Ini dia sejarah watak-watak dari Asia yang ada dalam Mobile Legends

F1
Ini dia sejarah watak-watak dari Asia yang ada dalam Mobile Legends

Siapa tak kenal Mobile Legends? Kami ingat lagi sebelum kehangatan PUBG, Mobile Legends antara mobile game yang sangat popular di Asia khususnya di Malaysia, Indonesia, Filipina, Brunei, Singapura. Selain tu, ramai lagi pemain dari pelbagai negara korang boleh jumpa, sampai orang Korea dan Jepun pun ada ye. Tapi tu kisah beberapa tahun lalu. Kini, Mobile Legends dah masuk dalam senarai  pilihan permainan untuk e-sukan, macam kat Sea Games tahun dulu.

Esport Sukan Malaysia
Via Lowyat

Apa yang menarik perhatian kami adalah watak-watak yang melingkari permainan tersebut banyak diinspirasikan oleh tokoh sejarah, kisah rakyat dan mitos dari kebudayaan pelbagai negara. Lagi-lagi bila kebanyakan legenda tu turut merangkumi tokoh benua Asia termasuklah Nusantara. Kami tau mesti korang yang minat sejarah dan penggemar Mobile Legends mesti nak tau kisah di sebalik watak hero kan? Teruskan baca…

1. Zilong tangkas berapi, pahlawan garang dari China…

Zilong antara watak hero popular Mobile Legends yang diminati ramai pemain kerana ketangkasannya. Sebenarnya, dia ni terlahir dari seorang tokoh sejarah China bernama Zhao Yun yang hidup ketika zaman kegemilangan dinasti Han hingga di awal Three Kingdom di China. Meskipun tak banyak catatan sejarah rasmi mengenai Zhao Yun, kami tengok ramai jugak yang masih nak angkat watak Zhao Yun sebagai antara pahlawan setia Liu Bei.

Zilong Mobile Legends
Watak hero Zilong dalam Mobile Legends…Via Uhdpaper.com

Liu Bei ni merupakan pengasas dinasti Shu-Han, lepas dinasti Han terpecah pada 220 Masihi. Korang bayangkanlah China yang besar tu, boleh terbahagi kepada beberapa kawasan besar yang masing-masing dipimpin oleh jeneral tentera lain. Kalau dalam sejarah China, dinasti Shu-Han ni dipamerkan kisah kepahlawanan mereka sebagai barisan pahlawan agung abad ke-14. Ni termasuklah Zhao Yun, tambah lagi bila wujud pula novel fiksyen sejarah yang berlatarkan era Three Kingdom bertajuk Sanguozhi Yanyi (Romance of Three Kingdom).

Zhao Yun Lukisan Sejarah
Ni lah Zhao Yun… -Via Military Wikia

Menurut Military Wikia, Zhao Yun banyak terlibat dalam perang seperti Battle of Changban pada 208 Masihi, penaklukan semula daerah Yi berdekatan dengan Sungai Yangtze pada 213 Masihi, Battle of Han River pada 217 Masihi, Battle of Xiaoting dan ekspedisi ketenteraan menuju utara China di bawah arahan anak Liu Bei, iaitu Liu Shan.

Lukisan Klasik Battle Of Changban
Lukisan klasik tentang Battle of Changban. Via Wikipedia

Dalam Battle of Xiaoting, terserlah bahawa Zhao Yun merupakan seorang pahlawan yang bijak. Zhao Yun tegah Liu Bei kejar musuh, tapi Liu Bei tak dengar hingga menyebabkan mereka kalah dan terpaksa berundur. Begitu juga lepas kegagalan ekspedisi ketenteraan di bawah Liu Shan, Zhao Yun hanya mampu bertahan kerana diberikan bekalan ketenteraan yang lebih lemah manakala beberapa ketua panglima lain diberi barisan ketenteraan yang kuat. Zhao Yun meninggal dunia pada 229 Masihi dan dikurniakan nama ‘Shunping’ (pahlawan berani, baik dan setia pada arahan).

2. Nakhoda Yi Sun-Sin, ‘Poseidon’ Korea yang tak pernah kalah

Sesuailah dengan kelebihan watak hero Yi Sun-Sin ni kat Mobile Legends yang berasaskan air; dia ni boleh dianggap sebagai ‘Poseidon’ Korea jugak kerana walaupun dia tak pernah dapat latihan formal dalam peperangan atas air dan pelayaran, dia tak pernah kalah ketika berjuang sebagai nakhoda panglima.

