Presiden PAS Abdul Hadi Awang arahkan anggota parti itu menarik undi bukan Islam pula setelah berjaya menguasai sokongan Melayu.
“Kita sudah berjaya menarik sokongan pengundi Melayu Islam dalam PRU15, maka usaha yang penting dan berat yang mesti dilakukan adalah menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu dalam PRU16.
“Perkara ini penting untuk dibincangkan dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, tersusun dan bijaksana,” katanya dalam ucapan dasar sempena muktamar tahunan PAS di Shah Alam sebentar tadi.
Hadi mengakui bedah siasat PAS mendapati bahawa mereka lemah dalam menarik sokongan bukan Melayu.
Susulan itu, katanya, PAS dan Perikatan Nasional (PN) tidak mendapat bilangan gabungan kerusi yang belum mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Ini semua berlaku walaupun secara keseluruhannya berlaku peningkatan mendadak sokongan terhadap mereka, tambahnya.
Untuk menjayakan agenda itu, Hadi turut mengarahkan anggota parti itu mengekang naratif menggunakan jenama Gelombang Hijau.
Dia mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa gelaran itu berunsur Islamofobia yang bertujuan menakutkan-nakutkan bukan Islam.
Hadi menegaskan mereka akan meneruskan agenda penyatuan ummah yang melibatkan orang bukan Islam yang tidak ekstrem, demi kestabilan dan keharmonian negara.
“PAS berusaha menyantuni pelbagai kaum dan tidak pernah mengesampingkan slogan Islam untuk semua, Islam for all,” katanya.
Sementara itu, bercakap dalam sidang media selepas itu, Hadi yakin PAS mampu meraih sokongan pengundi bukan Islam bersandarkan prestasi pentadbiran di negeri-negeri diperintah mereka.
Malangnya Hadi pernah kata non-muslim perosak negara
Golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera dikatakan kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara, dakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Beliau juga memberi perbandingan melawan rasuah dengan usaha mencegah “penyakit denggi”.
Katanya, mencegah denggi bukan sekadar merawat pesakit dan membunuh nyamuknya, tetapi juga bertindak terhadap takungan air yang membiakkan nyamuk dan manusia yang tidak menjaga kebersihan.
“Begitulah juga dengan usaha menangani penyakit rasuah, ia wajib dilakukan secara holistik supaya tidak menjadi wabak apabila diambil tindakan yang tidak menyeluruh sehingga ke akar umbinya. Khususnya, terhadap mereka yang menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram.
“Sehinggakan, dalam kalangan mereka itulah yang menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman. Malah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan Bumiputera,” katanya dalam kenyataan.
Hadi berkata, banyak laporan dalam senarai panjang telah dihukum menerima rasuah, termasuk mereka yang masih dalam tuduhan yang belum dibuktikan, tetapi dihukum oleh media sebelum proses kehakiman diselesaikan.
Katanya, ada juga kalangan mereka yang nasibnya menjadi kambing hitam yang disembelih menjadi korban atau yang menjadi proksi kepada penyangak yang sebenarnya bersembunyi melakukan rasuah yang lebih besar jumlahnya sehingga berlipat kali ganda.
“Adapun dalam kalangan yang memberi rasuah itu pula tidak kelihatan, mungkin senarainya lebih panjang dan jumlahnya lebih ramai. Ayat al-Quran dan hadis yang dinyatakan mendahulukan laknat terhadap sesiapa yang memberi rasuah. Barangkali kalangan inilah yang paling besar menguasai ekonomi negara dan mempengaruhi politiknya dengan cara yang haram,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, ada dalam kalangan membiayai politik wang bagi mengangkat sesiapa yang tidak layak menjadi pemimpin kerana jahil atau fasiq.
“Oleh yang demikian, disebabkan pemimpin sedemikian rupa boleh dipergunakan selepasnya, amalan khianat yang paling bahaya kerana menjadi sumber segala penyelewengan dan kezaliman,” katanya.
Nik Nazmi kata Hadi tak konsisten
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, membidas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilihat tidak konsisten dalam tindakannya apabila mengarahkan anggota parti itu menarik undi bukan Islam melalui ucapannya di Muktamar Tahunan PAS.
Katanya, tindakan Abdul Hadi disifatkan tidak ubah seperti ‘hari ini cakap lain, esok cakap lain’ kerana Ahli Parlimen Marang itu kini sanggup menagih undi kumpulan yang sebelum ini pernah dilabel sebagai perosak negara.
“Membaca ‘amanat’ terbaru Abdul Hadi mengingatkan saya mengenai tohmahan beliau terhadap pengundi bukan Melayu. Ogos tahun lalu, beliau mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.
“Nampaknya Abdul Hadi sedang menagih undi kumpulan yang sebelum ini pernah beliau label sebagai perosak negara, sejak dari dulu beliau terkenal dengan sikap yang tidak konsisten dalam berkempen. Hari ini cakap lain, esok cakap lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, dalam ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan PAS di Shah Alam, Abdul Hadi, mengarahkan anggota parti itu menarik undi bukan Islam selepas berjaya menguasai sokongan Melayu.
Abdul Hadi dilaporkan berkata, pihaknya mengakui bedah siasat PAS mendapati bahawa mereka lemah dalam menarik sokongan bukan Melayu, sekali gus tidak mendapat bilangan gabungan kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, berkata semua kaum dan agama perlu dibabitkan dalam proses pembinaan negara demi melihat Malaysia bergerak ke hadapan.
“PKR sebagai parti berbilang kaum tidak pernah melabel mana-mana kaum sebagai perosak negara.
“Saya percaya dengan pelbagai inisiatif yang dilakukan Kerajaan Perpaduan, ia akan memberikan keyakinan kepada semua pengundi tanpa mengira kaum dan agama untuk terus menyokong kerajaan ini,” katanya.