Kenapa Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia nampak power sangat? Ini sebabnya

F1
Kenapa Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia nampak power sangat? Ini sebabnya

Apa khabar rakyat Malaysia? Pejam-celik-pejam-celik, dah masuk seminggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terlah dikuatkuasakan. Dan setiap hari dalam tempoh kawalan ini juga, kita semua akan dapat berita terkini tentang wabak ini yang dilaporkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Sidang Media Covid
Wajah yang muncul setiap hari di TV sejak PKP. Via RTM

Kalau sebelum ini kami ada membawang sikit pasal Menteri Kesihatan kita yang baru, kali ini kami nak sembang pasal Ketua Pengarah Kesihatan pula. Kalau anda rasa makin keliru dengan kenyataan Menteri, eloklah anda rujuk Ketua Pengarah Kesihatan saja.

Dr Noor Hisham antara profesional yang patut dicontohi

Sebagai pegawai tinggi dalam kementerian, sudah tentulah profesionalisme dan integriti juga harus seiring. Kalau Menteri buat kenyataan agak kurang tepat, maka sudah menjadi tugas golongan profesional lah untuk membetulkan kesilapan mereka. Itulah yang menjadikan Dr Noor Hisham ini sosok yang semakin mendapat perhatian netizen.

Memetik laporan The Rakyat Post, beliau menjawab kekeliruan yang timbul selepas ‘tips minum air suam’ dari Menteri Kesihatan dengan sangat profesional. Katanya;

Secara umumnya, KKM melaksanakan rawatan atau pengurusan berdasarkan sains & data – Dr Noor Hisham

Mudah dan ringkas. Tak ada jargon sampai orang awam tak faham. Tak ada sebarang sindiran atau menyebut mana-mana pihak. Inilah yang dinamakan ‘profesional’. Kenyataan ini juga secara tidak langsung tegas menolak apa-apa dakwaan berkaitan kesihatan yang tidak berdasarkan sains dan data.

Dari pakar bedah sehingga menjadi Ketua Pengarah Kesihatan hampir 7 tahun di Malaysia

Tular di media sosial tentang sumbangan Dr Noor Hisham ini selama perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Kesihatan. Tapi ramai yang tak tahu latar belakangnya, kan? Okay, inilah yang kami nak cerita sikit. Sememangnya para menteri penting dalam pentadbiran negara, tapi tanpa pegawai kerajaan, tak mungkin mereka dapat jalankan tugas dengan baik. Masih ingat macam mana ketidaktentuan politik pernah melanda negara kita bulan lepas? Masa itulah baru orang kita sedar kepentingan penjawat awam.

Whatsapp Image 2020 03 24 At 00.46.07
Ketua Pengarah Kesihatan yang dah bekerja dengan 3 orang Menteri. Via FB

Dr Noor Hisham bukanlah pegawai tinggi di Kementerian Kesihatan Malaysia yang baru. Orang kata, beliau ini otai lah dalam kementerian ini. Sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada tahun 2013, beliau merupakan Timbalan Ketua Pengarah sejak tahun 2008. Kiranya dah lebih 10 tahun beliau terlibat dalam pentadbiran kementerian ini.

Kerjayanya bermula sebagai seorang doktor perubatan selepas tamat ijazah Kedoktoran Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada bulan Ogos 1988. Beliau kemudiannya menjadi pakar dalam pembedahan endokrin dan melakukan latihannya (fellowship) di pelbagai universiti di Adelaide dan Sydney di Australia. Latihan kepakaran yang pernah beliau lalui ialah Fellowship in Breast Endocrine Surgery, Royal Adelaide and Queen Elizabeth Hospitals University of Adelaide Australia  dan Fellowship in Endocrine Surgery, Royal North Shore Hospital, University of Sydney Australia.

Beliau mempunyai banyak penerbitan dalam jurnal tempatan dan antarabangsa dan menulis banyak bab teks dalam pembedahan endokrin.

Bukan senang nak jadi doktor ni, belajar kemain susah. Tapi kena pandai jugaklah baru boleh masuk kursus perubatan. Giphy

Sejak bergelar pakar bedah, beliau mula diamanahkan mengetuai Jabatan Pembedahan di Hospital Kuala Lumpur pada 1998 sebagai Ketua Unit Pembedahan Payudara Endokrin. Bukan senang ya nak jadi pakar bedah ini. Perjalanan akademik Dr Noor Hisham antara salah satu contohnya.

Kemudian, pada tahun 2002 pula, beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am Hospital Putrajaya.

Tabik hormat buat semua kakitangan KKM yang diketuai oleh Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham
Lihatlah keletihan dari raut wajahnya. Semoga beliau dan kakitangan KKM yang bertugas terus cekal dalam memerangi wabak COVID-19 ini. Via FB

Kita semua patut hargai segala pengorbanan kakitangan KKM sepanjang wabak COVID-19 ini melanda negara kita. Anda lihat wajah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia hari-hari pun boleh nampak raut wajah yang gigih bekerja. Apatah lagilah kakitangan hospital yang memang frontliner hadap para pesakit…

Kkm
Kakitangan Hospital yang keletihan. Via FB

Wahai rakyat Malaysia, tidak cukup hanya Ketua Pengarah Kesihatan dan kakitangan hospital saja yang berjuang, kita juga perlu bantu mereka. Tinggal di rumah saja. Jangan keluar. Bagi yang berada di bandar, jangan balik kampung. Bagi yang dah terlanjur pulang ke kampung, duduk saja di sana jangan balik ke bandar.

Kalau kita bosan hari-hari duduk rumah berkurung tak keluar langsung, ingatlah pada kakitangan KKM dan juga para petugas barisan hadapan yang lain yang tidak menang tangan bekerja sekarang ini!

Semoga Malaysia bebas dari COVID-19 secepat mungkin.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top