Tiga kisah pejuang wanita di Malaysia yang ramai tak kenal

Tiga kisah pejuang wanita di Malaysia yang ramai tak kenal

“Bangun melur bangun melati,
Kembang bunga petang dan pagi,
Biar lebur biar mati,
Namun tak mahu dijajah lagi.”

– Khatijah Sidek

Pejam, celik, pejam dan celik, kita kini sudah berada di dalam bulan Mac 2019. Rasa seakan-akan baru semalam kita bersorak “Selamat Tahun Baru!” dan menonton warna-warna bunga api menyambut tibanya tahun baharu. Selain daripada bulan ketiga  setiap tahun, bulan Mac juga adalah bulan kita menyambut Hari Wanita Sedunia. Lebih tepat lagi tarikh itu jatuh pada 8 Mac setiap tahun untuk menghargai jasa-jasa wanita di seluruh dunia dan sudah tentu, jasa wanita-wanita di Malaysia.

Via Tenor

Antara semangat Malaysia Baru yang semakin mendapat perhatian di dalam masyarakat Malaysia adalah semangat kebebasan bersuara. Semangat ini selari bersama kebebasan untuk berfikir kerana pemikiran yang lebih mendalam terhadap sesuatu isu membolehkan rakyat untuk memberi pendapat dan idea yang segar. Sekarang adalah waktu yang terbaik untuk kita melawat balik sejarah dan lihat golongan yang telah menjadi ‘subaltern’ di negara kita ­– golongan wanita berideologi kiri.

Golongan kiri pernah memberi penentangan yang kuat terhadap pihak pentadbiran British

Banyak perbincangan tentang siapa kiri dan siapa kanan. Tapi secara umumnya – kelompok kiri biasanya merujuk kepada kelompok yang biasanya dihubungkan dengan aliran sosialis atau demokrasi sosial. Komunisme maupun falsafah marxisme seringkali mendasarinya.

Pengorbanan dan perjuangan oleh pihak lain yang semakin dilupakan adalah perjuangan golongan kiri. Pakatan PUTERA-AMCJA adalah antara golongan kiri yang patut diberi perhatian. Merekalah antara yang terawal mengusulkan bahawa Tanah Melayu ni sewajarnya Merdeka daripada penjajahan luar melalui Perlembagaan Rakyat.

Akhbar ketika itu. Imej dari Twitter

Pada zaman tu, golongan kiri memberi penentangan yang amat kuat terhadap pihak pentadbiran British. Pelbagai cara dan jalan difikirkan oleh mereka untuk sentiasa meneruskan penekanan kepada pihak pemerintah. Sangat signifikan penentangan mereka sehingga mogok mereka hampir-hampir melumpuhkan keseluruhan jentera ekonomi dan pentadbiran Inggeris. Ini contoh yang menunjukkan betapa serius golongan ini melawan kuasa luar.

Apabila kita bercakap tentang golongan kiri yang kian dilupakan, saya ingin fokus juga kepada golongan marginal yang lebih banyak dilupakan pada naratif sejarah. Golongan yang dimaksudkan ialah golongan pejuang wanita berideologi kiri. Sempena kedatangan Hari Wanita Sedunia ni, elok jika kita dapat menghargai perjuangan berani golongan wanita di masa lalu.

Kumpulan wanita yang juga sebahagian daripada PUTERA dinamakan AWAS (Angkatan Wanita Sedar). Tiga pemimpin mereka yang saya ingin tekankan di sini ialah Aishah Ghani, Khatijah Sidek dan Shamsiah Fakeh. Selepas bersama-sama PUTERA-AMCJA menerbitkan Perlembagaan Rakyat, parti berhaluan kiri diharamkan oleh pihak British pada tahun 1948 termasuklah AWAS. Jadi, apakah yang terjadi kepada wanita-wanita hebat ini selepas itu?

Aishah Ghani, bekas Ketua Wanita UMNO dan senator wanita Malaysia yang pertama

Aishah boleh dikatakan seorang leftist sejati kerana pada mulanya penglibatan beliau di dalam arena politik tanah air adalah sebagai Ahli Parti Komunis Malaya (PKM) Beliau memegang jawatan sebagai wartawan untuk mereka. Kemudiannya, beliau meneruskan perjuangan di dalam AWAS bersama-sama tokoh yang saya sebutkan di atas. Selepas AWAS, Aishah memilih UMNO dan seterusnya mendaki setiap tangga pentadbiran yang ada di dalamnya.

Aishah Ghani. Via Dinmerican

Percaturan politik beliau yang sangat kuat dan berani berjaya membawa beliau sehingga ke Majlis Tertinggi UMNO, Naib Ketua Wanita UMNO, Ketua Wanita UMNO dan akhir sekali mencipta sejarah sebagai senator wanita Malaysia yang pertama. Kepimpinan beliau juga telah meyakinkan pentadbiran Tun Abdul Razak untuk memberi beliau jawatan sebagai Menteri Kebajikan Masyarakat pada tahun 1973.

Lebih membanggakan, penglibatan beliau bukan sekadar di arena politik dalam negara tetapi juga di dalam arena politik antarabangsa. Beliau diberi kepercayaan untuk menjadi wakil ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Khatijah Sidek dipecat UMNO kerana ketegasan, akhirnya memilih PAS

Khatijah, atau digelar sebagai Puteri Kesatria Bangsa juga menurut jejak langkah yang sama dengan memilih Parti UMNO. Walaupun jawatan yang beliau pegang tidak sampai sehingga memasuki kabinet, beliau tetap mencapai jawatan yang tinggi bagi golongan wanita ketika itu iaitu sebagai Ketua Kaum Ibu UMNO (nama lama Wanita UMNO). Sifat ketegasan yang mungkin juga kerana latar belakang kiri beliau telah menyebabkan parti mengambil tindakan tegas terhadapnya.

Khatijah Sidek. Via em

Ramai ahli-ahli UMNO juga menjadi tidak senang atas ketegasan dan keberanian beliau memperjuangkan hak untuk golongan wanita di dalam parti dan seluruh Malaysia. Khatijah dipecat oleh parti dan beliau membawa diri ke dalam PAS. Di situ, Khatijah diangkat menjadi pemimpin Kaum Ibu PAS ­– iaitu nama lama bagi Muslimat PAS. Khatijah juga diangkat menjadi Ahli Parlimen mewakili Parlimen Dungun ketika beliau di dalam PAS.

Terpaksa meninggalkan tanah air demi perjuangan, dan akhirnya pulang ke Malaysia

Cerita berlainan pula bagi pemimpin wanita AWAS yang terakhir ini. Shamsiah tidak sertai UMNO, tetapi kekal bersama parti berhaluan kiri yang lain iaitu Regimen Melayu Parti Komunis Malaya. Disebabkan oleh pilihan tersebut, beliau terpaksa meninggalkan tanah air selepas konflik negara yang melibatkan komunis tamat. Beliau berundur ke sempadan Thailand melalui hutan dan meneruskan perjalanan ke negara China.

Beliau tidak punyai banyak pilihan kerana beliau tidak boleh terus tinggal di Malaysia atas faktor hubungan beliau bersama komunis. Pengorbanan yang dilalui beliau sangat sukar untuk kita gambarkan. Hanya orang yang betul-betul berani sahaja yang mampu untuk melalui perjalanan seperti Shamsiah Fakeh. Bukan sahaja pengorbanan kepada negara yang dicintai, tetapi dia juga telah terkorban anak beliau sendiri ketika hendak melarikan diri untuk keluar dari Malaya.

Samsiah Fakeh. Via BO

Selepas beberapa tahun bekerja dengan jentera propaganda di China, beliau bersengketa pendapat dengan ketua komunis yang kita semua kenal, Chin Peng. Hubungan yang tawar di antara mereka menjadi antara penyebab Shamsiah bertukar menjadi pekerja biasa di China. Pada tahun 1994, Shamsiah akhirnya dibenarkan untuk pulang semula ke Malaysia.

Banyak teladan yang boleh kita pelajari daripada kisah-kisah ini. Antaranya, wanita-wanita AWAS berhak untuk memilih jalan perjuangan mereka sendiri. Sebagai seorang manusia yang bebas, mereka boleh menggunakan akal mereka sendiri untuk bertindak mengikut apa yang mereka rasa baik ketika itu.

Peranan wanita dalam perjuangan sama penting dengan lelaki

Naratif yang berbeza ini perlu diketengahkan dan diberi pemahaman yang berbeza supaya kita tidak melupakan setiap individu yang telah berkorban harta dan nyawa untuk membebaskan negara kita dari kuasa luar. Kisah perjuangan wanita di dalam politik tanah air sudah lama ada, cumanya kita perlu sentiasa mengingatkan satu sama lain.

Semoga sambutan Hari Wanita Sedunia pada tahun ini menambah pengetahuan pembaca mengenai kisah wanita-wanita hebat ini. Selamat Hari Wanita Sedunia kepada semua wanita di luar sana!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print