Yi Sun Shin Mobile Legends
Yi Sun Shin, legenda panglima laut Korea. -Via Pinterest

Lepas lulus peperiksaan untuk jadi pegawai ketenteraan pada 1576, dia kerapkali ditugaskan jaga ketenteraan khususnya ketenteraan laut mereka. Dia latih betul-betul para pasukannya dengan pastikan mereka dapat latihan secukupnya, bekalan senjata dan peralatan yang sesuai serta membangunkan teknik kapal penyu, “kobukson”. Sebab tu bila Jepun serang Korea pada 1592, pasukan di bawah kendaliannya antara paling hebat dalam menangkis kemaraan Jepun.

Namun banyak orang dengki kat dia, sampai lebih berkali-kali dia diturunkan pangkat dan digantung kerana dituduh dalam bermacam kesalahan. Misalnya pada 1597, dia diturunkan pangkat daripada panglima perang jadi hanya askar biasa sebab dikatakan tak setia lepas perjanjian aman dengan Jepun. Bila Jepun serang balik, barulah dia dilantik semula sebagai panglima perang.

Ironclad Besi Korea Yi Sun Sin
Model ‘kapal penyu’, siap besi kat atas lagi..Via War History Online

Lebih menarik lagi, selain dari tak pernah kalah… dia jugak dikatakan tak pernah kehilangan satu kapal pun ketika berperang dan amat bijak dalam pertahanan hinggakan dia boleh menang lepas pasukannya dikepung lebih dari 20 kapal musuh. Mungkin sebab kebijaksanaannya, dia selalu difitnah dan dituduh macam-macam oleh para panglima yang tak puas hati kat dia. Malangnya, dia mati akibat terkena peluru dari musuh dalam peperangan.

Seoul Patung Yi Sunsin
Patung Yi Sun Sin yang dibina dengan penuh bangga oleh rakyat Korea. Via War History Online

3. Badang, wira Melayu gagah yang disebut-sebut hingga kini

Kita patut bangga bila wakil legenda gagah kita turut termasuk dalam pilihan watak hero kat Mobile Legends. Kadang-kadang boleh je pahlawan kita ni dicampur-adukkan dengan legenda negara jiran seperti Brunei dan Indonesia. Paling dekat, memang Indonesia lah kan… Setakat ni, takde lagi kami jumpa orang sana claim Badang ni mereka punya.

Badang Hero Mobile Legends
Wira Melayu sejati gitu… -Via Youtube

Ada orang kata Badang ni cuma mitos, kekuatan Badang ni datang lepas dia makan muntah hantu. Namun hasil penyelidikan terbaharu menunjukkan bahawa Badang ni wujud sebenarnya dan merupakan tokoh sejarah yang benar! Kata kurator Muzium Kota Tinggi, Mohd Azlan Hafiz Mohti kepada Berita Harian;

“Badang disifatkan sebagai anak muda yang berkebolehan istimewa, dengan watak gagah sebagai panglima tetapi badannya tidak begitu besar dan tidak berubah menjadi terlalu besar ketika beradu kekuatan…”

Badang Bukan Mitos Berita Harian
Dikatakan beginilah rupa Badang…Via Berita Harian

Ikut hasil kajiannya, Badang dikenali sebagai hulubalang kerajaan Temasik (Singapura) ketiga iaitu di bawah pemerintahan Raja Seri Rana Wikerma iaitu antara tahun 1362 hingga 1375. Asal usul Badang pun bermula dari bawah, iaitu merupakan seorang penduduk kampung berasal dari Sayong (hulu Sungai Johor) dan bekerja di ladang kepunyaan seorang tuan tanah iaitu Orang Kaya Nira Sura di Seluang, tak jauh dari kawasan Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

“Kepahlawanannya berbeza dengan pahlawan Melayu lain tetapi persamaannya beliau secara rasmi dilantik sebagai hulubalang kerajaan. Badang tidak pernah terbabit dalam siri peperangan dan tidak menggunakan senjata, sebaliknya kekuatan beliau adalah luar biasa dan semula jadi”

Mungkin kerana ramai kagum dengan kehebatan semula jadinya, maka ada yang anggap bahawa Badang ni memiliki kesaktian. Kisah-kisah ni ‘bertahan’ sebagai cerita lisan rakyat hingga kini. Kematiannya pula takdelah disebabkan beradu dengan hantu lain, sebaliknya dikatakan dia mati kerana sakit tua dan kuburnya dikatakan boleh ditemui di pinggir Desa Kandis, Pulau Buru di Karimun, Kepulauan Riau, Indonesia.

4. Pahlawan peribumi Filipina lawan Sepanyol, bunuh Ferdinand Magellan…

Kat Malaysia, mungkin tak ramai yang dengar nama Lapu-Lapu selain dari dirinya hanya sebagai watak hero kat Mobile Legends kan? Kalau dalam sejarah, khususnya dalam sejarah rakyat Filipina, Lapu-Lapu ni dijulang tinggi macam Jose Rizal kerana dia adalah pahlawan asli pertama yang berjuang menentang para penjajah Sepanyol di tanah Filipina. Masa tu, Magellan si pengembara dunia turut terbunuh.

Lapu Lapu Filipina Sejarah
Ilustrasi Lapu-Lapu dalam Mobile Legends…Via UHD Paper

Lapu-Lapu ni adalah salah seorang daripada ketua kawasan di Pulau Mactan yang enggan bayar cukai dan ufti kepada pihak Sepanyol yang dah mulai mendapatkan pengaruh dengan beberapa pemimpin tinggi di Filipina termasuklah Raja Cebu iaitu Raja Humabon. Zula, seorang lagi ketua kawasan di Pulau Mactan bercadang nak bayar cukai dan ufti kat Sepanyol tapi Lapu-Lapu taknak.

Lapu Lapu Patung
Dibina untuk mengenang keberaniannya sebagai pahlawan pertama lawan Sepanyol. Via Flickr

Rundingan demi rundingan gagal antara kedua-dua ketua menyebabkan Zula minta tolong kat Sepanyol untuk serang kawasan Lapu-Lapu. Dia ni pun bukannya pahlawan biasa-biasa; dalam Battle of Mactan, dia berjaya kalahkan tentera Sepanyol dan sekaligus membunuh Magellan yang suka campur tangan urusan kerajaan negara lain. Tak banyak catatan mengenai kematian Lapu-Lapu, tapi ikut cerita tempatan, dia bertukar jadi batu dan terus menjaga perairan Mactan hingga ke hari ni.

5. Legenda silam Mahabharata, kebanggaan sejarah kebudayaan rakyat Indonesia

Ghatotkaca, atau lebih popular dikenali dalam Mobile Legends sebagai ‘Gatotkaca’, adalah pahlawan silam yang terakam dalam epik Mahabharata. Dalam epik tersebut, Ghatotkaca adalah anak kepada Bhima dan Hidimbi, dan ni jadikan dirinya sebagai separuh raksasa yang berkuasa. Kerana darah keturunannya tu, dia dianggap memiliki kuasa magik seperti boleh terbang atas udara, jadi halimunan dan boleh manipulasi saiz badannya.

Gatotkaca Mobile Legends Sejarah Indonesia
Power Gatotkaca! Via Oketekno

Kelebihan ni digunakan sepenuhnya untuk mengalahkan tentera Pandava, namun berjaya menyelamatkan bapa saudaranya Arjuna, yang membalas dendam kepada adik-beradik Pandava. Manakala dalam versi Jawa pula, nama asal Gatotkaca ni adalah Jabang Tekuto dan lebih mirip dengan manusia berbanding sebagai separuh dewa raksasa macam kat epik Mahabharata. Tapi berbeza dengan India, Gatotkaca wujud sebagai watak dalam seni wayang kulit pula kat Indonesia.

Gatotkaca Wayang Kulit Indonesia
Gatotkaca sebagai watak wayang kulit. Via Pinterest

Menurut laman rasmi Indonesia mengenai kisah wayang kulit yang menampilkan Gatotkaca, jalan ceritanya menampilkan kisah kekuasaan Aji Narantaka dan perjalanan Gatotkaca untuk dapatkan kuasa luar biasa tersebut. Sudah pastilah kerana Gatotkaca ni sememangnya dah popular sebagai watak wayang kulit, bermacam-macam cerita boleh dimainkan oleh tok dalang kan? Kadangkala jalan cerita wayang kulit ni pun berubah jugak kerana situasi politik negara tersebut terutamanya ketika zaman Soeharto.

Banyak cara kekalkan warisan sejarah negara, perturunkan ilmu pada generasi masa depan

Kami tau banyak lagi watak hero yang kami tak tersebut kali ni, tapi daripada lima yang kami senaraikan ni, jelas sangatlah bahawa usaha pemeliharaan sejarah ni tak semestinya kena datang dari pihak berkuasa dan kerajaan semata-mata.

Yang ni, janganlah kot.. kesian pelancong nanti. -Via Giphy

Penggunaan watak sejarah dalam naratif berbentuk hiburan, lagi-lagi dalam bentuk permainan pun salah satu cara nak pelihara sejarah rakyat kita, selain dari berkongsi ilmu dengan negara lain macam sejarah Zhao Yun dan Gatotkaca yang jarang diangkat ke peringkat antarabangsa. Kami harap lebih banyak usaha sebegini bakal dilakukan oleh anak muda generasi masa depan supaya kita sendiri tak lupa sejarah bangsa kita sendiri.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top