Kestabilan politik Sarawak perlu dicontohi Persekutuan

f1 min (7)

Kerajaan Persekutuan hanya boleh fokus kepada pembangunan dan angkat semula ekonomi Malaysia ke tahap hebat dengan kestabilan politik.

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini perlu bersatu padu bagi mencapai matlamat itu. Beliau berkata, ketika ini kestabilan politik semakin menampakkan pemulihan positif dan usaha berterusan perlu dipupuk bagi memastikan ia dicapai sepenuhnya.

“Dengan semangat perpaduan yang semakin baik sekarang, dengan politik yang semakin stabil walaupun tidak semua (parti politik) yang mahu bersama (Kerajaan Perpaduan), majoriti besar mahu bersama kita. Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah menentukan supaya kerajaan ini dapat memastikan seluruh kekuatan untuk membela nasib rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia yang dihadiri tetamu utama, Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nasar dan isteri, Puan Sri Fatimah Mohd Iskandar di Stadium Perpaduan, Petra Jaya

Yang turut hadir, dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Turut memeriahkan sambutan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selain semua menteri Kabinet Persekutuan dan Sarawak.

Anwar berkata, Malaysia pernah mencapai ekonomi yang hebat, namun keadaan kini sudah berubah susulan ketidakstabilan politik.

“Ekonomi kita sudah merudum jatuh dan kita perlu mengangkatnya semula dengan memastikan kestabilan dan mengukuhkan perpaduan,” katanya.

Menurutnya, dalam usaha mengukuhkan semula ekonomi, Sarawak berpotensi untuk menjadi penyumbang.

“Hari ini Sarawak berpotensi menjadi tapak pembangunan pembangunan industri hijau dan hidrogen sehingga meletakkan industri hiliran berdasarkan tenaga diperbaharui, teknologi hijau dan kenderaan elektrik paling hebat di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Berikutan kemampuan Sarawak muncul wilayah paling depan di dalam teknologi baharu itu di Malaysia, Anwar berkata, beliau meminta Abang Johari memberi ‘kuliah’ kepada jemaah menteri Persekutuan sebelum mereka mengadakan mesyuarat Kabinet di Kuching, hari ini.

“Kalau dahulu, kita (Menteri Persekutuan) datang memberi kuliah kepada pemimpin Sarawak, namun hari ini saya meminta Abang Johari memberi pandangan dan kuliah kepada Menteri Persekutuan.

“Ini kerana Sarawak kini berada di depan dalam beberapa bidang dan aspek terutama dalam soal industri hiliran berdasarkan kekuatan tenaga diperbaharui dan teknologi serta beberapa bidang baharu yang diterokai dengan jayanya berdasarkan pelaksanaan di Sarawak,” katanya.

Selain itu, Anwar turut memberi jaminan akan mengarahkan seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Perpaduan menangani setiap aduan yang rakyat kemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Kembara Kenali Borneo baru-baru ini.

“Khamis lalu, saya menghadap Yang di-Pertuan Agong dan baginda yang masih sangat terkesan, berbicara dengan penuh perasaan sehingga berlinang air mata kerana terpegun dengan kasih rakyat Sabah dan Sarawak kepada baginda berdua.

“Namun, sebagai Perdana Menteri, saya terbeban (menerima tugas) dengan kembara itu, kerana baginda memberikan semua surat yang diserahkan oleh rakyat kepada saya.

“Saya akan memikul beban dengan memberi jaminan saya akan mengarahkan seluruh jentera meneliti setiap surat itu dan kita usaha menyelesaikannya sebaik mungkin, mana yang tertinggal atau yang sukar saya akan memanjangkan kepada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak untuk mereka bersama tangani,” katanya.

Kestabilan politik Sarawak asas kejayaan negeri itu

Kestabilan politik dan perpaduan jadi asas di Sarawak untuk mencatat kejayaan terutama dalam menuntut hak-hak negeri seterusnya membina ekonomi negeri yang ampuh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Pengerusi Pengelola Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2023 berkata, kejayaan demi kejayaan telah dicapai Bumi Kenyalang sehingga kini, khususnya di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Percayalah kesemua kejayaan besar yang dicapai Sarawak setakat tok (ini)… tidak akan dapat kita capai tanpa kestabilan politik, perpaduan dan keharmonian kaum.

“Kerana perpaduan jitu rakyat Sarawak di bawah kerajaan pimpinan GPS maka suara Sarawak menjadi penentu kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan dalam krisis politik negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hingga ke PRU15,” katanya pada Majlis Makan Malam Anak Sarawak sempena LBAS 2023

Beliau berkata, Sarawak telah berjaya memperkukuhkan kedudukannya dalam negara dan di mata dunia di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Fadillah yang merupakan Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, program LBAS bukan sekadar wadah untuk rakyat Sarawak berkumpul beramai-ramai malah ia adalah simbol kebersamaan, keharmonian dan kasih sayang sesama anak-anak Sarawak.

“Semoga semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan kita orang Sarawak akan terus terpelihara dan bertambah demi Sarawak maju dan makmur,” katanya dan menambah kira-kira 6,500 anak Sarawak di Semenanjung berambeh (berkumpul) di majlis makan malam itu.

Sementara itu, Abang Johari yang turut hadir ke majlis itu berkata, Kerajaan Sarawak komited untuk terus memainkan peranan dalam membangunkan Malaysia menerusi Kerajaan Perpaduan dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Alhamdulillah negeri kita begitu stabil, politik pun baik dan rakyat berbilang kaum dan agama dapat sama berganding bahu meneruskan usaha membangunkan masyarakat kita dan negeri kita.

“… PRU15 tidak ada kestabilan dan akhirnya kita menerima titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan…kita ada wakil dalam Kerajaan Perpaduan dengan kementerian yang ada di situlah kita mainkan peranan bangunkan negara Malaysia,” katanya.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib merupakan orang kenamaan utama dalam majlis itu yang turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *