Ahli Parlimen sokong PM, Hamzah kata hal itu salah

f1 min (3)

Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid telah menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan memetik kos sara hidup yang semakin meningkat di kawasannya. Dia berkata keputusannya itu juga bertujuan untuk menilai sama ada perdana menteri ikhlas dan mengotakan janji memberi peruntukan untuk ahli parlimen yang menyokong dasar kerajaan perpaduan.

“Saya percaya ekonomi negara perlu ditingkatkan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Oleh yang demikian, saya menyokong perdana menteri atas apa-apa usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Anwar tak buat sebarang kenyataan umum yang meletakkan syarat ahli parlimen pembangkang – yang pada masa ini tak dapat sebarang peruntukan persekutuan untuk memberi perkhidmatan kepada pengundi mereka – untuk menyokong dasar kerajaan bagi mendapat peruntukan itu.

Sebaliknya, Anwar dan ahli parlimen kerajaan yang lain telah berkali-kali memberitahu ahli parlimen pembangkang untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan untuk mendapatkan peruntukan yang sama dan memberi jaminan bahawa kerajaan terbuka kepada perbincangan sedemikian.

Sementara itu, Dzulkarnain menegaskan dia tetap setia bersama Bersatu, walaupun mengakui berisiko berdepan tindakan tatatertib.

“Biarpun saya berkemungkinan berdepan dengan risiko sebarang tindakan disiplin parti, saya tidak sanggup melihat pengundi-pengundi di kawasan saya terus terbiar dan ketinggalan hanya semata-mata kerana perbalahan naratif politik,” tambahnya.

Dalam maklum balas segera, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dilaporkan berkata Dzulkarnain perlu dirujuk kepada speaker Dewan Rakyat.

Malay Mail memetiknya sebagai berkata, ini kerana hanya speakaer yang boleh memutuskan sama ada Dzulkarnain melanggar undang-undang antilompat parti.

Hamzah dakwa Anwar salahguna kuasa

Perikatan Nasional mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berterusan menyalahgunakan kuasa bagi melakukan intimidasi serta ugutan terhadap pemimpin pembangkang.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin mendakwa SPRM mengugut Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid supaya menyokong Anwar atau menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah.

Hamzah Zainudin
“Adalah dipercayai bahawa intimidasi dan ugutan inilah yang digunakan ke atas ahli Parlimen Kuala Kangsar bagi mendapat sokongan agar kerajaan Madani kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.

“Pada 1 Oktober lalu, ahli Parlimen Kuala Kangsar dibawa untuk bertemu dengan seorang pegawai tertinggi SPRM di sebuah lokasi hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang telah pun disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan,” katanya.

Pemimpin Bersatu itu juga mendakwa kerajaan pada mulanya cuba merasuah Iskandar Dzulkarnain semasa satu perjumpaan di sebuah lokasi di Damansara pada 26 September.

Dakwa Hamzah, ahli parlimen berkenaan telah didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan perdana menteri.

“Beliau telah ditekan dan didesak untuk menyokong perdana menteri serta dijanjikan habuan wang ringgit dan kedudukan dalam beberapa syarikat,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi SPRM dan Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan maklum balas mereka terhadap dakwaan itu.

“Perikatan Nasional pada masa yang sama kesal di atas kenyataan media yang dibuat secara terburu-buru oleh ahli Parlimen Kuala Kangsar.

“Kenyataan beliau dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan amat berbeda dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti,” kata Hamzah.

Semalam, Iskandar Dzulkarnain menyuarakan sokongan kepada Anwar, dengan memetik kos sara hidup yang semakin meningkat di kawasannya.

Dia dilaporkan berkata, keputusannya itu juga bertujuan untuk menilai sama ada perdana menteri ikhlas dan mengotakan janji memberi peruntukan untuk ahli parlimen yang menyokong dasar kerajaan.

Anwar bidas kenyataan Hamzah

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin atas dakwaannya bahawa Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut agar menyokong kerajaan.

Anwar berkata ia merupakan satu dakwaan serius dan Hamzah seharusnya mengemukakan bukti berkaitan kepada pihak berkuasa.

“Kalau ada bukti, dia patut keluarkan (bukti). Jangan pakai bebal saja. Kalau ada (bukti), ini satu tuduhan yang serius. Dia patut buat laporan agar ada siasatan,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Iskandar yang merupakan ahli parlimen Bersatu mengumumkan sokongannya terhadap Anwar namun pada masa sama kekal bersama PN.

Hamzah kemudian mendakwa SPRM telah mengugut Iskandar agar berbuat demikian jika tidak ingin dihadapkan dengan pertuduhan rasuah di mahkamah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai usaha untuk mencemarkan imej suruhanjaya itu.

Dalam pada itu, Anwar turut menafikan dia ada menghubungi Iskandar atau menghantar wakil untuk bertemu dengannya.

“Apa yang saya tahu, saya belum jumpa (Iskandar), belum hubungi atau hantar wakil (untuk berjumpa).

“Saya tak tahu siapa yang ugut (seperti didakwa),” katanya lagi.

Namun, Anwar berkata dia mengalu-alukan keputusan Iskandar untuk menyokong kepimpinannya walau kekal bersama PN.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *