займ срочно

Pakar perubatan ini berikan beberapa cadangan untuk keluar dari pandemik

f1
Pakar perubatan ini berikan beberapa cadangan untuk keluar dari pandemik

Sedar tak sedar, kita dah masuk ke bulan-bulan akhir menutupi 2021. Setahun lagi berlalu dengan cabaran yang sama seperti 2020, norma baharu dan kali ni, proses vaksinasi berterusan pulak dilancarkan. Dari mata rakyat biasa, setakat ni dah ramai yang dah boleh membiasakan diri dengan situasi pandemik dan berusaha meneruskan hidup dengan kekangan-kekangan baharu yang dikuatkuasakan. Walau bagaimanapun, di peringkat pembuatan polisi pulak… masih wujud kritikan-kritikan terhadap respon kerajaan dalam pengurusan dan kawalan kes Covid-19.

Hal ni sebenarnya dah nampak pun sejak dari tahun lalu. KKM terbeban teruk dengan kekurangan kemudahan yang penting di hospital, tenaga kerja perubatan dan perawatan yang boleh bantu serta masalah pembuatan dasar lalu yang mengakibatkan doktor-doktor muda ni tak dapat berkhidmat untuk kerajaan. Bagi Dr. Musa Nordin, strategi pengurusan Covid-19 negara sekarang masih tak cukup ‘power’ untuk bawa Malaysia keluar dari pandemik.

dr musa nordin
Dr. Musa Nordin.. -Via Malaysiakini

Vaksin bukan satu-satunya jalan penyelesaian, strategi Malaysia dikatakan masih belum cukup ‘power’

Dalam sebuah komentari yang ditulis oleh Dr. Musa Nordin dan Prof Madya Mohammad Farhan Rusli dalam The Sun pada 26 Ogos lalu, banyak teguran dan teladan yang boleh kita fahami bagi membentuk strategi yang lebih baik untuk keluar daripada situasi pandemik ni. Hal ni seiring dengan pengenalan Pelan Pemulihan Negara (PPN), dimana kita dah nak fokus untuk pulihkan semula negara selepas dah nak hampir dua tahun bergelut dengan pandemik.

Bagi Dr. Musa Nordin, kita dah lepasi garis dimana kita dah ada perlindungan daripada kesan simptom yang lebih teruk sehingga perlukan hospitalisasi. Beban dan tekanan hospital kini dah semakin menurun sebab kes kategori 4 ke atas tak sebanyak dahulu.

labuan vaksin kesihatan awam
Via KKM

Walau bagaimanapun, kita masih mempunyai risiko jangkitan dengan jangkaan konservatif kira-kira 0.29% daripada populasi yang dah divaksin. Ni bermakna terdapat jangkaan boleh jadi wujudnya sehingga 32,000 kes, tetapi lebih ringan berbanding jangkitan virus tersebut ke atas populasi yang tak vaksin lagi. Tak bermakna kita dah boleh leka dan selesa, sebab sekarang dah wujudnya mutasi baharu virus dan tersenarai dalam senarai VoC. Virus Delta misalnya, dah melarat ke beberapa negeri. Lepas tu, ada pulak mutasi virus yang dikatakan lebih pantas dari Delta iaitu dinamanya Lambda.

Selain tu, ada beberapa hakikat yang kita kena terima untuk memudahkan kita rancang strategi realistik dan lebih tepat. Pertama, populasi vaksin dan belum vaksin lagi masih berisiko mencetuskan kluster. Kat Sarawak, yang mana begitu giat vaksinkan populasi diorang sejak Mei dahulu turut mencatatkan jangkitan kluster khususnya kluster Delta.

jenis jenis varian covid 19 1625927500
Jenis-jenis varian yang ada setakat ni.. -Via Berita Harian

Lebih seram, Delta masih lagi boleh disebarkan oleh seseorang yang dah divaksinkan. Ni bermaksud dalam tahap kita sekarang, jangkitan masih boleh berlaku… namun kesan jangkitan tu ringan dan tak sehingga boleh membawa maut bagi majoriti penerima vaksin.

Tak macam di US, UK dan Israel… kita masih lagi bijak untuk terus kuatkuasakan peraturan guna pelitup muka di dalam dan luar kawasan awam. Ia akan mengelakkan tersebarnya varian Delta kepada orang yang belum vaksin, terutamanya kepada kanak-kanak dan sesiapa yang rendah tahap imun badannya. Mungkin kita kat sini rasa cemburu je tengok diorang jalan-jalan tak pakai pelitup muka, namun bagi Dr. Musa dan Prof Madya Mohammad Farhan ni… kita hanya tengok yang indah je.

no mask uk
Via BBC/Getty Image

Sebenarnya dalam negara-negara yang dah tinggi kadar vaksinasi rakyatnya seperti Chile, Seychelles, Uruguay, Mongolia, UAE, Bahrain, US, UK dan Israel sendiri; diorang tengah bergelut dengan gelombang kluster Delta. Atas hakikat ni, Dr. Musa dan Prof Madya Mohammad Farhan menyimpulkan bahawa kita terlalu meletakkan harapan yang tinggi terhadap vaksin sebagai jalan penyelesaian.

“Terlalu banyak harapan yang digembar-gemburkan tentang vaksin. Kita mesti holistik dalam pengurusan krisis kita dan menggunakan alat anti-pandemik lain yang ada dalam pegangan kita.”- seperti yang dipetik dalam The Sun

Rangka strategi FTTIS mesti dikoordinasi rentas jabatan dan kementerian kerajaan, usulkan polisi saringan Covid-19 kebangsaan

Sepatutnya, kita kena naikkan lagi had minimum ujian setiap hari agar kita dapat tahu dan kawal lebih awal. Secara puratanya, Malaysia hanya buat 150,000 ujian saringan setiap hari. Kadar kes positif kita dah capai 12%-15%, yang mana menurut piawaian WHO, bermakna pandemik di negara kita dah tak terkawal sejak Mei 2021. Sedangkan, kita harus meningkatkan lagi kadar ujian saringan kita kepada 250,000 setiap hari.

Rangka strategi sistem FTTIS (find, test, trace, isolate and support system) diyakini sebagai suatu komponen yang penting dalam strategi keluar dari belenggu pandemik. Pihak berkuasa perlu pertimbangkan suatu polisi saringan kebangsaan supaya dapat merangka langkah untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi menghadapi pandemik ni.

Respon pihak berkuasa dalam protokol saringan yang dilihat lambat dan reaktif hanya menambahkan penularan virus secara sporadik serta penyusupan VoC. Sebab tu kita dapat lihat kes harian meningkat, seterusnya membebankan hospital dan memenuhi pusat kuarantin. Bila tempat-tempat utama dah penuh, ia jugak melonjakkan kes kematian dan ‘brought in dead’ (BiD).

kadar bid malaysia
Daripada jumlah kematian pada tahun 2021, sebanyak 670 (13.8 peratus) kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID) dilaporkan..-Via KKM

Salah satu solusi utama dalam memperkasakan FTTIS ni adalah komunikasi dan koordinasi berterusan antara kementerian serta institusi kerajaan. Strategi ni dijangka lebih baik kerana ia lebih menyeluruh dan menjadikan polisi-polisi tu konsisten dengan keperluan semasa rakyat. Beberapa kementerian yang dilihat perlu lebih peka adalah seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Indusri, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri.

Di samping tu, huruf S dalam akronim strategi ni iaitu sistem sosial; beberapa kementerian yang harus memainkan peranan untuk mengukuhkan sistem sosial rakyat ketika ni adalah Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kebajikan Masyarakat, Pusat Zakat dan Baitul Mal serta organisasi bukan kerajaan yang relevan.

emy antara penerima terawal vakisn pfizer
Via Bernama

Kemudahan kuarantin juga perlu ditambahbaik oleh agensi-agensi berkaitan, dan diberi kepada sesiapa yang tak dapat mengasingkan dirinya dalam rumah jika terdapatnya hubungan kontak rapat atau ada simptom-simptom lazim Covid-19. Bukan semua orang ada rumah besar mahupun memiliki ruang bilik tersendiri yang mengizinkan persekitaran yang selesa untuk menjalani kuarantin kendiri.

Di barisan vaksinasi pulak, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) perlu lebih proaktif dan mempertimbangkan strategi-strategi baharu dengan pantas agar dapat meningkatkan imuniti populasi kita. Beberapa cadangan yang diusulkan oleh Dr. Musa adalah suntikan vaksin tambahan sebagai ‘booster’, vaksinasi yang lebih baik untuk ibu-ibu dalam semua peringkat kehamilan, pemberian vaksin kepada 12 hingga 17 tahun dan kanak-kanak di bawah 12 tahun yang berisiko.

garis panduan ibu mengandung covid suntik vaksin
Via KKM

Sementara cadangan-cadangan ni bernas bagi kami, agak menarik apabila komentari diorang menegaskan bahawa diorang tak setuju dengan polisi imunisasi mandatori. Ni kerana untuk kaum Muslim Melayu, terutamanya menolak dan ragu terhadap vaksin… fatwa yang menyatakan bahawa vaksin ni harus hukumnya dan wajib bagi sesiapa yang berisiko tinggi sepatutnya dah cukup. Walau bagaimanapun, diorang rekomen syarat vaksin tersebut bagi sesiapa yang terikat pada pekerjaan berisiko tinggi seperti pekerja kesihatan, penjaga di rumah kebajikan orang tua, warden penjara, anggota tentera dan lain-lain.

vaksin hukum harus wajib mufti
Via Gempak

Bagaimana pandangan korang? Adakah korang bersetuju dengan cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam komentari ni, ataupun korang rasa ada banyak lagi strategi lain yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh pihak berkuasa? Bagi kami, perbincangan mengenai dasar, polisi dan strategi terutamanya bagi pengurusan pandemik serta kesan pandemik tu sendiri perlu dipergiat lagi. Perbincangan krisis politik dah sepatutnya ditamatkan, dan tiba masanya untuk kabinet baharu ni membuka halaman baharu dalam menyelesaikan kemelut rakyat ketika ni.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top