Selepas perhimpunan tabligh, adakah akan ada kluster dari agama lain?

F1

Ni dah masuk minggu kedua tempoh ‘kuarantin’ seluruh negara. Abang-abang askar pun dah diturunkan ke lapangan bersama dengan abang-abang polis yang setia menjaga dan mengawal keadaan. Dahlah masih banyak yang langgar arahan, sampaikan ada kata tempoh kuarantin ni boleh berlangsung lebih lama.

Untuk pengetahuan korang, setakat ni hanya ada 3 kluster utama yang boleh dikenalpasti. Yang popular sekarang ni adalah peserta dari perhimpunan tabligh Sri Petaling dulu. Tapi ada pulak berani kata wujud kemungkinan ada lagi kluster baharu… dari mana datangnya dakwaan ni?

Tabligh
Via Suara Merdeka

Lebih 30,000 peserta Masi Magam Theppa Thirunal berhimpun lepas kejadian Sri Petaling

Pada 8 Mac lalu, satu lagi pesta besar yang mengumpulkan ramai penganut Hindu dekat Teluk Bahang di Pulau Pinang iaitu Masi Magam Theppa Thirunal. Pesta ni pun turut disertai oleh penganut Hindu dari beberapa negara jiran, dan ia berlangsung kira-kira seminggu lepas perhimpunan tabligh kat Sri Petaling.

Masi Magam
Via The Star

Menurut kepercayaan agama Hindu, Maasi bermaksud bulan mengikut kalendar Tamil manakala Magam pula adalah salah satu bintang daripada 27 bintang dalam sistem astrologi Hindu. Perayaan tersebut diadakan untuk mendapat restu daripada Dewi yang dipercayai menjaga kawasan laut itu selalunya jatuh di antara bulan Febuari dan Mac.

Walaupun dengan ancaman COVID-19 yang dah melanda banyak negara, pihak penganjur tetap buat jugak. Banyak dah yang kecam tindakan para penganjur yang dilihat tak peka dengan perkembangan semasa. Menurut seorang mantan komander Tentera Laut, S. Thayaparan dalam sebuah komen di artikel Malaysiakini;

“Ini yang apa jadi bila orang tak ambil perhatian atau benarkan sifat pentingkan diri untuk mengugat keselamatan kolektif, tapi bagaimana pihak penganjur festival dibenarkan mengadakannya (pesta tersebut). Ni berlaku lepas perhimpunan keagamaan Sri Petaling, dan saya faham ia sudah dirancang, dan kita pun taknak sakitkan hati mana-mana komuniti (agama) lain. Tapi benda ni tak seharusnya terjadi…”- Seperti yang dipetik oleh Varnam.my pada 16 Mac 2020

Masi Magam Float
Upacara tersebut memang dijalankan tiap tahun…Via Penang Events

Pendapat tersebut pun datangnya dari hati yang risaukan kemaslahatan masyarakat. Dengan jumlah seramai tu, ditambah lagi dengan laporan penganjur sendiri yang dakwa ni pun turut disertai oleh penganut dari luar negara… tak hairanlah ramai pun gusar jika wujudnya kluster baharu.

Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS), Datuk RS Mohan Shan kata setakat ni memang takde lagi kes positif COVID dalam kalangan para peserta acara tersebut. Namun pemeriksaan kesihatan harus dilakukan jika mereka yang terlibat dalam acara tersebut ada mengalami gejala-gejala wabak. Notis makluman pun dah dikeluarkan supaya acara atau perhimpunan keagamaan Hindu ditangguhkan buat sementara waktu.

Massi Magam
Via Astro Awani

Terbaru, Exco Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin sahkan bahawa setakat ni kes jangkitan wabak tu masih berada dalam lingkungan kluster tabligh terdahulu.

“Kes-kes Covid-19 yang dilaporkan di Pulau Pinang semuanya dari kluster perhimpunan tabligh di Sri Petaling. Saya telah merujuk perkara tersebut kepada Ketua Pengarah Kesihatan dan menurutnya penekanan utama diberikan dalam kes-kes daripada perhimpunan tabligh,”- Seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian pada 22 Mac 2020

Tiga orang ahli gereja positif COVID-19, gesa mana-mana kontak rapat segera jalani pemeriksaan kesihatan…

Kemudian, pada 20 Mac pula kita dikejutkan dengan berita 3 orang ahli gereja dari Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) dah positif wabak tu. Tiga pesakit tersebut adalah Datin Doris Ho dan dua lagi yang tak dinamakan oleh The Star.

Dumc Covid Petaling Jaya
Via The Star

The Rakyat Post pula melaporkan mereka adalah sebahagian dari kluster dari perjumpaan ahli-ahli gereja di Bangsar, KL pada 6 Mac lalu. Pada hari yang sama jugak, ada lagi kes seorang anggota gereja Katolik dari Church of Our Lady Guadalupe di Petaling Jaya turut dilaporkan positif COVID19 lepas jalani ujian sehari sebelumnya.

Kalau korang masih ingat lagi, mangsa pertama yang terkorban dari wabak tersebut jugak adalah Pastor David Cheng, dari Emmanuel Baptist Church lepas mengalami kesukaran bernafas pada 14 Mac lalu. Keadaan kesihatannya mulai merosot, ditambah lagi dengan penyakit kronik yang ada seperti diabetes dan hipertensi (tinggi darah).

Pastor David Cheng
Foto mendiang bersama isterinya, Sim Lee Naa -Via Christian Post

Ibu dan anak perempuan Pastor David Cheng pun turut terjangkit dari virus tersebut, namun kesihatan mereka masih agak memberangsangkan. Salah seorang anaknya, Anders Cheng kata:

“Sekarang ni, saya lebih risaukan ibu dan kakak saya dan mendoakan imuniti mereka boleh lawan virus tersebut tanpa sebarang komplikasi. Doakan kesihatan saya juga agar saya negatif wabak tu, serta kakak dan ibu saya akan bertambah baik kesihatannya.”- Seperti yang dilaporkan oleh Christian Post pada 18 Mac 2020

Pastor Cheng
Via Salt & Light

Sesiapa yang mempunyai kontak rapat khususnya dari gereja yang kami sebutkan tadi digesa untuk buat pemeriksaan kesihatan dan kuarantin diri. Kesemua organisasi gereja ni pun dah maklumkan kepada para anggota lain agar sentiasa pantau kesihatan diri dan segera dapatkan rawatan di hospital jika mengalami gejala-gejala pandemik ni. Kalau disuruh duduk rumah…

Duduk Jangan Lari
Faham tak? Via Imgur

Jangan guna nama agama nak cetuskan perbalahan, masa inilah kita kena bersatu padu…

Sepanjang minggu pertama sekatan perintah berkurung ni, banyak sungguh palatao yang nak jugak keluarkan pendapat mereka pasal COVID-19 ni. Sejenis palatao yang paling ramai orang ‘suka’ ni adalah mereka yang petik nama agama untuk cetuskan ketakutan dan kebencian atas penganut agama lain pulak.

Ada yang berlebihan nak kecam geng tabligh, tak kiralah kecaman tu datang dari rakyat beragama Islam sendiri atau yang bukan beragama Islam. Seharusnya yang dikecam ni adalah sifat individual yang tak nak bekerjasama hinggakan perlu diheret pihak berkuasa. Ada lagi yang taknak jujur dan menipu kakitangan kesihatan…

Ada benda memang kena rahsiakan. Status penyakit korang bukan salah satunya..Via Giphy

Dalam hal ni, semua orang rugi… tak kira dah agama apa. Satu-satunya kita nak menang cabaran getir ni adalah bila kita bersatu padu tanpa mengungkit perbezaan yang kita ada. Kalau korang ada gejala wabak ni seperti demam, selesema atau rasa lesu serta pernah hadiri perhimpunan besar macam Maasi Magam atau pernah bersemuka dengan ahli-ahli gereja yang kami sebutkan tadi, bersegeralah ke hospital untuk jalani saringan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *