Seorang ibu muslim bela ayah dan anak kecil Yahudi yang sedang dibuli…

S1

Apa jadi kalau anda berhadapan dengan seorang Yahudi? Jika anda seorang Muslim, tentunya bila disebut tentang Yahudi, anda akan segera teringat pada tanah suci Palestin. Mana tidaknya, hari ini wilayah tersebut antara kawasan yang masih dijajah biarpun Perang Dunia Kedua telah berlalu sejak sekian lama.

Seringkali, kita juga tak akan terlepas dari mengaitkan semua orang Yahudi dengan gerakan Zionist. Walaupun hubungan antara kedua-dua penganut agama Islam dan Yahudi tidaklah baik, tapi kemanusiaan yang ditunjukkan dari seorang ibu Muslim ini ternyata mengagumkan para netizen. Tonton video di bawah ini terlebih dahulu…

Orang lain cuma berdiam diri apabila seorang Yahudi dibuli, tapi seorang ibu ni berani menegur

Mungkin anda tertanya-tanya apa yang terjadi sebenarnya dalam video ini. Sebenarnya video ini dirakam dalam kereta api bawah tanah di London (lebih dikenali sebagai ‘tube’). Seorang lelaki Kristian dengan tanpa segan silunya membaca ayat-ayat anti-semitik (anti-yahudi) dari kitab Injilnya di hadapan seorang anak yahudi yang ditemani ayahnya ketika itu.

Kiranya mamat Kristian ini seorang yang agak ekstremlah. Budak tak tahu apa, dia pergi serang dengan ayat-ayat anti-semitik. Tapi tak lama selepas itu, seorang ibu Muslim yang berdiri berdekatan mamat Kristian itu tegur dia dan cuba leraikan ketegangan yang wujud.

Dalam tren itu, ramai orang tapi masing-masing perhati saja. Dalam psikologi dipanggil sebagai ‘bystander effect’. Tapi sebagai seorang ibu, Asma Shuweikh tak dapat tahan diri dia dari masuk campur sebab dia teringat dia ada dua orang anak. Katanya;

Sebagai seorang ibu, saya tahu macam mana rasanya bila berhadapan dengan situasi seperti ini (Islamophobia) dan saya pun nak orang tolong saya kalau saya berada dalam keadaan seperti itu…

Asma Shuweikh
Inilah dia Asma Shuweikh via metro.co.uk

Selepas tular video yang dirakam secara diam-diam ini, polis UK segera menahan mamat Kristian tadi. Haa, jangan main-main dengan isu perkauman atau agama, ya? Jadi apa yang kami cuba nak sampaikan dalam perkongsian kali ini?

Perbuatan membunuh orang Palestin perlu dikutuk keras, tapi bukan semua Yahudi macam tu…

Ini adalah persoalan yang paling penting untuk difikirkan. Memang, yang membunuh rakyat Palestin dan menjajah bumi tersebut ialah orang Yahudi. Tapi Yahudi yang mana? Semua Yahudi seluruh dunia ke yang sokong pencabulan hak asasi manusia di Palestin?

Di sinilah kita kena betulkan pemahaman kita. Bukan semua Yahudi adalah Zionist. Bahkan, ada golongan Yahudi yang menentang kekejaman tentera Zionist di Israel. Contohnya, puak Neturei Karta. Diorang siap berdemo sekali dengan muslim seluruh dunia setiap kali serangan Zionist ke atas Gaza berlaku.

Neturei Karta
Neturei Karta – via Middle East Monitor

Anti-Zionist bukan Anti-Semitik, ramai yang salah faham…

Jika seorang anak dilahirkan dari keturunan Yahudi, wajarkan kita membenci mereka hanya kerana keturunan mereka? Sudah tentu tidak, bukan? Anti-semitik sama saja dengan mana-mana fahaman rasisme. Bahkan, anti-semitik dan islamophobia datang dari sebab yang sama, iaitu kebencian pada penganut sesebuah agama.

Tapi ada saja yang salah guna istilah ini. Bila ada orang sokong pembebasan Palestin, terus kena cop ‘Anti-Semitik’ padahal ia bukanlah ‘Anti-Semitik’ sebaliknya perkataan yang tepat ialah ‘Anti-Zionist’. Video di bawah menerangkan apa bezanya kedua-dua istilah ini…

Kita semua adalah manusia, ayuh tinggalkan kebencian dan raikan kemanusiaan

Sekian banyaknya perang yang berlaku antara manusia adalah disebabkan kebencian. Asma Shuweikh membuktikan pada kita bahawa kita semua adalah sama sebagai manusia. Tidak sepatutnya kita benci secara membuta tuli hanya kerana keturunan seseorang atau agama seseorang.

Semoga lebih ramai insan seperti Asma Shuweikh. Kadangkala, untuk mengubah dunia, tidak perlu lakukan perkara yang besar. Hanya perlu hati dan jiwa yang besar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *