Guthrie Dawn Raid, serangan subuh yang patut diketahui oleh rakyat Malaysia

f1

Serangan subuh ke atas syarikat Guthrie menjadi salah satu peristiwa yang membuktikan Malaysia ni ada taring jugak. Bagi sebuah negara yang baru je berdiri selepas dijajah lama oleh British, tak semua benda dahulunya British eksploitasikan tu diorang bagi balik kat kita. Salah satunya adalah tanah kita. Semasa diorang menjajah, syarikat-syarikat swasta yang didirikan banyak beli tanah tempatan untuk dijadikan sebagai ladang penanaman seperti getah. Guthrie antara syarikat British yang memegang sebahagian besar tanah kita, dan tetap mengaut untung serta terus memperluas lagi tanah penanaman walaupun lepas kita merdeka.

Usaha tiga tokoh negara iaitu Tun Dr. Mahathir, Tun Ismail Mohd. Ali dan Tan Sri Khalid Ibrahim ni terpahat dalam sejarah menerusi tindakan ‘serangan subuh’ diorang. Lebih menarik, ‘serangan’ ni langsung tak terjangka dilakukan oleh Malaysia dan tak boleh dibatalkan sebab semuanya dilaksanakan mengikut undang-undang serta peraturan yang dikenakan sendiri oleh British. Akhirnya, British sedar bahawa Malaysia bukan lagi negara yang rela tunduk kepada diorang dalam ekonomi dan harus dipandang serius sebagai sebuah negara yang berdaulat.

bring guthrie back home malaysia raid
Via Iluminasi

Guthrie buat untung berjuta di Tanah Melayu, enggan orang Melayu kawal

Guthrie ni adalah syarikat yang ditubuhkan pada awal kurun ke-19 dan menjadi ejen utama untuk orang Eropah nak buat untung di Asia Tenggara. Selepas ditadbir oleh Sir John Hay, sorang pengurus bijak dari Scotland; Guthrie lebih maju dan berjaya memperluaskan pelaburan diorang dengan sektor penanaman getah, kelapa sawit, ladang teh dan lombong tin – semuanya berjumlah sekurang-kurangnya 35 juta pound.

Semua ni disalurkan kepada British setiap tahun. Sepanjang 1960-an, kita masih lagi biarkan firma British pegang saham aset negara disebabkan polisi PM pertama, Tunku Abdul Rahman yang nak kekalkan keyakinan para pelabur Cina Malaysia. Lewat 1970, dianggarkan bahawa 60% aset korporat Malaysia masih dipegang oleh para pelabur asing, dan 2/3 aset bukan Melayu juga dikawal oleh British. Pendek kata, takde satupun kaum yang menang di sini – Malaysia, walaupun dah merdeka, tak benar-benar merdeka dari segi ekonomi.

oilpalm malaysia
Via Wikimedia

Lebih merisaukan, pegangan Guthrie meningkat kepada sekurangnya 175,000 ekar pada permulaan 1970-an kepada 194,000 ekar tanah untuk getah, kelapa sawit, koko dan estet teh menjelang 1981. Sir John Hay, pengurus Scotland ni tak sokong mempelbagaikan hala tuju Guthrie kepada bidang pembuatan dan perkilangan, malah taknak pilih negara lain selain dari Malaysia.

Oleh sebab tu, para pegawai Bank England dan para pelabur Kota England gulingkan Hay, dan menggantikannya dengan orang yang lebih dengar cakap diorang. Penggulingan tu dilakukan kerana diorang pun takut jugak sekiranya pelabur Malaysia yang disokong oleh Amerika ambil semula aset-aset British dalam Guthrie.

bank of england
Bank England.. -Viia Finextra Research

Maksudnya, para pelabur British tak menolak kalau-kalau Malaysia nak ambil aset tu semula. Sir Eric Griffith-Jones pulak ikut nasihat diorang untuk mempelbagaikan lagi aset diorang kat UK, AS, Australia dan Afrika Selatan. Malangnya, takde yang lebih menguntungkan berbanding Malaysia.

Walaupun Hay nak perluaskan tanah kat Malaysia, dia tak sokong skim penanaman semula yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk pelabur kecil Melayu, termasuklah kesatuan peniaga sederhana yang diiktiraf. Selain tu, dia rasa aliran keuntungan tak harus disekat dan diganggu-gugat kerana politik ataupun situasi dalam negara-negara Komanwel.

getah penoreh
Via Economic History Malaya

Namun sedikit berbeza dengan Griffith-Jones; dia desak Bank of England agar sokong polisi ‘Malayanisasi’, dengan memilih para pegawai Malaysia untuk menguruskannya tanpa mengubah aliran keuntungan tu kepada Guthrie di UK. Rancangan ni bersesuaian dengan hala tuju polisi ekonomi Malaysia, selaras dengan keperluan zaman ketika tu. Pada 1978, Permodalan Nasional Bhd (PNB) ditubuhkan sebagai salah satu instrumen untuk polisi Dasar Ekonomi Baru dan dipengerusikan oleh Tun Ismail Mohamad Ali.

Tun Ismail dah lama cuba untuk ‘memindahkan’ kawalan aset Guthrie ni ke tangan orang Melayu, jadi tentulah keputusan Griffith-Jones adalah satu kejayaan kecil. Dasar Malayanisasi ni diharap boleh memenangi hati kerajaan Malaysia dan Tun Ismail, tanpa mengugat aliran keuntungan kepada British. Cawangan Guthrie yang lebih bercorak tempatan dibuka dan didaftarkan sebagai Guthrie Ropel Sdn Bhd pada 1966, dan terlibat dalam pemindahan perlahan-lahan saham kepada para pelabur Malaysia.

potret tun ismail ali
Potret Tun Ismail Ali.. -Via Bank Negara Malaysia Museum and Art Gallery

40% daripada pegangan saham tu ditawarkan dalam Kuala Lumpur Stock Exchange (KLSE) dan ia akhirnya disertai oleh para ahli lembaga terdiri daripada ahli politik dan bekas pegawai kerajaan. Namun, walaupun 40% tu dah di tangan orang tempatan… 60% lagi masih British punya. British masih berhak tentukan arah tuju aset Guthrie.

Mahathir dan Ismail dah lama anti-British, serangan subuh dirancang lama dan bertepatan dengan peraturan

Serangan subuh tu dirancangkan dengan baik sekali; dimana para pelabur yang rasa kena khianat tu pun tak boleh buat apa-apa untuk membatalkan atau menarik semula apa yang dah jadi terlepas dari tangan. Sebagai PM ketika tu, Mahathir sebenarnya takdelah terlibat secara langsung. Idea nak ambil balik aset-aset tanah tempatan daripada Guthrie ni datang ketika Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah lepak di kelab golf bersama Ismail Mohammad dan Raja Mohar Raja Badiozaman, penasihat ekonomi PM ketika tu.

khalid ibrahim ismail ali
Ismail Ali dan Khalid Ibrahim.. -Via NST

Bila dimaklumkan dengan idea tu, Mahathir setuju jugak. Guthrie mungkin dah usaha realisasikan Malayanisasi; tapi bukan “bumiputeranisasi”. Malaysia nak ambil Guthrie, apatah lagi walaupun Guthrie kat Malaysia ni antara sumber keuntungan para pelabur British… diorang di UK tak peduli sangat pun.

“Kami sedang berbicang tentang Felda, yang menjadi suatu pencapaian daripada Abdul Razak Hussein dan semua orang yang membantunya. Kemudian kami sedar bahawa kita tidak cukup tanah… Tetapi kemudian kami terfikir, banyak perniagaan penanaman tersedia di Malaysia. Mereka diuruskan dengan baik, diperhatikan dengan baik. Kenapa tidak beli mereka sebab hasilnya juga baik untuk harga yang ada di pasaran. Dan sebab itulah kenapa kami laksanakannya (serangan subuh) juga”. – Tengku Razaleigh, seperti yang dilaporkan The Star

infografik dawn raid guthrie subuh serangan
Infografik rangka masa.. -Via The Star

Pada 1980, PNB mengkaji dua penyelidikan tentang sama ada berbaloi atau tak untuk ambil semula Guthrie, serta perancangan teliti tentang macam mana nak ambil… dengan cara yang sah. Pada akhir 1980 tu, barulah PNB buat keputusan untuk tingkatkan pemilikan bumiputera ke atas tanah-tanah ni. Dengan langkah kanan, diorang berjaya beli saham Guthrie daripada Sime Darby pada Disember 1980.

Khalid Ibrahim jugak mendedahkan, sebab utama kenapa Guthrie yang disasarkan tu adalah kerana para pemegang blok saham tu kebanyakannya mesra dengan Malaysia dan terbuka untuk rundingan. Dengan 25% yang dah dipegang oleh PNB dalam Guthrie, ia menjadi lebih mudah untuk ‘menyerang’ Guthrie pada 7 September 1981.

khalid ibrahim
Khalid Ibrahim antara perancang serangan ke atas Guthrie.. – Via Illuminasi

Rentetan dengan pengalaman dulu berurusan dengan Sime Darby, Ismail dan Khalid Ibrahim dah faham sikit cabaran seterusnya. Oleh sebab ramai dah kritikal dengan pembelian saham Malaysia daripada Sime Darby pada 1979, PNB memutuskan bahawa strategi paling baik adalah pembelian serentak sekurangnya 40% daripada ekuiti firma tersebut. Mengikut kod yang diletakkan sendiri oleh Kota London, tak perlu bidaan formal kalau nak beli 5% ekuiti sesebuah firma.

PNB lantik Rowe & Pitman untuk beli 1.6 juta saham. PNB pulak beli di bawah 3.8 juta saham. Sekarang baru 42% pegangan saham dalam Guthrie. Seterusnya, selaras dengan Peraturan 34 kod Kota dalam penggabungan dan pengambilalihan, PNB hanya perlu beli saham yang lain daripada pihak lain. Jika nak campur dengan perolehan saham dari Sime Darby, PNB dah pegang 67% saham dalam Guthrie.

malaysia win raid control guthrie
Via Illuminasi

Pemilihan Rowe dan Pitman ni jugak bukan kerana diorang ni mesra dengan Malaysia. Diorang dipilih kerana diorang cekap dan dianggap sebagai ‘pakar serangan subuh’ sebab diorang ada sekumpulan 30-40 orang di London Stock Exchange yang bersedia menghubungi para penjual saham Guthrie dan memastikan diorang terima tawaran untuk jual saham tu kepada Rowe and Pitman sebaik subuh menyusul pada 7 September tu.

Taktik ni turut dilakukan ke atas beberapa syarikat lain seperti Malaysia Mining Corporation, Malayan Tin Dredging dan Barlow Plantations. Tekanan ni mendesak Harrison & Crosfield untuk tunduk lalu memberikan kawalan majoriti ke atas 167,000 ekar tanah getah dan kelapa sawit kepada Malaysia. PNB dan Harrison menjadi rakan seperniagaan dan mengawal 50% dalam Harrison Malaysian Plantation Berhad, serta membenarkan H&C pegang 30% dalam syarikat tersebut.

harrison guthrie
Via Mygrandfathersroad.wordpress.com

Sikap agresif Malaysia wajar pada ketika tu, pastikan aset di Malaysia kekal dalam tangan Malaysia

Tindakan PNB yang dilihat agresif ni sebenarnya bukanlah suatu yang asing dalam dunia pelaburan saham. Taktik pengambilalihan ni boleh jadi jugak, namun tak boleh dilakukan kerana suka-suka je atau bergantung kepada nasib baik. Walaupun peristiwa serangan subuh ke atas Guthrie ni tampak ajaib, ia sebenarnya menelan masa, ketelitian dan kerahsiaan yang tinggi dalam kalangan sesiapa yang tau tu.

Sebelum serangan pengambilalihan ke atas Guthrie, LSE jugak menyaksikan sebuah syarikat lain iaitu De-Beers turut diambil alih pada waktu subuh Julai 1980. Oleh tu, peraturan baru dikenakan pada Disember 1980 di mana diorang berhasrat untuk setarakan persaingan khususnya buat para pemegang saham kecil agar diberikan maklumat secukupnya tentang pembelian saham diorang dan tawaran oleh para pembeli semasa serangan subuh. Mekanisme ni bertujuan untuk menangguhkan sebarang pembelian yang melebihi had 30% pegangan saham tu.

Namun begitu, peraturan ni tak terpakai oleh sesiapa yang tawarkan nak beli semua saham tersebut dan jika nak beli lebih dari 30%, mestilah bida saham lain di bawah Kod Pengambilalihan. Kelompangan ni digunakan sebaiknya oleh PNB, sehingga lepas kejadian tersebut, ia digubal semula oleh British bagi memastikan firma British tak ‘diserang’ lagi. Kebijaksanaan dan keperluan ekonomi ketika tu mewajarkan tindakan kita untuk menyerang syarikat firma negara lain, terutamanya yang menelan keuntungan daripada tanah negara sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *