займ срочно

Pengawal keselamatan tular dipukul mati, suspek ada potensi ke tali gantung

f1
Pengawal keselamatan tular dipukul mati, suspek ada potensi ke tali gantung

Beberapa hari lalu, kita dikejutkan dengan tularnya dua klip video CCTV yang agak ngeri. Dalam video tersebut, terlihat dua sosok lelaki dewasa dan sorang budak kecik di sebelah sorang lelaki dewasa tu. Terlihat sorang daripadanya dah naik marah, sementara yang sorang lagi tu cuba taknak keruhkan keadaan. Namun akhirnya tunduk dengan nafsu marah tu sendiri, dah sampai meninggal sorang tu.

Kes tersebut sememangnya jadi bualan ramai, dan dah tak perlu kira benda ni sebagai suatu isu perkauman. Ramai simpati dengan keadaan mangsa yang berumur, akhir-akhir hayatnya tu dah kurus kering sangat dan uzur. Ramai jugak yang marah pada pelaku tersebut, lagi-lagi bila orang dah tau identiti sebenar suspek tersebut. Rupanya orang parti politik jugak…

klip pengawal ipoh mati
Tangkap layar video tular tu.. -Via Facebook

Pengawal keselamatan tular dibelasah meninggal dunia, ni sebab punca kejadian tersebut berlaku

Macam kami gambarkan sebelum ni, klip video yang kami maksudkan tu memaparkan sorang pegawal keselamatan beruniform sedang dimarahi oleh sorang lelaki botak berbadan besar, ditemani oleh anak si lelaki botak ni. Dalam klip pertama, lelaki botak ni penuh marah nak hentak meja dan nampak sangat nak gertak pengawal keselamatan tersebut. Bila pengawal tu dah tak selesa dan berdiri seolah nak jauhkan sikit dirinya dengan lelaki botak tu, meja tersebut diangkat dan mulanya dijadikan sebagai pelindung kepada kekasaran yang dilakukan oleh lelaki botak tu.

Sambung ke klip kedua, lelaki botak tu mulai mengganas dan memutuskan untuk tolak pengawal keselamatan tu hingga terhempap kat lantai. Pengawal tersebut terus pengsan, dan kepala belakangnya nampak berdarah di lantai tu. Mulanya lelaki botak tu cuba bangunkan pengawal tersebut, tapi tak berjaya. Dah bingung, dia sempat mundar-mandir sekejap sebelum lari tinggalkan kawasan tersebut.

susunan ipoh pengawal mati klip
Susunan tangkap layar klip video tersebut.. -Via Myc.my

Kalau bukan kerana video tersebut, kita mungkin tak tau langsung dengan apa yang berlaku pada hari Selasa, 29 Disember 2020 di Menara Majestic Condo Ipoh. Lebih teruk, kejadian ni berlaku di hadapan anak lelaki botak tu sendiri. Pengawal keselamatan yang terlantar selepas kecederaan tahun lalu tak dapat kembali bekerja, dan meninggal dunia dengan keadaan yang menyedihkan. Namun apa sebenarnya yang dah berlaku?

Menurut cerita yang diperoleh dari akaun peribadi anak buahnya di Facebook, pengawal keselamatan tersebut adalah bapa saudaranya. Pada hari Selasa tu, bapa saudaranya nak masuk bertugas pada jam 9 pagi dan nak ganti tugas dengan sorang lagi pengawal keselamatan bertugas sebelum gilirannya di tingkat 7. Tingkat 7 ni merupakan kawasan kolam renang kondominium. jadi ada sorang lelaki yang mendaftar jadi tetamu kondominium bersama keluarganya datang ke kawasan kolam renang tu.

kolam majestic ipoh
Via Booking.com

Lelaki ni bawa anak dia untuk berenang kat kolam, tetapi awal-awal dah dimaklumkan oleh pengawal keselamatan bahawa kawasan kolam renang untuk dewasa boleh digunakan sementara kawasan untuk kanak-kanak masih ditutup atas SOP PKP ketika tu. Lelaki tu taknak dengar arahan tersebut, dan biarkan je anak lelakinya main kat kolam kanak-kanak yang ditutup tu.

Pengawal keselamatan dah tegur, tak kena dengar… kemudian laporkan kejadian tu kepada Pejabat Pengurusan Menara Majestic Condo. Wakil pengurus datang turun dan cuba berunding dengan lelaki tersebut namun tak diendahkan. Malah, dia sengaja biarkan anaknya bermain di kolam kanak-kanak lebih 45 minit. Selepas Pengurus dan pengawal keselamatan lain dah turun, bapa saudaranya tengah berada di posisi yang ditetapkan sambil semak rekod pelawat.

klip mati ipoh pengawal
Tangkap layar video tersebut.. -Via Facebook

Tak lama lepas tu, lelaki botak tu turun semula bersama anaknya dan marah tak puas hati kat bapa saudaranya tu. Bapa saudaranya cuba terangkan bahaya tak ikut SOP dan undang-undang yang ditetapkan, namun tu hanya bangkitkan rasa marah lelaki botak tu. Dakwa anak buahnya, bapa saudaranya dah dipukul dua kali sebelum ditolak hingga terjatuh ke lantai.

Bila lelaki botak tu tak berjaya bangunkan pengawal keselamatan tu, dia bergegas ke pejabat pengurusan dan maklumkan pengawal tersebut tiba-tiba jatuh. Dia cuma nak tolong je. Bila diorang beramai-ramai turun nak tengok, diorang terkejut tengok meja tu dah hancur dan mulai faham dakwaan lelaki tu tadi sekadar alasan. Bila diorang periksa semula rakaman kat CCTV, ternyatalah lelaki tu pelakunya.

klip mati ipoh pengawal meja
Mangsa tengah pegang meja untuk lindungi diri, sebelum ditolak oleh suspek lalu ia menghempap mangsa.. -Via Facebook

Anak buahnya Nelson Raj jugak mendakwa berlakunya kelemahan dari segi pengurusan pihak polis dan pihak hospital sendiri tentang pengurusan kes bapa saudaranya. Misalnya, wujudnya dakwaan bahawa ada Inspektor (Pengawai Penyiasat) tak suruh terima laporan ibu saudaranya (isteri mangsa) berkenaan kejadian tersebut. Bagi kami, ni dakwaan yang serius dan perlu disiasat sekiranya ada elemen campur tangan luar dalam kes tersebut.

Pihak polis buka kertas siasatan dan cuba tenangkan orang ramai, warganet pulak yang bocorkan siapa pelakunya

Video tular ni mendapat perhatian meluas dalam kalangan warganet. Ramai rasa marah, simpati, kasihan dan sedih atas kejadian ni; ditambah lagi apabila kita hanya baru tau tentang kejadian tersebut selepas mangsa dah meninggal dan video tersebut ditularkan oleh ahli keluarganya. Nama mangsa tersebut adalah Thavasagayam, sohor kini dengan tanda pagar #justiceforagoodsoulthavasagayamandfamily.

Mengikut Ketua Polis Perak Mior Faridalthrash Wahid, polis dah mula buka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Suspek dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari lepas kerana mendatangkan kecederaan parah, dan kes akan disebut semula pada 9 September ni. Kenyataan polis mengesahkan cerita anak buah mangsa;

“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati terhadap pengawal keselamatan itu kerana cuba menghalang anak suspek daripada menggunakan kolam renang yang tidak dibuka kepada orang ramai ketika itu,”- seperti yang dilaporkan Bernama

Mangsa meninggal dunia di rumahnya dan hasil bedah siasat oleh pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh mendapati punca kematian disebabkan jangkitan pada paru-paru (sepsis). Kenyataan ni dibicarakan ramai, terutamanya bagi warganet yang khuatir ahli keluarga tak dapat pengadilan sebaiknya kerana mangsa tak mati secara langsung kerana kecederaan, sebaliknya kerana secondary infection iaitu jangkitan paru-paru.

mendiang klip video pengawal ipoh
Antara gambar menyayat hati mendiang dikongsikan oleh anak buahnya di Facebook.. -Via akaun Facebook Nelson Raj

Mior Faridalathrash menyambung lagi, berdasarkan perkembangan baharu tu polis akan rujuk semula kertas siasatan terhadap kes berkenaan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak untuk arahan lanjut. Pihak polis tak dapat buat kenyataan yang lebih panjang lagi kerana kes tu masih lagi dalam perbicaraan mahkamah. Namun begitu, jangan rasa warganet ni akan berdiam diri je bila dah tular video semacam tu.

Kami difahamkan mengikut ‘siasatan’ warganet, suspek tersebut dikatakan bernama Ahmad Noor Azhar bin Muhammad yang merupakan Ketua Armada Bahagian Kota Bharu, Kelantan. Orang politik jugak rupanya… tu sebabnya kami katakan, harapnya dakwaan anak buah mangsa tentang layanan mencurigakan pihak polis tu sekadar salah faham dan bukanlah ‘kesan’ dari sebarang campur tangan dan kepentingan peribadi pulak. Pelakunya turut disahkan oleh Malaysiakini.

noor azhar ketua pemuda klip ipoh mati pengawal
Hasil perkongsian warganet.. -Via Twitter

Dengan bukti terbaharu, polis akan buka semula siasatan di bawah Seksyen 326 yang meliputi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan dengan senjata atau cara berbahaya yang boleh membawa kematian, membawa hukuman selama 20 tahun penjara dengan denda atau sebat jika didapati bersalah. Sebelum ni, dia didakwa di bawah Seksyen 324 dan direman selama 2 hari. Pelakunya ada datang hadir ke mahkamah pada 6 Januari tu di bawah Seksyen 335, namun dah dibebaskan dengan jaminan polis.

Kini, polis mengklasifikasikan semula kes seorang pengawal keselamatan yang diserang ketika sedang bertugas di kolam renang sebuah kondominium di sini Disember tahun lalu, sebagai kes bunuh selepas mangsa meninggal dunia Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya merujuk semula kes berkenaan kepada pihak pendakwa raya hari ini dengan mencadangkan pertuduhan lebih tinggi dikenakan kepada suspek. Polis mengklasifikasikan semula kes ini pada hari mangsa meninggal dunia mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum gantung sampai mati.

Kami harap perbicaraan kes ni akan diadili sebaiknya tanpa ada sebarang campur tangan luar, dan sekurangnya memberi ketenangan kepada pihak keluarga mangsa. Kami difahamkan bahawa keluarga mangsa jugak bukanlah keluarga senang, dan isteri mangsa terpaksa bekerja keras untuk menampung perbelanjaan mendiang memandangkan diorang takde anak.

Ada sesetengah warganet cuba mengaitkan reaksi polis yang dikatakan lambat dan ahli politik yang suam-suam kuku je sebab mangsa bukan Melayu, tetapi pelakunya Melayu. Tetapi kami rasa tu kenyataan yang tak wajar dan hanya membawa kepada prasangka buruk. Hakikatnya, keadilan mesti ditegakkan tanpa mengira kaum dan agama.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top