Beberapa kes kematian dalam tahanan yang korang perlu tahu perkembangannya

f1

Salah satu isu yang berlarutan tanpa ada kesudahan adalah kes kematian dalam tahanan polis. Biasanya kita selalu nampak isu keganasan polis ni kat luar negara je, macam Amerika Syarikat. Sebenarnya kat sini, isu kematian suspek dalam jagaan polis ni jugak terkait dengan hal keganasan polis dan persoalan adakah polis ni buat tindakan agresif yang berlebihan ke atas suspek yang diorang tahan.

Baru-baru ni, kerajaan kalah dalam sebuah kes saman sivil membabitkan sorang suspek yang ditahan oleh polis kerana disyaki edar dadah. Kemudian, akibat kegagalan polis bertugas… dia mati kat dalam tahanan polis. Bukan tu je, banyak lagi kes berbeza yang berakhir dengan kematian ketika suspek dalam jagaan polis.

benedict thanilas
Balu suspek yang ditemui mati dalam lokap.. -Via FMT

Kerajaan disaman oleh keluarga suspek dan kena bayar ganti rugi, balu hanya minta pihak polis dan kerajaan akui kesilapan diorang

Pada 13 September lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan dan polis membayar ganti rugi RM281,300 kepada keluarga suspek dadah, Benedict Thanilas yang meninggal dunia dalam tahanan empat tahun lalu. Secara dalam talian, Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon membuat keputusan itu dalam saman sivil keluarga suspek tu terhadap kerajaan dan polis.

Badan bukan kerajaan (NGO) Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) jelaskan, mahkamah putuskan bahawa keluarga tersebut berjaya buktikan kes terhadap kerajaan ke tahap imbangan kebarangkalian (balance of probabilities).

benedict keluarga 2017 mendiang
Foto Benedict dan keluarganya pada 2017.. -Via FMT

Untuk kefahaman korang, imbangan kebarangkalian atau balance of probabilities ni berlaku apabila sesebuah mahkamah berpuas hati dengan kebarangkalian tinggi sesebuah insiden tu terjadi. Oleh tu dalam kes ni, mesti ada sesuatu yang berkemungkinan besar berlaku sehingga terbukti kerajaan dan pihak polis ada buat silap dalam cara menguruskan suspek tersebut ketika ditahan.

“Mahkamah menetapkan bayaran RM91,800 bagi ganti rugi kehilangan saraan, RM50,000 untuk sakit dan penderitaan, RM100,000 ganti rugi teruk, ganti rugi untuk kesedihan RM30,000, dan kos pengebumian sebanyak RM4,000,”- wakil EDICT, seperti yang dilaporkan FMT

Tambahan RM5,500 lagi akan diberikan sebagai kos pengeluaran surat kuasa mentadbir harta pusaka. Namun begitu, EDICT kata mahkamah tak anugerahkan sebarang ganti rugi akibat pelanggaran tugas anggota polis dalam kes tersebut. Berkenaan hal tu, EDICT kata pihak peguam akan tunggu arahan seterusnya sama ada nak rayu atau tak.

Tahun lalu, Mahkamah Koroner dah putuskan bahawa kematian Benedict Thanilas ketika berada dalam tahanan polis pada 2017 boleh dielakkan sekiranya dia diberi rawatan perubatan yang diperlukan. Benedict, 43, kena tahan kerana disyaki edar dadah ni ditemui tak sedarkan diri dalam lokap polis Jinjang pada 10 Julai 2017. Bila dibawa ke Hospital Kuala Lumpur, dia dah disahkan meninggal dunia.

janagi benedict 2017
Janagi Nadarajah (kanan) bersama mendiang suaminya dalam foto yang diambil pada 2017.. -Via FMT

Hakim Mahkamah Seksyen Mahyon Talib, bertindak sebagai koroner kata, pengabaian oleh pegawai itulah yang mengakibatkan kematian Benedict dan sepatutnya meneliti keperluan perubatan tahanan di bawah jagaan diorang. Menurut balunya, Janagi Nadarajah kata;

“Saya gembira dengan keputusan tersebut tetapi saya mahukan polis dan kerajaan untuk mengaku kesilapan mereka. Suami saya (Benedict) sangat sakit semasa dia berada di dalam lokap, tetapi mereka tak hiraukannya. Saya sangat marah. Itu (permohonan maaf) sajalah yang saya mahukan”- seperti yang dilaporkan FMT.

Benedict terpaksa ambil 8 jenis ubat yang berbeza setiap hari, selain baru je melalui operasi pembedahan lencongan jantung (heart bypass) sebelum ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Dia jugak ada masalah kesihatan lain seperti diabetes dan tekanan darah tinggi. Menurut laporan, para pegawai polis yang tahan Benedict takde bawa ubat-ubatnya bila menahan Benedict namun hanya suruh Janagi bawakan ubat tu ke stesen polis Sentul. Ujian toksikologi mendapati takde sisa 8 jenis ubat dalam badannya. 12 hari selepas penahanannya, dia diisytihar meninggal dunia dah.

Keluarga-keluarga suspek mati dalam tahanan terpaksa buat post-mortem kedua, wujud elemen dipukul oleh polis

Pada 8 Februrari 2017, S.Balamurugan ditemui mati dalam tahanan polis di balai polis Klang Utara. Suspek yang berumur 44 tahun dibawah ke Mahkamah Majistret pada hari sebelum perintah reman, dimana dia dikatakan nampak kesa lebam dan dalam keadaan lemah serta tak boleh berjalan.

Bila ditawarkan minum air oleh peguamnya, darah tiba-tiba mengalir dari mulut dan hidungnya. Melihatkan kejadian ni, Majistret memerintahkan Balamurugan dilepaskan dan dibawa ke hospital. Sebaliknya, polis bawa pulak dia ke balai polis dan dia meninggal kat situ.

balamurugan custody death lokap polis mati
Keluarga mendiang Balamurugan berjuang menuntut keadilan.. -Via NST

Post-mortem awal kata dia mati kerana ‘masalah jantung’. Namun keluarganya bawa semula untuk post-mortem kedua; dikatakan bahawa punca kematiannya adalah ‘penyakit arteri dengan pelbagai kesan trauma dari objek tumpul’. Hal sama turut berlaku pada 2009, iaitu kes A. Kugan.

Post-mortem pertama kata Kugan ada 22 kategori luka luaran namun dia mati kerana ‘acute pulmonary edema’ (terkumpulnya cecair dalam peparu). Tapi dalam post-mortem kedua pulak, Kugan sebenarnya ada 45 kategori luka luaran dan kematiannya tu berpunca daripada kerosakan otot rangka yang teruk hingga buah pinggangnya gagal berfungsi. Dia baru 22 tahun ketika tu.

infografik kugan case
Kes A. Kugan pada 2009.. -Via malaysiasms.wordpress

Banyak lagi kes yang mungkin tak dapat kami padatkan dalam artikel kali ni. Walaupun begitu, wujudnya satu kes kematian sekalipun dalam tahanan polis sebenarnya patut dibimbangkan oleh orang ramai, organisasi pihak polis sendiri dan kerajaan. Lunas undang-undang sendiri tak membenarkan suspek dipukul hingga ada kecederaan teruk, apatah lagi sehingga suspek tu mati walhal belum tentu lagi bersalah. Orang yang disabitkan salah dan dijatuhkan hukuman sekalipun tak dipukul sampai mati.

Keperluan wujudkan mekanisme baharu untuk semak etika pegawai polis semakin mendesak

Mungkin ni jugak petanda besar bahawa kita perlukan mekanisme yang lebih baik bagi mengawal etika para pegawai polis khususnya yang ditugaskan untuk menahan suspek. Salah satunya adalah Akta Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Sebelum tarikh kuat kuasa Akta IPCMC ni pun, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menerima lebih 2,000 aduan berkaitan salah laku pegawai dan anggota PDRM ketika menjalankan tugas. Salah laku tu tak semestinya rasuah; pelanggaran etika lain seperti curi-curi tidur dan curi tulang tak meronda ketika dia sepatutnya meronda pun termasuk dalam aduan ni.

Bukit Aman Polis
Via Berita Harian

Akan tetapi, Rang tersebut ditarik balik pada 26 Ogos 2020 daripada bacaan kedua dalam sidang Parlimen. Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika tu, Datuk Seri Ismail Mohamed Said bangun mengemukakan peruntukan baharu menggantikan IPCMC iaitu RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 (IPCC) untuk bacaan kali pertama. Tapi tak jugak lulus ke peringkat seterusnya, kerana ditangguhkan ke sesi mesyuarat Dewan Rakyat seterusnya iaitu pada November 2020. Sehingga kini, takde berita tentang RUU IPCC.

IPCC jugak tak terlepas daripada pelbagai kritikan. Pada 13 September, susulan kejadian kes Benedict ni, sebanyak 31 NGO kata beberapa bahagian utama RUU memperlihat kelemahan dan dikhuatiri kurang berkesan sebagaimana yang diharapkan.

“Kuasa suruhanjaya itu menjadi terhad untuk menjalankan siasatan dan pegawai polis pula boleh menolak untuk bekerjasama dalam sesuatu siasatan dengan memberikan alasan tidak jelas atau sewenang-wenangnya. Yang jelas, suruhanjaya itu tiada kuasa untuk memastikan cadangannya dilaksanakan,”- Kenyataan bersama Masyarakat Sivil, seperti yang dilaporkan BH Online

integriti polis
Via Malaysiakini

Kritikan-kritikan ni harus dipertimbangkan dalam memantapkan RUU tersebut. RUU ni jugak tak bermaksud kita benci polis ataupun kita tak percaya dengan kemampuan diorang. RUU ni dicadangkan pun kerana kita nak pastikan para pegawai polis kekal mematuhi etika dan lunas-lunas perundangan yang dah termaktub serta menuruti prosedur yang dah ditetapkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *