Disebabkan seorang Aliff, habis semua Aliff kena kecam. Antaranya..

Disebabkan seorang Aliff, habis semua Aliff kena kecam. Antaranya..

Aliff Aziz, nama yang sepatutnya korang dah tahu kalau selalu lepak kat media sosial. Baru-baru dia dikaitkan dengan kontroversi curang terhadap isterinya Bella Astillah apabila menjalin hubungan dengan pelakon, Oktovia Manrose. Dia pula dah mengaku yang semuanya tu salah dia dan minta maaf. Dia luahkan rasa maaf melalui akaun instagramnya. Dia kata;

“Isteri saya sudah lalui macam-macam. Saya memberikan masalah kepadanya. Saya berasa sangat bersalah terhadapnya. Saya kesal atas apa yang terjadi dan saya tidak mahu nafikan kesalahan saya. Setiap manusia pasti buat salah. Dalam kes saya, diakui ia memang berpunca daripada saya. Nak caci, maki dan hamun saya silakan. Cuma, jangan komen apa yang anda tidak tahu,” – Aliff Aziz

Aliff Aziz. Via BeautifulNara

Oleh sebab Aliff Aziz ni artis Singapura, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang tak berapa nak kenal dia, sampaikan ada masa orang tersalah membawang orang lain disebabkan Aliff Aziz ni. Kerana satu Aliff, rosak Aliff sebelanga…

1) Alif Satar ni dah macam kawan baik Aliff Aziz

Setiap kali Aliff Aziz buat hal, selalunya nama Alif Satar yang naik. Warga pembawang tegar pula tanpa usul periksa pergi komen dan serang di Instagram. Kasihan kat Alif Satar – dia yang takda kena mengena dalam isu ni tiba-tiba terpalit apabila seorang lagi Aliff tu buat hal. Setahu kami, Alif Satar ni jenis yang setia. Jadi kalau semangat membawang tu tengah membuak-buak, pastikan periksa dulu ye…

“Saya ingat sudah tidak ada perkara ini, nampaknya ia berulang lagi. Kekeliruan yang timbul memang kelakar. Saya harap netizen lebih peka dan tidak mengeluarkan kata-kata keterlaluan di Instagram saya,” – Alif Satar

Tak pasal-pasal kena kecam. Via Metro

2) Seorang lagi Aliff ni jutawan, dan pernah berlakon filem yang bombastik

Melihat Aliff Syukri di internet adalah umpama rukun internet. Kalau orang Islam ada Rukun Islam, maka warganet juga kena ada rukun internet. Salah satu daripada rukun internet itu adalah menonton video-video bertenaga Aliff Syukri sambil menahan diri daripada mengeluarkan kata-kata sesat. Sebaiknya, berzikirlah kerana sesungguhnya mengingati tuhan itu akan menjadikan hati tenang.

Selain menjadi saudagar unta kosmetik yang berjaya, Aliff Syukri juga pernah berlakon dalam sebuah filem tempatan yang setanding dengan filem popular MARVEL. Grafik dan jalan ceritanya perlu dipuji kerana mampu memberi saingan dengan cerita superhero Hollywood – seperti Avengers. Oleh itu, penting untuk pasukan membawang se-Malaysia tidak mengaitkan individu berbakat besar ini dengan Aliff Aziz. Sebelum terlupa, dia juga boleh menyanyi!

3) Paling penting Aliff Aziz juga bukanlah jenama kasut tempatan

Bagi yang tak tahu – kita sebenarnya ada jenama kasut yang berbunyi “alif” tapi dieja Aliph. Kasut ni jenama tempatan oh. Untuk pengetahuan saudara dan saudari – ada dua sahabat ni sanggup berhabis duit untuk kumpulkan kasut jenama Aliph. Koleksi mereka dianggarkan bernilai RM80,000 woh. Mohamad Amer Ishak dan Mohamad Mirza Zikri Husin sanggup menjelajah ke seluruh Malaysia termasuk Brunei dan Singapura bagi memenuhi koleksi unik mereka.

Bukan main banyak kasut. Via Metro

Menariknya, kasut sukan ini turut menjadi pilihan beberapa band rock popular tanah air suatu masa dulu antaranya Search, Lefthanded, SYJ, malah kumpulan Search pernah dilantik sebagai duta jenama produk itu sehingga mendapat sambutan menggalakkan.

“Jika dulu harganya bermula antara RM20 hingga RM70 saja namun kini harganya melambung tinggi berikutan ia tidak ditemui lagi di pasaran. Sehingga kini, saya memiliki lebih 30 kasut Aliph berlainan jenis dan juga barangan lain jenama itu dengan kos mencecah lebih RM30,000 sudah dibelanjakan,” – Amer Ishak

Jadi, sekali lagi kami nak beritahu – Aliff Aziz bukan jenama kasut. Walaupun kami tahu, siapalah yang bangang kurang cerdik sangat nak fikir Aliff Aziz tu kasut kan?

Aliff Aziz, jangan buat hal lagi boleh? Kasihanlah pada golongan Aliff sedunia

Inilah diantara 3 ‘alif’ yang kami nak bagi kalian baca, supaya tak lah nanti tersalah kecam. Hidup pada zaman semuanya di hujung jari ni best, kita relaks je – tunggu orang buat salah dan lakukan kecaman secara berjemaah. Tapi dalam nak mengecam tu, pastikan kita dah soal selidik dan tak salah orang. Kalau salah orang, tak ke malu tu? Kami tinggalkan kalian dengan satu lagu tentang ‘alif’…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top