Untuk kurangkan risiko, India guna robot untuk memantau pesakit Covid-19

F1

Seiring dengan zaman teknologi dan revolusi perindustrian 4.0 ni, dah banyak pencapaian dan perkembangan yang boleh dibanggakan dalam sejarah manusia terhasil dengan bantuan kepintaran buatan dan robot. Bahkan teknologi robotik ni pun bukanlah suatu bidang yang asing, sedangkan kat peringkat sekolah tu dah ada pertandingan cipta robot.

728 X 90

Tapi bagaimana jika robot tu jugak sebahagian daripada ‘kemanusiaan’, lagi-lagi dalam zaman pandemik ni? Kat India, robot ni boleh dianggap sebagai kakitangan hospital dan berjaya buatkan ramai pesakit Covid-19 tak rasa jauh dari keluarga walaupun tengah menderita.

Robot India
Via The Indian Express

Mitra jadi ‘kakitangan’ hospital yang boleh ingat nama dan bantu pesakit berhubung dengan keluarga dari jauh

Dengan kadar kes aktif yang semakin bertambah di India, agak merisaukan jugak sekiranya kapasiti sesebuah hospital dan tenaga kerjanya tu dah capai had maksimum. Oleh sebab tu, banyak syarikat robotik kat India tu dah mulai mencipta robot yang membolehkan tenaga kerja sesebuah hospital tu dapat diringankan, supaya kerja-kerja yang lebih mustahak tu lebih cepat disiapkan.

Sebuah syarikat robotik yang berpusat di Bangalore, Invento Robotic kini dah cipta 3 buah robot untuk memudahkan kerja-kerja seperti membuat pembersihan nyahkuman kawasan dalaman hospital, menjawab pertanyaan pesakit hospital dan jadi pengantara konsultasi video antara para doktor.

Mitra
Via CNN

Model yang paling popular adalah Mitra, bermaksud “kawan” dalam bahasa Hindi dan berharga $10,000 sebuah. Walaupun nampak mahal, tapi kami rasa harga tu memang berpatutan. Mitra ni menawarkan banyak fungsi yang turut memberi manfaat kepada kakitangan hospital dan para pesakit. Dengan teknologi facial-recognition yang ada kat Mitra, dia boleh ingat nama dan wajah sesiapa yang berinteraksi dengan mereka dulu.

Selain tu, Mitra ni boleh mengemudi dirinya sendiri dan tak perlukan tenaga manusia untuk kawal pergerakannya. Ni barulah “membantu selagi mampu”. Memandangkan Mitra jugak sebuah robot pintar, maka ia tak cepat penat jika terpaksa ke sana ke mari apabila diperlukan. Jadi walaupun pandemik ni berakhir suatu ketika nanti, ramai dah melihat potensi besar yang ditonjolkan dengan adanya robot pembantu di hospital.

Mitra Doktor
Mitra hubungkan sesama kakitangan… Via Insider.com

Kat Yatharth Hospital di bandar Noida, ada dua buah robot Mitra yang bertugas kat sana. Sebuah robot tu ditempatkan kat depan hospital, dimana para pengunjung akan disaring dengan penilaian simptom koronavirus manakala sebuah lagi diletakkan kat unit rawatan ICU.

“Dalam unit ICU kami, Mithra bantu para pesakit berhubung dengan keluarga mereka menerusi video secara langsung dan memberi gambaran kepada keluarga pesakit dengan bagaimana keadaan dalam ICU. Para pesakit jadi gembira dan positif apabila robot tersebut lawat mereka. Mereka dilihat selalu akan ambil swafoto bersama Mitra”- Kapil Tyagi, pengarah Hospital Yatharth, seperti yang dilaporkan CNN Business

Fokus bina robot untuk bidang kesihatan dan penjagaan pesakit, suatu perkara yang menarik untuk kita pertimbangkan

Invento Robotic bukanlah satu-satunya syarikat di India yang fokus mencipta robot untuk berkhidmat di hospital. Beberapa syarikat lain seperti Milagrow Robotics dan Asimov Robotics pun turut mengalih perhatian mereka kepada perkhidmatan dalam hospital. Milagrow Robotics misalnya dah cipta 5 robot pembersih kepada beberapa hospital di India manakala Asimov Robotics cipta robot untuk agihkan ubat kepada pesakit.

Perkembangan kat India ni sebenarnya dah boleh didapati kat beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat, Australia, China, Perancis dan Thailand. Sepanjang tempoh kita melawan pandemik ni, Malaysia pun tak ketinggalan dalam perkembangan robotik dalam bidang penjagaan pesakit ni.

Dua model robot yang berbeza penciptanya pernah dilaporkan awal tahun lalu, seperti Medibot dan robot ‘Makcik Kiah 19’ dah wujud dan diuji dalam hospital kampus dulu sebelum dijual secara komersial. Kata Prof Dr Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku (HCTM), UKM:

“Ini adalah buat julung kalinya akan digunakan khusus untuk membantu sistem penjagaan kesihatan yang terbeban semasa pandemik dan wabak ini. Saya menjangkakan robotik dan automasi akan memainkan peranan penting di hospital dalam waktu terdekat untuk meningkatkan sistem penyampaian penjagaan kesihatan,”- Seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Robot Makcik Kiah
Robot Makcik Kiah.. Via Malaysiakini

Kami rasa sudah tiba masanya untuk kita mulai mempertimbangkan manfaat robot penjagaan dan perkhidmatan kesihatan ni, khususnya untuk hospital-hospital isolasi Covid-19. Frontliner sentiasa memerlukan sokongan tambahan dalam usaha memberi rawatan terbaik kepada para pesakit. Para pesakit pun amat memerlukan sokongan mental dari keluarga dan rakan-rakan. Macam robot Mitra yang kami sebutkan tadi, ia membolehkan keluarga pesakit ‘melawat’ secara maya kat unit rawatan ICU. Siapa tahu, mungkin tu adalah kali terakhir mereka dapat bersua?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *