Isu DG Hisham takut mati, ada yang kata dakwaan MP Bintulu ada asasnya

F1

Hangat jugak ‘pergaduhan mulut’ dalam sebuah sidang Parlimen yang timbul baru-baru ni, di mana terlontarnya kenyataan kurang baik kepada penjawat awam dari mulut sorang Ahli Parlimen. Seperti yang kami dah terangkan sebelum ni, penjawat awam ni merupakan tulang belakang kepada kerajaan. Sedangkan masa kerajaan ‘lumpuh’ kehilangan kepala pada akhir Februari dulu, urusan pentadbiran masih lagi berjalan dengan baik.

Susulan kenyataan “DG takut mati” tu, ramai yang menyebelahi DG dan mengecam ahli parlimen tersebut. Namun begitu, kenyataan tersebut sebenarnya boleh dilihat sebagai suatu kritikan yang disampaikan ke pengetahuan Parlimen dan perlu dipandang serius jugak. Sebelum korang kecam, baca dulu kenapa kami kata macam tu…

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Via Bernama

Dr. Noor Hisham kata tak timbul isu takut mati, Dr. Dzulbakri turut berikan komen lepas kenyataan kasar MP Bintulu

Lepas kenyataan kasar ahli Parlimen Bintulu Dato’ Seri Tiong King Sing ni mulai dilaporkan meluas oleh media, warganet kecam ahli parlimen Bintulu kaw-kaw. Ramai berpandangan kenyataan ‘DG takut mati’ ni menampakkan lagi ketidakcekapan ahli-ahli Parlimen yang sedia ada, terutamanya kepada KP Kesihatan yang telah banyak tampil ke hadapan rakyat dalam tempoh pandemik ni.

Memetik kenyataan ahli Parlimen Bintulu ketika dalam sidang parlimen tersebut:

Ini DG hari-hari buat berita saja, bikin apa? Kalau kita itu berita, bagi itu office boy dia pun boleh baca. Kenapa dia tidak turun padang? Macam sekarang di KK, Sabah, begitu teruk, begitu hebat pandemik COVID-19. Kenapa dia tidak turun melawat tiap-tiap hospital? Temporary hospital, kita pergi tengok.

Berbincang bagi moral support front liners juga. Doktor, jururawat, mereka semua bekerja sana. Jangan hantar sahaja doktor pergi, jururawat pergi. Oh, itu orang tidak takut mati, tetapi DG takut mati. Timbalan DG pun tidak pergi. Apa sudah jadi? Tak usahlah hari-hari hendak buat publisiti…- Seperti yang dipetik Suara Merdeka.com

Bintulu Tiong King Sing
Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing.. -via Bawang Rangers

Ni membuatkan Dr. Noor Hisham membidas semula kenyataan ahli Parlimen Bintulu. Dr. Noor Hisham kata dia dahpun turun padang ke Sabah pada PRN Sabah lalu dan sentiasa ambil maklum mengenai perkembangan kesihatan awam. Maka tak timbul sebenarnya soal takut mati ni. Bahkan Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam pun ada turun ke Sabah.

Dr. Dzulkifli Bakri pun turut beri komen, dan menyeru agar kita merenungi kenyataan ahli Parlimen tu berbanding hanya melihat ayat “takut mati” je.

Perkara ni ada betulnya jugak; ahli Parlimen tak seharusnya keluarkan kenyataan macam tu khususnya kepada penjawat awam. Dr. Noor Hisham memang dah buat mengikut tugas dan tanggungjawab yang telah dipikul, bersesuaian dengan apa yang dia boleh buat dalam lingkup bidang kuasanya. Kritikan ahli Parlimen tu sebenarnya ada isi, cuma tak kena pada tempatnya.

Kami rasa sebaiknya perkara ni ditujukan kepada Menteri Kesihatan dan kementerian berkaitan, bukannya kepada sorang penjawat awam pulak. Kalau nak kritik sangat pun, pastinya ada je pernyataan yang lebih baik berbanding mempertikaikan kemampuan Dr. Noor Hisham dan sebut “takut mati”. Ayat macam tu memang tak enak didengari sesiapapun lagi-lagi dalam suasana rasmi seperti di Dewan Rakyat.

Yb Adham Baba
Rindu jugak tengok Menteri Kesihatan.. asyik tengok Dr. Noor Hisham dan Dr. Noor Azmi je ni… Via MTPN

Kenyataan Tiong King Sing mungkin melukakan hati, namun isi kritikannya tetap relevan di Sabah

Macam kami kata sebelum ni, kenyataan tu kasar… tapi ada isi. Lepas PRN Sabah pada September lalu, kiraan kes kita melonjak naik dan dah banyak kluster wujud di Sabah. Tak lama lepas tu, akhirnya hampir seluruh negeri di Malaysia dikenakan PKPB semula dan seolah-olah kembali kepada zaman sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan untuk kawal penularan pandemik.

Ajulahin Japin yang merupakan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah kata dakwaan Tiong King Sing ni tak seharusnya disangkal bulat-bulat. Ia harus disiasat jugak, dan cara paling baik untuk mendapatkan fakta sebenar adalah dengan menyiasat sehingga ke akar umbi.

“Kami sering menerima aduan daripada pekerja kesihatan, terutama dalam situasi kritikal berhadapan dengan Covid-19 ketika ini, lalu kami akan salurkan aduan itu kepada Kementerian Kesihatan, dan kemudian kami terima maklum balas kepada aduan itu, mengenai bagaimana cara untuk membaiki keadaan.

Apa yang kita pentingkan adalah kebajikan petugas kesihatan kita, dan kita juga berikan maklum balas kepada pihak berkuasa kesihatan mengenai cara menanganinya, contohnya isu berhubung tuntutan elaun kerja lebih masa yang harus dibayar dengan teratur,”- Seperti yang dipetik Malaysiakini

Mobilisasi Kkm
Mobilisasi kakitangan kesihatan dari negeri lain ke Sabah… Via Twitter MKN

Ajulahin tak menafikan persekitaran kerja kakitangan kesihatan agak tegang sejak beberapa bulan ni disebabkan risiko penularan jangkitan tersebut dalam kalangan kakitangan, kekurangan tenaga kakitangan tu sendiri akibat ramai yang disahkan positif dan tekanan kerja yang mulai memberi kesan kepada semangat kakitangan kesihatan.

Kami rasa isu kesihatan awam kat Sabah jugak memerlukan perhatian sewajarnya dari kerajaan negeri dan pusat, dan perlu menyiasat keadaan kakitangan kesihatan di Sabah ni. Jika dilihat dari sisi positif mengenai kes Tiong King Sing ni, ia membuatkan ramai mulai memerhatikan perkembangan kesihatan awam dari mata kakitangan kesihatan jugak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *