Semenjak kita diminta untuk lepak di rumah bagi mengelakkan penularan COVID-19, mungkin kita tercari-cari aktiviti yang boleh dilakukan. Salah satu benda yang kita boleh buat kalau ada peralatan yang mencukupi adalah main game.
Korang pernah tak dengar orang dulu-dulu selalu cakap yang jadi seorang kaki game ni hanya membuang masa sahaja. Namun, pada hari ini menjadi seorang kaki game bukan lagi merupakan sesuatu perbuatan yang hanya membuang masa tetapi kalau korang nak tahu korang kini dah boleh jana pendapatan dengan hanya bermain game sahaja tau. Kali ni kami akan kongsikan kepada korang tentang lima orang gamer terkaya yang ada kat Malaysia.
1. Soloz, gamers pertama beli kereta jenama Mustang…
Mustahil korang tak kenal dengan Soloz kan? Soloz atau nama sebenarnya Mohd Faris Zakaria yang berumur 26 tahun merupakan seorang pemain Mobile Legends yang sangat popular kat Malaysia. Soloz mula viral di seluruh Malaysia kerana Soloz telah menjadi seorang gamer Malaysia yang pertama yang berjaya membeli kereta jenama Mustang yang berharga lebih daripada 250 ribu ringgit. Kejayaan Soloz pada hari ini telah membuka mata seluruh rakyat Malaysia bahawa menjadi seorang gamer juga boleh menjana pendapatan yang sangat lumayan.
Kini, Soloz mempunyai lebih daripada empat ratus sembilan puluh ribu subscribers di Youtube dan memiliki lebih lima puluh juta tontonan keseluruhan. Menurut Social Blade, pendapatan yang diperolehi oleh Soloz daripada youtube adalah antara sepuluh ribu hingga seratus enam puluh ribu ringgit sebulan.
Untuk pengetahuan korang, selain daripada Youtube, Soloz turut dapat jana pendapatan yang sangat lumayan melalui Facebook Streaming kerana dia mempunyai seramai sembilan ratus ribu pengikut di Facebook sekali gus menjadikan Soloz adalah merupakan seorang gamer paling terkaya yang ada kat Malaysia.
2. Syafiq Aiman, pernah melakonkan semula filem Polis Evo dalam game GTA Five miliknya…
Syafiq Aiman yang berumur 18 tahun adalah merupakan antara seorang gamer yang berjaya dekat Malaysia. Hal ini kerana Syafiq Aiman mempunyai lebih daripada empat ratus subscibers dan mempunyai jumlah tontonan sebanyak lima puluh dua juta di Youtube.
Nama Syafiq Aiman mula viral dengan videonya yang sedang bermain game Grand Theft Auto (GTA) Five bersama dengan kawan-kawannya. Kalau korang nak tahu, Syafiq Aiman mempunyai video yang ada jumlah tontonan mencecah sehingga satu juta.
Syafiq Aiman sangat terkenal dengan kemampuannya untuk melakukan editing video yang sangat hebat dan dia pernah melakonkan semula filem Polis Evo pada game GTA Five miliknya. Selain itu, Syafiq Aiman juga telah membeli sebuah kereta barunya sendiri iaitu kereta Honda Civic Turbo yang berharga lebih daripada seratus dua puluh ribu ringgit.
Menurut Social Blade, pendapatan bulanan yang diperolehi oleh Syafiq Aiman di Youtube adalah antara dua ribu hingga empat puluh ribu ringgit sebulan. Muda-muda pun dah boleh jana pendapatan sendiri. Power kan?
3. Oohami, gamers yang mempunyai produk keluaran sendiri…
Oohami ataupun nama sebenarnya iaitu Syahmi Hafiy yang berumur 21 tahun merupakan seorang Youtuber dan streamer gaming yang sangat dikenali kat Malaysia. Oohami juga sangat sinonim dengan taglinenya iaitu “Stay Fabulouss” dan telah mula aktif di Youtube sekitar tahun 2017 dan telah menjadi popular dengan bermain GTA Five bersama kawan-kawannya.
Semenjak dari itu Oohami telah banyak memuat naik video dia sedang bermain game bertema hantu, adventure dan banyak lagi.
Untuk pengetahuan korang, Oohami kini mempunyai lebih empat ratus ribu subscribers di Youtube. Menurut Social Blade, pendapatan bulanan yang diperolehi oleh Oohami di youtube adalah antara tiga ribu hingga lima puluh ribu ringgit sebulan.
Selain daripada video gaming, Oohami juga turut terkenal dengan video challenge seperti Maggie pedas challenge dan banyak lagi. Oohami juga telah mengeluarkan produk jenama miliknya sendiri iaitu Fabulouss Clay.
4. Rezzadude, gemar bermain permainan seram…
Rezzadude yang berumur 25 tahun adalah seorang Youtuber gaming dan sangat popular di Malaysia. Rezzadude gemar dan banyak bermain permainan yang seram seperti Home Sweet Home dan banyak lagi. Selain itu, Rezzadude juga diakatakan sebagai salah seorang yang mempunyai gaming setup termahal di Malaysia sehingga menelan kos empat puluh lima ribu ringgit.
Rezzadude kini memiliki lebih daripada dua ratus ribu subscribers di Youtube dan jumlah tontonan melebihi dua puluh juta. Selain aktif di platform Youtube, Rezzadude juga sangat popular di Instagram dengan video gamingnya. Menurut Social Blade, anggaran pendapatan bulanan yang diperolehi oleh Rezzadude melalui youtube adalah antara empat ratus hingga enam ribu ringgit sebulan.
5. Kambing Golek, seorang gamers perempuan yang berjaya kat Malaysia…
Kambing Golek ataupun nama sebenarnya Azean Abd Malik merupakan seorang youtuber gaming yang sangat popular di Malaysia. Kambing Golek telah mula viral dengan permainan video VRChat sehingga mencecah enam ratus ribu tontonan hanya dalam masa yang singkat. Kini, Kambing Golek telah memiliki lebih seratus tiga puluh ribu subscribers di Youtube dan lebih enam juta tontonan secara keseluruhannya.
Menurut Social Blade, pendapatan bulanan yang diperolehi oleh Kambing Golek adalah sebanyak lapan ratus hingga empat belas ribu ringgit sebulan. Menurut Kambing Golek;
“Di dalam komuniti gamers, tidak perlu wujud perbandingan dan perbezaan di antara jantina dan semua orang seharusnya menyokong serta membantu antara satu sama lain tanpa mengira jantina dan bangsa” – Kambing Golek
Cuma, kerja-kerja menjadi seorang Youtuber yang berjaya bukanlah semudah yang disangka
Kami kesemua gamers yang kami sebutkan ni melakukan kerja diorang secara konsisten dan bersungguh-sungguh. Kalau benda ni senang, mesti semua orang akan pilih untuk jadi gamers kan? Kalau korang rasa nak cuba ceburi bidang e-games ni, korang kena berusaha keras dan konsisten dalam bidang tu. Kalau setakat hangat-hangat taik ayam, baik tak payah.