Sabah jadi negeri KETIGA tertinggi kes COVID-19, beberapa larangan baru diperkenalkan

F1

Hari ni kami nak bawak korang ke Borneo kejap, sebab beberapa artikel sebelum ni berfokus di Semenanjung Malaysia. Nampaknya kes COVID-19 dah semakin teruk di Sabah. Diorang terus catatkan peningkatan kes positif COVID-19 dengan 22 kes baharu dilaporkan hari semalam. Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung kata – jumlah tu jadikan kes terkumpul positif COVID-19 di Sabah mencecah 158 kes.

Sabah jadi negeri ketiga kes tertinggi COVID-19, dengan Tawau catat jumlah tertinggi

Tawau catatkan jumlah tertinggi dengan 40 kes diikuti Lahad Datu sebanyak 33 kes. Menurut Frankie Poon, sebanyak 22 kes dilaporkan di Kota Kinabalu, dan Tuaran merekod jumlah kes baharu tertinggi sebanyak enam kes menjadikan kes positif daerah itu sebanyak 12 kes.

“Kinabatangan dan Sandakan masing-masing merekodkan sebanyak 11 kes diikuti Beaufort dengan enam kes manakala Kota Belud dan Kunak masing-masing dengan lima kes. Empat kes masing-masing dilaporkan di Putatan dan Sipitang diikuti Papar dan Ranau masing-masing dua kes manakala Semporna satu kes,” – Frankie Poon, seperti yang dilaporkan SABAHPOST

Dalam kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, kes positif COVID-19 di Sabah yang ketiga tertinggi di Malaysia, selepas Selangor dengan 309 kes dan Kuala Lumpur sebanyak 183 kes.

C82ac683 B3bd 4133 Ac49 27b58f8fadda
Via Kementerian Kesihatan Malaysia

Semalam ada 123 kes baharu di Malaysia dilaporkan, iaitu 74 kes dari kluster perhimpunan tabligh dan 49 kes dari lain-lain kluster. Jumlah tu menjadikan kes positif COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 1,306 kes. Sebanyak 25 kes dilaporkan pulih dan dibenarkan discaj pada 22 Mac 2020 dan menjadikan jumlah terkumpul kes pulih sepenuhnya sebanyak 139 kes.

Sekarang dah tak boleh ada penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Borneo, dan sebaliknya…

Sudah tentu banyak cara yang telah difikirkan untuk mengatasi masalah ni, salah satunya, pergerakan dari Semenanjung ke Sabah serta Sarawak, dan sebaliknya, dah tak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa semalam.

Kota Kinabalu Airport 101
Airport Kota Kinabalu. Via KLIA2 INFO

“Penerbangan dari (atau) ke Semenanjung Malaysia ke/dari Sabah dan Sarawak adalah tidak dibenarkan, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini dikuatkuasakan,” – Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Kenyataan tu turut menekankan sebarang perubahan atau keputusan oleh Kerajaan Malaysia, berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, termasuklah sama ada kerajaan merancang untuk memendek atau melanjutkan tempoh perintah itu sepanjang tarikh 18 hingga 31 Mac ni.

Via Giphy

Kementerian Dalam Negeri turut beritahu takde warganegara asing dibenarkan memasuki Malaysia, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kecuali bagi warganegara asing berstatus diplomat yang berkhidmat di negara ini berserta tanggungan mereka.

“Diplomat asing dan tanggungan mereka adalah dibenarkan untuk memasuki dan meninggalkan Malaysia semasa perintah ini berkuat kuasa, dan disyaratkan untuk membuat kuarantin secara sukarela selama 14 hari. Bagi pegawai kerajaan asing yang bukan berstatus diplomat (yang menetap di Malaysia) juga adalah dibenarkan memasuki atau meninggalkan Malaysia, dengan syarat dokumen penggajian dapat dibuktikan semasa kemasukan ke Malaysia,” – Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Selain tu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura juga tidak dibenarkan berulang-alik. Rakyat Malaysia yang ada permit kerja sah di Singapura, dibenarkan keluar ke negara itu untuk bekerja, dengan syarat ada surat panggilan kerja dari majikan, serta persetujuan bertulis bahawa kemudahan penginapan disediakan oleh majikan di sana.

Operasi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan dipendekkan

Selain tu, operasi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) libatkan sempadan Sabah dan Sarawak di Sindumin-Merapok akan dihadkan bermula jam 6 pagi sehingga jam 8 malam je. Berbanding sebelum ni, CIQS itu beroperasi dari jam 6 pagi hingga jam 12 tengah malam.

Benda ni disahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Pusat Perintah COVID-19 Sabah, Datuk Safar Untong dalam satu kenyataan medianya.

“Selaras dengan persetujuan antara Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, maka kita telah memutuskan operasi (CIQS) Sindumin – Merapok, bermula jam 6 pagi hingga 8 malam berkuatkuasa hari ini,” – Safar Untong, seperti yang dilaporkan AWANI

Dia turut memaklumkan pihaknya memutuskan semua Ketua Kampung, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Dalam Bandar perlu bantu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah seliaan masing-masing.

Diorang turut menegaskan supaya semua perhimpunan awam dan majlis keramaian seperti kenduri, perkahwinan dan acara-acara adat melibatkan orang ramai hendaklah dibatalkan. Sekatan jalan raya di seluruh Sabah sedang dikuatkuasakan untuk memastikan arahan Perintah Kawalan Pergerakan dipatuhi.

Kita harapkan wabak ini berjaya dibendung supaya kita boleh hidup seperti biasa

Kita harapkan masyarakat di Borneo akan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan dalam menghadapi COVID-19. Seperti yang korang boleh tengok, nampaknya krisis ni telah sebab kebanyakan kita terkesan, dan buat masa ni – kita harap supaya segeralah kes COVID-19 di Malaysia ni menurun. Mesti korang rindu nak hidup normal balik kan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *