Adibah Noor ‘terlalu istimewa’ di hati rakyat Malaysia, kenali risiko kanser ovari

adibahnoor f1

Khabar pemergian sorang lagi seniwati negara, Adibah Noor mengejutkan satu negara. Kehadirannya dalam persada seni mewarnai dan memperkaya latar dunia seni, lagi-lagi apabila dia sendiri kerapkali aktif di dalam Twitter dan berkomunikasi dengan para peminatnya. Anak-anak generasi 90-an yang membesar dengan karya-karya seninya pasti akan merindukan suaranya di kaca televisyen.

Kali ni, kami nak cerita sikit tentang sejarah hidupnya dan kata-kata akhirnya sebelum dia pergi meninggalkan kita semua. Yang pasti, punca kematiannya merupakan satu perkara yang boleh terjadi kepada semua wanita di luar sana.

adibahnoor takziah
Via Gempak

Dari sorang guru menjadi anak seni, sempat terlibat dalam tiga filem terakhir sebelum pergi selamanya

Adibah Noor, atau nama penuhnya Adibah Noor binti Mohamed Omar dilahirkan di tengah kota Kuala Lumpur pada 3 September 1970. Mulanya, Adibah Noor ni sorang guru Bahasa Inggeris selepas dia jadi graduan kelulusan Bahasa Kedua dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Pertandingan nyanyian pertamanya adalah dalam pertunjukan bakat yang dipanggil Suara 90-an Nescafe. Dia menang pertandingan tu pada tahun 1994.

Penglibatannya dalam dunia seni mulai terasa pada 2005. Masa tu, dia membintangi filem Sepet, sebagai Kak Yam. Dari situlah, dia mula bergiat aktif apabila hampir setiap tahun… ada je filem yang dia terlibat sama ada sebagai watak utama, pembantu mahupun sekadar penampilan khas je.

adibahnoor ome
Adibah Noor dalam Oh My English.. -Via Alchetron

Dia jugak turut aktif menjayakan pelbagai drama sejak 2009, bermula dengan drama komedi Phua Chu Kang Sdn Bhd. Drama terakhirnya, Mem & Bibik Bibik kini ditayangkan di TV3. Di saluran Astro, dia turut hadir membintangi beberapa telefilem iaitu Nostalgila, Mati Tunggu Sekejap, Cupid, Bisik pada Allah dan Pendoa yang Ikhlas pada 2014-2017.

Lantunan lagu ‘Terlalu Istimewa’ boleh dikatakan jadi trademark yang membekas sehingga hari ni. Lagu tu tercipta kemas oleh Azlan Abu Hassan dan liriknya ditulis oleh Adibah Noor sendiri. Lagu tu diilhkamkan daripada kes Nurul Huda Abdul Ghani, sorang kanak-kanak perempuan yang dirogol dan dibunuh dalam satu kes jenayah awal tahun 2004. Hasilnya, lagu tu berjaya menyentuh hati ramai termasuk para juri apabila dianugerahkan juara muzik tempatan sepanjang tahun 2006 termasuk Anugerah Juara Lagu ke-21 dan Hits 1 RTM.

https://www.youtube.com/watch?v=aaV6hBuGFeU

2011 merupakan tahun terakhir dia menang dalam anugerah muzik, dengan lagu Joget Tak Senang Hati. Lagu tersebut menang anugerah Lagu Pop Etnik Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM). Sementara tu, 7 tahun lepas tu, dia menang anugerah dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terakhir bagi filem Mencari Rahmat dalam Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2018.

