Belasungkawa buat Tun Arshad Ayub, ini latar belakang beliau sebagai Tokoh Pendidikan Negara

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Itulah peribahasa yang harus kita panjatkan buat kenangan dan sumbangan Tun Arshad Ayub. Allahyarham Tun Arshad Ayub dikenali sebagai tokoh pendidikan negara, sebelum menceburi bidang perniagaan di kala zaman persaraannya. Sebagai tanda penghargaan kami atas jasa dan sumbangan Arshad Ayub, kami nak kongsikan sedikit latar pengalaman Tun Arshad Ayub dan apa orang kata mengenai dirinya.

tun arshad ayub bernama
Via Bernama

Digelar tokoh pendidik negara lepas berjaya asaskan UiTM kini, disayangi mahasiswa pada zaman 70-an

Tun Dr. Haji Arshad bin Ayub dilahirkan pada 15 November 1928, di Muar, Johor. Masa tu, kita masih panggil Johor sebagai sebahagian dari Tanah Melayu. Dia mulakan pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Parti Keruma, sebelum lanjutkan pelajarannya ke Sekolah Inggeris Kerajaan di Muar. Selepas tu, dia lanjutkan lagi pelajarannya ke Universiti Malaya, Singapura (1949-1951), Kolej Pertanian Serdang (1951-1954) dan University College of Wales, Aberystwyth, UK pada 1954-1958.

Selepas dia dah habis pengajian di Universiti Malaya, kerjayanya bermula di Lembaga Pembangunan Industri Desa (RIDA) pada 1951. Dia turut banyak terlibat dalam perancangan agenda pembangunan negara khususnya semasa era kemerdekaan. Agenda pembangunan yang tercetus itulah turut menjadi teras pentadbiran Tun Abdul Razak.

arshad ayub graduate business school aagbs
Bangunan yang dinamakan sempena Arshad Ayub.. -Via UiTM

Antara sumbangan yang terus diulangi seiring dengan namanya adalah penubuhan Institut Teknologi Mara (ITM) pada 1966.  Dewan Latihan RIDA jadi lokasi pertama ITM, dan ketika tu berjaya membantu lebih kurang 50 pelajar dengan  harapan dapat bantu orang Melayu di luar bandar. Walaupun idea penubuhan institut ni dikreditkan kepada Onn Jaafar, pusat latihan tersebut berkembang menjadi Maktab MARA pada 1965. Penukaran nama tu bermaksud kolej tu tak lagi beroperasi di bawah RIDA, sebaliknya jadi unit terpenting di bawah Bahagian Latihan MARA. Masa tu, Arshad Ayub yang ambil alih dan perkukuhkan peranan dan tanggungjawab RIDA.

Pada 1967, Maktab MARA akhirnya dinaiktaraf ke Institut Teknologi MARA (ITM). Kampus cawangan lain turut dibuka sehingga ke Perlis, Sabah dan Sarawak sebagai inisiatif MARA untuk memperkasa pendidikan kepada bumiputera termasuklah peribumi Borneo. Serentak dengan naiktaraf ni, Arshad Ayub jadi pengarah pertama dari 1965 hingga 1975. 2 tahun sebelum tu, Arshad Ayub memang dah jadi Dekan MARA College of Business and Professional Studies. Bila ITM naik taraf, dia ambil alih peranan yang lebih besar.

sejarah uitm
Sejarah UiTM.. -Via Putera Lapis Mahang

Pada akhir tahun 1970, ITM diberikan autonomi penuh dan ditadbir oleh Majlis Pentadbirannya sendiri. Situasi tu hanya bertahan selama 4 tahun, apabila sebuah demonstrasi dilakukan oleh ribuan pelajar ITM. Diorang tuntut ITM dinaiktarafkan. Demonstrasi ni tak macam demonstrasi aman yang kita lihat sekarang ni. Dulu, ada jugak sesetengah serpihan pergerakan massa ni tindakan yang lebih drastik. Dalam kejadian 1974 ni, ada sekumpulan pelajar tu rampas kereta api dan menuju ke KL. Seramai 1,500 ditangkap di bawah ISA dan hanya 300 lagi tiba ke Parlimen. Susulan tu, rundingan antara pihak pelajar dan kerajaan diadakan. Ia tak berakhir sebagaimana yang diharapkan, tapi ada jugak beberapa diploma ITM tu dinaiktaraf jadi ijazah.

Menteri Pelajaran ketika tu, Mahathir Mohammad luluskan perpindahan Arshad Ayub ke Bank Negara. Tindakan ni dibantah oleh Kesatuan Mahasiswa Institut Teknologi MARA (KSITM) sebab dikhuatiri akan rencatkan pembangunan ITM. Akta Universiti dan Kolej Universiti diluluskan bagi mengekang lebih banyak demonstrasi dari mahasiswa. Bantahan ni pun tak berhasil jugak, jadi Arshad Ayub berkhidmatlah di Bank Negara dan bekerja di bawah Tun Ismail Mohd Ali. Kemudian, dia dilantik jadi Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian.

arshad ayub1
Via HarakahDaily

Agong ucapkan takziah, legasi pendidikannya tetap diingati sampai sekarang

Walaupun tak lama Arshad Ayub di UiTM sebagai Pro-Canselor, legasi pendidikannya kekal dalam sanubari tanah air. PM Ismail Sabri kata, negara kehilangan sorang tokoh yang sangat berjasa.

“Perginya tokoh pejuang pendidikan yang amat besar sumbangannya pada negara. Allahyarham adalah seorang pendidik berpandangan jauh yang memberi impak besar kepada pendidikan negara.

Legasi Allahyarham khususnya menubuhkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melahirkan banyak profesional dan juga usahawan tekno Melayu di negara ini. Kini universiti tersebut telah melahirkan lebih 700,000 siswazah,”-seperti yang dilaporkan Harian Metro

agong arshadayub
YDP Agong bersama Dr. Arshad Ayub (kiri).. -Via Utusan Sarawak

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan ucapan takziah atas pemergian tokoh pendidikan negara, Tun Dr Arshad Ayub.

“Kehilangan beliau sangat dirasai oleh negara dan khususnya UiTM. Semoga segala jasa dan pengorbanan beliau dibalas dengan ganjaran pahala berlipat ganda daripada Allah SWT. Semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan para solihin,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

Allahyarham Arshad hembuskan nafas terakhirnya di hospital pada jam 2.06 pagi, 14 Jun 2022 pada usianya 93 tahun. Sejak seminggu lalu, dia dimasukkan ke unit kawalan rapi pada 7 Jun 2022 akibat masalah kesihatan. Doktor kata masa tu, keadaan kesihatannya ‘separuh-separuh’. Jenazahnya kini selamat disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, Selangor.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.