TIGA alasan tak masuk akal daripada golongan anti-vaksin yang perlu anda tahu

f1

Dengan usaha kita nak percepatkan vaksin ni, gerakan anti-vaksin terus wujud diam-diam, di mana-mana dan dah tak kira siapa dah. Biasanya bila kita bayangkan sosok anti-vaksin ni, mesti ramai yang sangka bahawa sorang anti-vaksin ni tak berpelajaran, kurang bijak dan lebih yakin dengan teori-teori konspirasi. Mungkin ada jugak karakter macam ni dalam gerakan anti-vaksin tu sepertimana yang kita lihat berlaku di Amerika Syarikat, tetapi kadangkala, orang berpendidikan tinggi dan profesional ni pulak yang sokong anti-vaksin. Contohnya, daripada lebih 400 000 guru berdaftar dalam data guru KPM, 2500 daripadanya tolak vaksin.

Kami rasa agak menarik jugak untuk tau alasan geng anti-vaksin ni, dan apa sebab diorang boleh fikir untuk tolak vaksin. Oleh demikian, kami berjaya menyusup masuk ke dalam sebuah kumpulan chat kat Telegram yang menempatkan ramai orang yang tolak vaksin ni. Macam-macam jugak kami perhatikan, jadi kami nak simpulkan tiga alasan utama kenapa diorang tolak vaksin. Kami dah sisihkan pandangan golongan ragu vaksin atau tunda vaksin kerana faktor kesihatan, dan hanya ambil pandangan golongan orang yang pilih untuk tolak vaksin.

Anti Vax
Via Youtube

1. Mengatasnamakan ikhtiar sepenuhnya kepada apa yang tertulis dalam Quran, tolak nasihat Mufti dan pakar kesihatan

Menurut pemerhatian kami, ni menjadi salah satu teras kepada pola fikiran geng anti-vaksin ni. Secara mudahnya, kami dapat simpulkan bahawa diorang ni taknak ambil vaksin kerana ia tak tersebutpun kat Al-Quran dan kitab suci masing-masing (ye, ada jugak mengaku bukan Islam dan tolak vaksin).

Oleh tu, diorang hanya ambil perkara-perkara yang disebut jelas dalam Quran dan hadis seperti madu, zaitun, habbatussauda dan pelbagai lagi. Bagi sesetengahnya daripada diorang ni, ni diumpamakan sebagai ujian Allah di akhir zaman kepada para manusia. Suntikan vaksin ni dilihat macam satu benda yang asing dan tak Islamik atau suci untuk dimasukkan ke dalam badan.

zikir sunnah anti vaksin
Ganti peranan doktor nak suruh makan Ivermectin, padahal belum disahkan selamat lagi oleh KKM…

Zikir, makanan sunnah, bekam dan ivermectin antara ‘kaedah perubatan’ yang disyorkan sebagai pengganti kepada vaksin. Ada jugak dalam satu perbualan berkenaan isu TMJ panggil guru-guru tolak vaksin dulu, ramai yang nak berhujah dengan TMJ tentang tindakan penolakan vaksin. Cakap-cakap Mufti tak terpakai, malah didakwa hanya ikut cakap kerajaan. Diorang jugak suka bagi rujukan daripada laman sesawang, khususnya bila nak backup hujah diorang. Diorang pusing fakta-fakta sebenar untuk sokong alasan diorang.

anti vaksin tmj
Bersiap sedia nak berdebat dengan TMJ ke ni..

2. Semua demi hak manusia untuk tak vaksin, tolak arahan mandatori ambil vaksin

Ni jugak boleh dikatakan sebagai tema yang berulangan dalam pola fikir anti-vaksin ni. Diorang kata vaksin ni tak patut diwajibkan oleh kerajaan dan orang tak boleh paksa diorang ambil vaksin. Setiap manusia ada hak untuk menerima dan menolak vaksin, tak kiralah betapa bagusnya orang lain kata tentang vaksin.

Vaksin tak dianggap sebagai langkah pencegahan, sebaliknya cuma suatu pilihan kaedah perubatan yang boleh ditolak kalau diorang nak. Memang secara prinsipnya dalam perubatan, pesakit boleh tolak ubat atau nasihat kesihatan yang diberikan oleh pakar-pakar perubatan walaupun potensi nak sembuh tu lebih tinggi sekiranya menurut nasihat diorang. Prinsip ni digunakan oleh geng anti-vaksin dalam perihal vaksinasi ni.

Memetik percakapan daripada sorang ahli aktif kumpulan tersebut:

“Orang kencing manis kita x  (tak) boleh paksa dia ambik obat kencing manis. Itu hak diri dia. Sama juga dengan vaksin yang mengurangkan gejala pada diri dia sekiranya dia terkena virus covid. Itu hak dia.”