Sepanjang kerjayanya, bakat lakonannya menampakkan betapa serba boleh dan versatilnya Adibah Noor. Watak komedi, memang kena. Watak sedih, watak orang baik dan jahat.. semua dia boleh angkat. Dia jugak turut berkecimpung dalam bidang pengacaraan, kemudian diambil pulak jadi duta beberapa syarikat. 3 filem terakhirnya; Juang, Baik Punya Ah Long dan Sekolahaha merupakan sumbangan terakhirnya pada dunia seni sebelum pemergiannya.

adibahnoor
Via MStar

Ani Mahyuni antara pemegang rahsia kanser ovarinya, Adibah nampak kurus setelah rehat

Dalam sebuah laporan Harian Metro, Ani Mahyuni mengakui diorang dah lama tau tentang tahap kesihatan Adibah Noor. Walaupun begitu, diorang diminta untuk rahsiakan perkara tersebut. Kongsinya lagi, Ani Mahyuni diamanahkan untuk tak hebohkan perkara tu kepada orang lain.

“Maaf kami terpaksa rahsiakan sebab sebelum ini Kak Dib (Adibah) ada beritahu saya dan beberapa rakan dalam Gegar Vaganza…

Saya tak boleh bercerita kepada semua orang berkenaan penderitaan arwah. Dia sakit selepas habis GV dan semasa kita nak shooting GV Raya, selepas itu dia mula demam on and off. Selepas itu lama dia warded dan kenapa dia tak keluar-keluar kita ingatkan Covid.

Bila saya tanya dia secara peribadi baru dia beritahu yang dia dapat tahu yang dia ada kanser dan baru lepas pembedahan masa itu,”- seperti yang dilaporkan Harian Metro

adibahkurus
Ramai percaya dia tengah diet.. rupanya.. -Via NST

Adibah jugak perlu berpantang dan kena rehat serta taknak terima mana-mana tetamu lagi. Tular gambar pertamanya selepas tempoh rehat tu, dia dah nampak kurus dan tua dari usia sebenarnya (51 tahun). Ada sesetengah warganet mendakwa ni mungkin cara Adibah nak kurus… namun kaedahnya mungkin tak sesuai. Tapi takde yang pernah terfikir, Adibah Noor menderita kanser ovari tahap 4.

Pelakon Namron atau nama sebenarnya, Shahili Abdan kata dia pun dah lama tau mengenai tahap kesihatan Adibah sejak beberapa bulan lalu dan bersyukur sempat berlakon dengannya.

“Bulan Februari lalu, kami berlakon bersama dalam filem Eraser sebagai suami dan isteri. Bulan lepas, Datuk Zainal Abidin memberitahu saya yang Adibah disahkan mengidap kanser dan sudah selamat menjalani pembedahan pada Ramadan lalu.

Sebenar tadi saya mendapat berita menyedihkan dia sudah kembali mengadap ilahi. Kita kehilangan seorang penghibur penuh kasih sayang dan disenangi oleh semua yang pernah berkerja bersamanya,”- seperti yang dilaporkan Harian Metro

namron adibah
Via Harian Metro

Kanser ovari ni boleh menyerang mana-mana wanita, lagi-lagi bila diorang ada risiko yang tinggi. Hingga hari ni, dikatakan punca kanser ovari tu sendiri masih belum dikenal pasti. Namun ada beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko tersebut:

  • Usia wanita yang semakin lanjut khususnya bila dah cecah menopaus
  • Genetik dan sejarah ahli keluarga yang turut hidapi kanser
  • Pernah lakukan terapi gantian hormon (faktor ni sangat kecil risikonya)
  • Endometriosis
  • Mempunyai berat badan berlebihan dan tak amalkan gaya hidup sihat (termasuk merokok)

Korang jugak boleh periksa sendiri dengan ambil ujian online dari Hellodoktor kat sini. Ujian ringkas ni akan meneliti risiko dan tanda korang dapat kanser ovari. Namun kena ingat, korang kena jumpa dengan doktor bertauliah dan tak semata-mata bergantung pada maklumat yang dipaparkan kat Internet.

Dalam kesempatan ni, kami turut ingin ucapkan takziah kepada keluarga Adibah Noor dan rakan-rakan artis yang terkesan dengan kehilangan mutiara dunia seni. Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang beriman, Aamin!

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *