seperti yang dilaporkan Astro Awani
Ketika ni, beberapa negara termasuk ASEAN dah mula berikan suntikan dos ketiga vaksin seperti Singapura, Indonesia dan Thailand. Diorang jugak mengutamakan golongan berisiko terdahulu sebelum memutuskan untuk diperluas program dos ketiga kelak kepada golongan dewasa sihat di bawah 60 tahun.

Dos ketiga dijangka bermula minggu depan, tak bermakna hasil dua dos dulu tak berkesan

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kata KKM menjangkakan akan memberi suntikan dos ketiga vaksin bermula Oktober depan. KKM jugak sudah kenal pasti golongan rentan atau golongan berisiko untuk diberi keutamaan terlebih dahulu. Jelas Khairy, keutamaan kepada golongan tersebut amat penting memandangkan data kematian dan kategori lima yang masuk ke unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan kebanyakan warga emas yang ada masalah komorbiditi inilah paling berisiko.

Dalam pada itu, ia tak bermakna pemberian dua dos sebelum ni tak berkesan. Dos ketiga ni memperkuatkan lagi sistem umun orang awam terhadap virus tersebut. Ye lah, virus pun dah banyak varian… takkanlah kita pun nak terus berharap je dengan vaksin yang tercipta awalnya ketika varian tu belum wujud lagi.

WHO sendiri keluarkan senarai umum yang mengkategorikan jenis-jenis virus mengikut tahap bahayanya. Buat masa ni, takde lagi virus yang cukup bahaya sehingga tak boleh dirawat atau menjadikan pesakit tu terus meninggal dunia (dan jadi zombi).

Berkenaan jenis vaksin pulak, Khairy kata kerajaan sedang dapatkan maklumat daripada pengeluar untuk didaftarkan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Untuk dos ketiga, kita perlu mendapatkan kebenaran NKRA kerana badan tersebut hanya bagi kebenaran untuk dua dos sahaja bagi Pfizer, Sinovac dan Astra Zeneca. Jadi, semua pengeluar vaksin ini telah diminta menghantar maklumat dos penggalak kepada NKRA. Saya jangka dalam tempoh seminggu dua, boleh diluluskan,”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Dilaporkan oleh Kosmo; Khairy jugak tak menolak sekiranya untuk dos ketiga.. ia berbeza dengan jenis vaksin dos pertama dan kedua sebelum ni. Maksudnya, boleh jadi korang dapat Sinovac untuk dos pertama dan kedua tetapi untuk dos ketiga, korang dapat Pfizer. Sebelum ni, KKM kata diorang tak akan campurkan jenis vaksin yang berbeza dalam dos pertama dan dos kedua kerana data yang ada pada ketika tu tak menyokong peratusan keberkesanan yang lebih tinggi berbanding guna vaksin daripada jenis yang sama dalam dos pertama dan kedua.

Ni tak bermakna dos ketiga jugak kena ikut peraturan macam tu. Yang pasti, ia masih lagi dikaji lagi dan akan diumumkan nanti sama ada boleh campur atau tak. Idea nak campur jenis vaksin ni pernah jugak disuarakan dulu dan secara teorinya boleh dilakukan. Ia jugak dilakukan oleh beberapa negara seperti  China dan Thailand. WHO bagaimanapun, tak menyarankan vaksin dicampur kerana data yang tersedia tak mencukupi bagi memahami kesannya terhadap kesihatan penerima.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *