займ срочно

Kes Covid dalam kalangan kanak-kanak, ini beberapa hal yang perlu diketahui

f1
Kes Covid dalam kalangan kanak-kanak, ini beberapa hal yang perlu diketahui

Sejak awal lagi, kita mengenali Covid-19 sebagai suatu virus yang berbahaya, boleh tersebar dengan pantas dan meluas serta boleh membawa maut. Kita gusar melihat jumlah kes jangkitan dan kematian… dahlah sekarang ni, wujud kiraan baharu iaitu ‘brought in dead’ (BID). Biasanya kita tengok dalam kebanyakan kes ni, trend yang menonjol selalunya dalam lingkungan dewasa dan warga tua. Sebab tu lah dalam program vaksinasi negara Fasa 2, warga tua didahulukan terlebih dulu manakala dalam Fasa 3, kalangan dewasa berumur 18 tahun pulak yang disuntik.

Namun bagaimana pulak dengan kes jangkitan dalam kalangan kanak-kanak pulak? Sebenarnya mungkin tak ramai tau bahawa dah ada kes kanak-kanak meninggal dunia kerana Covid-19 di Malaysia meskipun ia tak cecah ratusan kes setakat ni. Jangan ingatkan dewasa je boleh kena; kanak-kanak pun sentiasa ada risiko terjangkit dan jatuh sakit akibat Covid-19…

vaksin kanak
Via Cleveland Clinic Health

Kanak-kanak yang terjangkit selalunya takde gejala atau bergejala ringan, varian Delta lebih berbahaya

Sekolah Perubatan Harvard mengesahkan kanak-kanak pun boleh dijangkiti Covid-19, khususnya untuk kanak-kanak yang lebih muda. Sementara kebanyakan dari kes jangkitan kanak-kanak ni takde gejala atau hanya bergejala ringan, tu tak bermakna ia tak berbahaya. Ada jugak sesetengah pesakit kanak-kanak mempunyai komplikasi yang teruk, antaranya dikenali sebagai multisystem inflammatory syndrome (MIS-C). Anggota badan seperti jantung, paru-paru, buah pinggang, otak, kulit, mata atau organ gastrousus boleh ada radangan.

Walaupun begitu, ramai pesakit kanak-kanak ni boleh sembuh dengan cepat. Dalam kebanyakan kes, takde kerosakan yang berpanjangan kepada organ-organ diorang. Tetapi dengan kemunculan ancaman varian baharu termasuklah Delta, kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 varian Delta ni lebih kerap ada gejala. Kanak-kanak di bawah 12 yang belum divaksin lagi lebih berisiko dijangkiti dan ada gejala.

virus outbreak
Via Loop Jamaica

Di Amerika Syarikat contohnya, dah hampir 94,000 kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak dilaporkan. Lonjakan kes tersebut mengakibatkan lebih 220 hospital kanak-kanak hampir penuh, dan merayu minta bantuan tambahan dari kerajaan diorang. NPR melaporkan, peningkatan kes Covid-19 kini merupakan jangkitan dari varian Delta. Lebih teruk, sesetengah kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 turut disulitkan dengan jangkitan virus Respiratory Syncytial (RSV). RSV ni virus yang jugak menyerang sistem pernafasan.

Hampir 83,000 kes positif merupakan bayi dan kanak-kanak, 15 kematian kanak-kanak dicatatkan

Pada Mei lepas, Dr. Adham Baba yang merupakan Menteri Kesihatan pada waktu pentadbiran Muhyiddin dulu melaporkan sebanyak 82,341 kes positif melibatkan bayi dan kanak-kanak di Malaysia. Katanya, 19,851 kes tersebut merupakan kanak-kanak di bawah umur 4 tahun manakala 8,237 kes lagi melibatkan mereka yang berumur 5-6 tahun. Bagi kes kanak-kanak berumur 7-12 tahun, sebanyak 26,851 kes dan untuk kanak-kanak yang berumur 13-17 tahun, dicatatkan 27,402 kes.

kematian covid kanak
Via Codeblue

Maklumat dari Codeblue pulak mendedahkan bahawa sebanyak 15 kematian kanak-kanak positif dicatatkan. Setakat 1 Jun, 15 daripada 2,867 kes kematian dilaporkan tu terdiri daripada kanak-kanak di bawah 18 tahun. 10 daripadanya dilaporkan berlaku di Sabah. Terbaharu, Masidi Manjun pulak mengumumkan bahawa 235 kanak-kanak termasuklah 34 daripadanya dalam kalangan bayi disahkan positif Covid-19.

Data Codeblue turut menunjukkan bahawa purata masa sebelum kematian tersebut adalah 7.71 hari dan 60% daripada 15 kanak-kanak yang meninggal dunia akibat Covid-19 memang ada masalah kesihatan sebelum jangkitan tersebut, seperti penyakit rendah imun atau kanser. Daripada jumlah 15 kematian, 4 daripadanya merupakan kanak-kanak tanpa negara dan dicatatkan ‘brought in dead’ (BID).

covid kanak mati malaysia bawah 18
Via Codeblue

Melihatkan perkara ni, kita harus sedar bahawa situasi pandemik sekarang perlu diteliti semula agar kita dapat memperbaiki SOP sedia ada. Bagi kami, SOP sedia ada masih belum boleh dikatakan mesra kanak-kanak. Misalnya, pemakaian pelitup muka dalam kalangan kanak-kanak adalah suatu perkara yang sukar dilakukan khususnya untuk kanak-kanak berumur 2 hingga 5 tahun yang mungkin kurang selesa atau kurang faham tentang keperluan pemakaian pelitup muka. Begitu jugak dengan penjarakkan sosial, khususnya bila diorang berada dalam kawasan seperti sekolah bersama kanak-kanak lain.

Peranan ibu bapa tetap menjadi keutamaan dan tumpuan pakar perubatan untuk mengelakkan lebih banyak penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak. Salah sorang pakar iaitu Dr. Mohd Zuraizi Jaafar, Pakar Pediatrik Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) kata;

“Jika anak-anak sudah semakin kurang menyusu atau makan, kurang aktif, mulai selesema atau batuk, jangan berlengah dan terus bawa mereka ke hospital pakar seperti hospital negeri.

Jangan beri tambahan risiko pendedahan kepada perawat perubatan yang lain. Terus ke pusat saringan di hospital dan maklumkan bahawa ibu bapa dan penjaga terdedah kepada pesakit COVID-19 yang berada dalam tempoh kuarantin atau rawatan,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

Gesaan untuk memperluaskan lagi vaksinasi terhadap kanak-kanak bawah 18 tahun jugak perlu disegerakan dalam PICK. Kata Khairy Jamaluddin, selaku Menteri Kesihatan baharu;

“Tiada sebarang kelulusan untuk vaksinasi pediatrik di Malaysia mahupun di mana-mana tempat ketika ini. Ia masih dalam kajian oleh agensi pengawalseliaan sama ada badan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) mahupun Pihak Berkuasa Kawalan Kesihatan Kebangsaan (NHRA).

Sebaik sahaja kita ada cukup data untuk menyokong bahawa adalah selamat untuk memberikan vaksin kepada kanak-kanak, barulah kita akan bawa ia kepada jawatankuasa vaksin untuk pertimbangan dan membuat keputusan mengenainya,”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Susulan perbincangannya dengan wakil Pfizer, Khairy kata Pfizer mungkin akan keluarkan vaksin spesifik untuk kanak-kanak, iaitu sukatan dos berbeza berbanding dos dewasa. Sebelum ni, pendaftaran vaksinasi untuk kanak-kanak dan remaja berusia 12-18 tahun dah dibuka menerusi Mysejahtera namun pelaksanaannya terpaksa ditunda seketika apabila wujudnya khabar kesan sampingan ke atas para penerima vaksin di bawah 18 tahun. Jadi dalam perbincangan terbaharu bersama wakil Pfizer, dos spesifik yang lebih baik akan diberikan khas untuk kanak-kanak agar tak berlaku masalah lain.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top