Sekiranya vaksinasi diwajibkan oleh kerajaan, ia seolah-olah menyekat kebebasan untuk menggunakan hak diorang menolak vaksin. Dalam kefahaman diorang, vaksin cuma kurangkan gejala tetapi tak jugak kawal penyakit. Kami rasa diorang ni pun silap faham jugak tentang bagaimana Covid-19 boleh membawa maut.

hak nafi anti vaksin ancaman
Minta hak taknak vaksin, tapi nafikan hak orang lain untuk rasa selamat daripada Covid dan geng anti-vaksin.. -Via Public Health Malaysia

Covid-19 ni bukan setakat penyakit macam kencing manis yang korang boleh kawal; ia adalah virus yang mencetuskan gejala-gejala yang boleh mengehadkan kemampuan tubuh untuk berfungsi dengan baik. Ia tentang respon antibodi dan persoalan apakah antibodi tu boleh selamatkan tubuh. Sebab tu kena ambil vaksin, bukan hanya makan ubat-ubatan biasa je. Yang sembuhkan tu antibodi korang sebenarnya. Vaksin membantu antibodi korang kenal awal-awal dan serang sebelum virus tu mencetuskan gejala seterusnya.

mandatori kerajaan vaksin anti
Jauhnya fikir… nanti kalau ada orang jatuh tangga pun salahkan vaksin jugak ye?

3. Fungsi vaksin tak jamin diorang tak kena penyakit, prasangka yang tinggi terhadap para pengeluar vaksin kerana konspirasi

Selain tu, diorang turut berhujah bahawa vaksin ni tak jamin 100% bahawa kita takkan dapat Covid-19 tu. Kalau tak jamin, buat apa nak ambil? Hah gitulah perbahasan diorang. Untuk faham pola fikir yang ketiga ni, kita boleh cerakinkan kefahaman diorang ni bersumberkan dua perkara iaitu sikap skeptikal tak bertempat dan prasangka yang tinggi terhadap vaksin.

Bagi perkara pertama tu, ada sesetengah daripadanya ni mulanya skeptikal dengan keberkesanan vaksin. Kalau baru tahap ragu je, sekurangnya kita boleh bagi faham kat diorang. Tapi kalau dah sampai skeptikal, diorang sukar menerima apa-apa fakta yang diberikan kepada diorang.

“Cuba kita ubah hujjah itu dengan mengambil kira sifat vaksin itu sendiri. Vaksin adalah bertujuan untuk mengurangkan gejala kepada seseorang yg terkena covid. Seperti yang di nyatakan oleh who. Vaksin bukan berfungsi sebagai penyekat kepada penyebaran covid. Kerana tu lah who dah cakap siap siap orang yg mempunyai gejala tidak perlu vaksin kerana dalam diri dia dah terbentuk sistem imun kepada covid.. Jadi pemahaman kita di splitkan oleh pihak tertentu dengan menyebarkan maklumat seakan akan vaksin itu boleh menyekat penyebaran covid.”

analogi anti vaksin
Ada jugak yang kaitkan isu lain dengan Covid dan vaksin…

Vaksin sememangnya tak jamin kita akan kebal daripada Covid. WHO pun ada cakap jugak orang yang dah kena Covid-19 ni ‘imun’ daripada jangkitan kedua. Tetapi yang diorang tak mengerti bagi fakta kedua iaitu pesakit Covid-19 hanya ‘imun’ dijangka hanya dalam masa 90 hari iaitu di mana sistem imuniti badan masih berwaspada dengan sebarang sisa virus yang tinggal lepas dimusnahkan dalam badan.

Habis 90 hari tu, diorang dah sama risiko sebagaimana orang yang tak pernah kena Covid-19. Pemahaman diorang sebenarnya tak di’split’kan; pemahaman diorang ni sebetulnya adalah sempit. Mungkin di sini, pihak KKM dan media bertanggungjawab kena cakna untuk memperbetulkan kekurangan maklumat dalam contoh-contoh terperinci macam ni.

Manakala untuk prasangka tahap tinggi ni pulak… ada sesetengah daripadanya ni pun banyak merujuk pada teori-teori konspirasi. 5G lah, piramid lah, salah China lah, agenda Amerika Syarikat lah… macam-macam lah. Isu-isu semasa dianalisis dalam kerangka teori konspirasi, membenihkan fikiran yang hanya dalam mod ketakutan, kewaspadaan dan ada yang sampai rasa ‘terdesak’ hingga mencipta idea-idea baharu dan menyeleweng daripada ajaran agama sebenar.

konspirasi covid vaksin tuli buta
Salah China jugak…

Bagi kami, kalau dah isu ekonomi… kita kena tengoklah teori ekonomi. Kalau isu antarabangsa…. kita kena tengoklah teori hubungan antarabangsa atau geopolitik. Konspirasi ni tak lebih dari sekadar spekulasi dan andaian berdasarkan fikiran yang tak cukup ilmu kemasyarakatan.

Dari gambaran yang lebih besar, golongan anti-vaksin ni sebenarnya kecil je. Namun suara diorang tampak lebih besar kerana kita faham betapa bahayanya ‘tentangan’ ni kepada usaha nak melindungi kesihatan awam. Kami menyusup masuk ke dalam perbualan diorang ni pun tak bermakna kami setuju dengan apa yang diorang cakap mahupun nak terima pola fikir diorang. Sebaliknya, kami menyahut keperluan kajian lalu agar menyiasat proses fikiran diorang ni, seterusnya membolehkan kita menangani pengaruh diorang ke dalam akal masyarakat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *