Kes pemandu MABUK semakin menggila, ini LIMA kaedah negara lain kawal pemandu mabuk

Wq
Kes pemandu MABUK semakin menggila, ini LIMA kaedah negara lain kawal pemandu mabuk

Baru-baru ni, kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk dah semakin menjadi-jadi. Ada yang sikit lagi nak terlanggar, hinggalah yang melanggar pengguna jalan raya yang lain sehingga mencederakan serta mengorbankan nyawa mereka. Kami dengar suara korang dan setuju bahawa hukuman wajar dikaji semula supaya setimpal dengan kesan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Via Giphy

Macam mana negara lain uruskan kes pemandu di bawah pengaruh alkohol? Jom tengok bagaimana lima negara ni kawal kes pemandu mabuk…

1. Di Taiwan, sebuah syarikat jual arak tawarkan servis hantar pelanggan mabuk sampai ke rumah guna kereta mereka

Biasalah kan kalau kita akan guna perkhidmatan e-hailing seperti Grab untuk pulang ke rumah kalau kita rasa tak sihat nak bergerak ke sana ke mari. Lebih kuranglah dengan pelanggan yang dah minum banyak sangat sehingga rasa tak berapa stabil untuk pandu kereta sendiri, ada yang tawarkan perkhidmatan pemandu peribadi untuk hantar pelanggan ni agar sampai ke rumah.

Sebuah syarikat jual arak terkenal, Diageo dah bekerjasama dengan rangkaian kedai runcit popular untuk bantu pelanggan yang dah mabuk atau tak rasa stabil untuk memandu ni untuk pulang ke rumah dengan kereta pelanggan tu. Ertinya, pelanggan tak payah risau bab tinggalkan kereta kat bar tersebut.

Chauffers
Via Vision Times

Servis ni ada di serata kawasan Taiwan, meliputi 4,700 rangkaian kedai dan ia boleh diakses menerusi telefon bimbit je. Kalau ada pelanggan nak pulang, pemandu peribadi tu akan datang dalam masa 10 minit untuk bawa kereta pelanggan tu dan hantar ke rumah atau destinasi yang dah ditetapkan oleh pelanggan.

Dengan cara ni, pelanggan yang dah mabuk tu tak perlu susah lagi nak memandu untuk sampai ke rumah. Risiko kemalangan pun jadi kurang, betul tak?

2. Kempen besar-besaran pun penting, kongsi kisah peribadi mangsa kemalangan dan kesannya sebagai pengajaran untuk masyarakat

Di Afrika Selatan pulak, mereka tengah buat kempen besar-besaran yang menumpukan kepada pembinaan kesedaran sosial masyarakat mengenai akibat memandu ketika mabuk. Mengikut kajian mereka, belia dalam lingkungan umur 18 hingga 25 tahun di negara tersebut masih rasa mereka takkan tertimpa kemalangan jika memandu di bawah pengaruh alkohol.

Oleh yang demikian, kempen mereka tak hanya sebut pasal bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol je; mereka turut temu bual mangsa dan beri peluang kepada mangsa kemalangan akibat pemandu mabuk ni untuk bersuara. Salah sorang mangsa yang sudi kongsi cerita peribadinya adalah Heather Crosser, Garith Gillim dan ramai lagi.

Garth Gillim Victim
Via thebetterindia

Kadangkala sikap acuh tak acuh ni yang memburukkan keadaan, buatkan para pemandu yang dah minum arak ni jadi terlebih yakin mereka masih ‘stabil’ nak memandu pulang. Jadi bila kesan tu ada “wajah” dan “hidup manusia” di belakangnya, lebih ramai akan sedar dan jaga diri sendiri.

3. Rangka panduan di bar, kelab malam termasuklah wajib periksa kadar alkohol guna ‘breath analyser’

Rasanya bernas jugak idea kalau tiap pelanggan yang nak keluar dari bar atau kelab malam tu kena diperiksa dahulu kadar alkohol dalam badan sebelum dibenarkan keluar. Kami bayangkan idea ni boleh jugak digunakan, macam normal baharu sekarang ni dimana suhu badan wajib diperiksa sebelum dibenarkan masuk ke dalam mana-mana premis perniagaan.

Breath Analyzer India
Via The Hindu

Kat India, idea penggunaan ‘breath analyser’ atau penganalisis nafas ni memang dah wujud sejak 2016. Pada 15 Disember 2016, Mahkamah Tinggi arahkan penutupan semua kedai arak dalam lingkungan 200 meter dari lebuh raya utama. Kemudian pada 2017, kelab malam di Calcutta digesa untuk buat ujian analisis nafas kepada para pelanggan mereka. Siapa yang tak lulus, kenalah dihantar pulang ke rumah.

Selain tu, mana-mana kelab malam yang beroperasi lebih dari masa yang ditetapkan jugak akan didenda. Pihak penguatkuasa jugak ada beri senarai panduan yang perlu dipatuhi oleh bar dan kelab malam.

4. Sesiapa yang pernah ada kes memandu bawah pengaruh alkohol wajib pilih satu dari dua pilihan hukuman

Pada 2019, Perancis dah keluarkan arahan baharu pasal hukuman untuk pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol ni. Kalau dulu, dah biasa dah nak bayar-bayar denda. Kali ni, negara tersebut keluarkan dua pilihan hukuman yang dilihat wajar betul untuk betul-betul tangani isu memandu bawah pengaruh alkohol ni.

Pilihan pertama, pesalah bersetuju untuk digantung lesen dan bayar denda sehingga €4,500. Pilihan kedua pulak, pesalah bersetuju untuk pasang kit penganalisis nafas kat kereta. Kalau kadar alkohol yang dikesan dalam badan tu melebihi 0.2 gram per liter darah, enjin tak boleh dihidupkan.

Mesin Breath Analyser Ignition Kit
Kena periksa nafas dulu, baru enjin boleh dihidupkan.. -Via The Local

Mungkin ramai ingat pilihan kedua tu macam nampak ringan je kan… sebenarnya ia agak setimpal jugaklah. Pesalah kena bayar sendiri harga mesin tu, dimana harganya melebihi €1,000 dan kena pasang kat dalam kereta sekurang-kurangnya untuk 5 tahun.

5. Polisi ‘zero tolerance’ alkohol termasuklah dari ubat batuk dan cecair pembersih mulut

Nampaknya kalau nak memandu, tak bolehlah telan dulu ubat batuk ataupun guna apa-apa cecair berunsurkan alkohol. Polisi ni amat popular dalam beberapa negara seperti Republik Czech, Rusia dan Romania. Berbeza dengan kebanyakan negara, minum arak tak salah dari segi undang-undang. Guna cecair berasaskan alkohol pun tak salah. Tapi di bawah polisi ‘zero tolerance’ ni, sebarang bentuk alkohol yang ditemui tu adalah kesalahan.

Kes Turun Graf Drink Drive Limit
Boleh tengok keberkesanan polisi ni kat graf, membandingkannya dengan negara Eropah lain.. Via The Times

Pihak polis kat sana selalu buat pemeriksaan rutin untuk alkohol dan berhak untuk buat ujian kat mana-mana pemandu yang disyaki. Biasanya pemeriksaan ni akan dijalankan waktu malam.

Kalau ada alkohol atau dadah yang dikesan melalui ujian mereka, hukumannya adalah penjara sehingga 3 tahun dan bayar denda CZK 25-50,000 (kira-kira RM4,000- 9,000).

Zero Tolerance Drinking
Via AMD

Kalau pemandu tu tak nak buat ujian, terus buat hukuman sama seperti orang yang disahkan berada di bawah pengaruh alkohol. Tambah lagi, jika pesalah tu halang tugas, maki atau jadi punca kemalangan di bawah pengaruh alkohol; lesen memandu akan ditarik selama setahun dan kena bayar sehingga CZK 10,000 (kira-kira RM2,000).

Negara-negara lain pun ada hadapi masalah pemandu mabuk, kita boleh je belajar dari diorang

Sebenarnya bukan kita je yang menghadapi masalah kemalangan pemandu mabuk ni. Negara-negara lain pun menghadapi masalah yang sama, tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana mereka membendung masalah tersebut. Kelima-lima kaedah yang kami sebut ni pun boleh disesuaikan kat negara kita tanpa sentuh sensitiviti kaum lain. Cuma semua kaedah ni perlu dibincangkan di Parlimen lah, masalahnya – sehingga hari ni takde tanda-tanda Parlimen nak bersidang.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top