Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin menempelak Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menuding golongan maha kaya ketika membentangkan Belanjawan 2024. Perikatan Nasional bimbang dengan intonasi dan naratif Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2024 yang memberikan gambaran negatif kepada golongan kaya.
“Saya hairan sudah acap kali Anwar melabelkan mereka sebagai golongan maha kaya yang seolah-olah melakukan banyak kesalahan.
Apa salahnya kerajaan merangkul dan menggarap penyertaan semua pihak, termasuk golongan ahli perniagaan yang berjaya dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya dalam usaha menarik pelaburan luar dan mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat dasar di Dewan Rakyat
Selain itu, beberapa ahli parlimen PN turut menyoal perdana menteri berhubung penggunaan naratif maha kaya ketika membentangkan belanjawan. Anwar sebelum ini menyifatkan maha kaya sebagai golongan mendapat manfaat berlebihan dalam ekonomi negara khususnya menerusi sistem subsidi.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid berkata penggunaan naratif maha kaya memberi tanggapan negatif terhadap golongan kaya di negara ini.
“Dalam ucapan belanjawan menteri kewangan menggunakan naratif maha kaya, seolah-olah rakyat anggap maha kaya ini satu dosa di Malaysia. Dalam masa yang sama, kerajaan minta golongan maha kaya ini bantu rakyat. Ini mengelirukan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata bahawa kerajaan perlu jelas berhubung ekonomi negara.
“Sebelum ini PM nak menoktahkan kemiskinan, makna menoktahkan kemiskinan orang itu akan ada pendapatan dan menjadi kaya. Jadi, PM nak kemiskinan pun nak menoktahkan maha kaya pun tak boleh. Sebenarnya kita nak capai apa? Miskin pun tak boleh kaya pun tak boleh,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pendang Awang Solahuddin Hashim berkata Belanjawan 2024 seolah-olah filem Tamil.
“Bajet ini macam filem Tamil. Hero hentam orang kaya, tapi dalam masa yang sama seolah-olah membela golongan orang susah. Tapi, dalam bajet ini daripada cukai perkhidmatan dinaikkan daripada enam peratus ke lapan peratus. Tambahan dua peratus ini kita nak tahu berapa unjuran, nak tahu berapa perolehan hasil daripada tambahan dua peratus ini. Dengan rantaian bekalan akan terus menekan rakyat, akhirnya rakyat yang perlu membayar semua cukai ini,” katanya.
Terdahulu, Hamzah yang juga ahli parlimen Larut berkata kerajaan seharusnya memujuk ahli perniagaan berjaya atau golongan maha kaya itu untuk membahagikan kek ekonomi hasil mereka dengan adil.
“Bukannya mewujudkan perasaan tidak senang, antara pekerja dan syarikat.
“Walau bagaimanapun, PN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang memperoleh kekayaan hasil daripada kegiatan ekonomi gelap, seperti rasuah, judi, dadah, pelacuran dan mana-mana aktiviti yang tidak bermoral dan merugikan negara,” katanya.
Anwar pertahan guna istilah maha kaya ke Pembentangan Belanjawan
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan ungkapan “maha kaya” yang disebutnya dalam Belanjawan 2024 pada Jumaat lepas, dengan mengatakan dia bukan bersikap anti terhadap golongan itu.
Sebaliknya, perdana menteri menegaskan, kerajaan hanya berhasrat mengurangkan subsidi untuk 10 peratus golongan kaya di Malaysia kerana mereka tidak memerlukan “sedekah” untuk terus hidup.
“Bukan soal anti maha kaya. Bukan (minta) cukai tambahan daripada mereka. Maksud ialah subsidi itu tidak pada golongan maha kaya, itu saja.
Pendekatan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa mulai tahun hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata peningkatan keperluan Belanjawan 2024 yang dijangka mencecah RM81 bilion berbanding RM64 bilion pada Belanjawan 2023 adalah akibat langkah kerajaan mengekalkan harga barangan bersubsidi, walaupun berdepan kenaikan luar jangka harga komoditi dunia.
“Sekali pun barangan bersubsidi membantu rakyat dalam meminimumkan kos sara hidup tetapi hakikatnya subsidi lebih memanfaatkan golongan kaya dan harga yang murah telah meningkatkan ketirisan serta penyeludupan ke luar negara, malah subsidi turut dihirup oleh lebih 3.5 juta orang asing.
“Hasil penjimatan subsidi ini sebahagiannya akan disalurkan terus untuk meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024
“Macam Tabung Haji, kita bagi subsidi kepada rakyat. Tapi kalau pendapatan dia RM100,000 sebulan ke atas, subsidi itu tak patut diberi kepada dia. Itu maksud saya,” katanya di Dewan Rakyat
Anwar berkata demikian semasa Sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Parlimen, di mana dia menjawab soalan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berhubung isu harga telur dan ayam.