Pemuda UMNO cadangkan gencatan politik, kami terangkan kenapa idea ini bahaya

F1
Pemuda UMNO cadangkan gencatan politik, kami terangkan kenapa idea ini bahaya

Dua hari lepas, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin umumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun sehingga 31 Ogos ni. Antara elemen paling penting dalam PKPP ni adalah kebenaran untuk pergerakan rentas negeri. Selain tu, beberapa aktiviti yang dilarang ketika PKPB dah dibenarkan.

Kita selalu cakap pasal normal baharu untuk menyesuaikan diri dengan pandemik Covid-19. Hampir semua benda yang kita lakukan hari ini akan berpaksikan normal baharu, untuk mengelakkan kita dari dijangkiti Covid-19. Cuma, kami tak selesa apabila semua benda boleh disuntik normal baharu, tapi tidak untuk politik. Kami berbeza pandangan tentang “tak boleh berpolitik” untuk memudahkan usaha melawan pandemik Covid-19.

Politik adalah instrumen penting untuk membantu rakyat, pembinaan dasar dan polisi yang baik dalam menangani Covid-19 akan memaksimakan impak. Cuma, seperti yang kami pernah tulis sebelum ini – kerajaan yang ada majoriti kecil seperti Perikatan Nasional berkemungkinan rasa “insecure” untuk mengadakan sidang Parlimen. Oleh sebab itu sidang Parlimen selalu dianjak.

Normal baharu politik di Malaysia bukan sahaja berlaku kerana pandemik Covid-19, tetapi turut libatkan Langkah Sheraton tempoh hari

Bercakap tentang normal baharu dan politik – Di Malaysia, normal baharu politik bukan sahaja terjadi kerana kedatangan Covid-19, ia bermula dengan Langkah Sheraton. Bagi mereka yang tak tahu apa ke benda Langkah Sheraton ni, ia adalah majlis yang menghimpunkan pimpinan politik pembangkang-kerajaan pada masa tu; diorang bukan saja-saja makan, tapi berbincang untuk jatuhkan kerajaan melalui perubahan koalisi. Keadaan ini telah membawa Malaysia ke krisis politik pada awal tahun ni.

724656
Gambar yang popular apabila kita bercakap pasal Langkah Sheraton. Via MalaysiaDateLine

Apa normal baharu politik yang kami maksudkan tu? Ia bermaksud ahli politik boleh menukar pasukan pada bila-bila masa; termasuklah jadi kerajaan/pembangkang dalam sekelip mata. Bagi kami benda ni akan membawa malapetaka kalau ia dibenarkan terus berlaku. Normal baharu politik ini akan memberi idea kepada ahli politik untuk bertanding je ikut mana-mana parti semasa pilihan raya, nanti bila pasukan dia kalah, dia boleh lompat ke pasukan yang menang.

Apa yang kita perlu lakukan adalah memperkenalkan normal baharu politik yang betul. Sebagai contoh, Dewan Rakyat boleh bersidang di atas talian (online). Benda ni penting, kalau dalam hal-hal lain kita boleh perkenalkan normal baharu, kita tak boleh tolak kepentingan normal baharu dalam politik. Perbincangan politik yang menjaga penjarakan sosial atau cuma berbahas kat sosial media, sepatutnya dibenarkan berlaku.

Kita tak mahu aksi lompat-melompot ni terus wujud di Malaysia. Via Giphy

Sebab itulah kami kata, sejak pandemik Covid-19 ni berlaku, demokrasi di negara kita alami defisit. Larangan untuk “berpolitik” masa pandemik ni hanya akan beri keuntungan kepada mereka yang tengah berkuasa, sebabnya; keputusan diorang tak akan disemak imbang. Ungkapan ni sebenarnya adalah “ungkapan” politik – untuk mengekalkan kekuasaan diorang. Mengambil contoh kerajaan hari ni – ketika diorang lakukan seruan “jangan berpolitik”, ramai ahli Parlimen mereka dah dilantik mengetuai GLC. Tanpa perbahasan di Parlimen, semua ini sukar untuk disemak imbang.

Pemuda UMNO cadangkan gencatan “politik”, cuma ia akan sebab proses semak imbang sukar berlaku

Beberapa hari lepas, Pemuda Umno Malaysia menggesa semua ahli politik agar lakukan “gencatan politik” sebagai langkah untuk bantu realisasikan agenda pemulihan rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Dr Asyraf Wajdi Dusuki kata tempoh tiga ke enam bulan akan datang merupakan waktu paling getir buat rakyat untuk kembali sesuaikan diri dalam menghadapi normal baharu.

724656
Ketua Pemuda UMNO. Via NST

“Bagi merealisasikan agenda pemulihan ekonomi rakyat ini, Pemuda Umno menyarankan agar ahli-ahli politik – tidak kira dari gabungan dalam kerajaan mahupun pembangkang – dapat segera melakukan gencatan politik buat seketika. Penggemblengan usaha ke arah membela nasib rakyat yang kian resah dan susah harus menjadi keutamaan ketika ini berbanding perkiraan untung rugi politik jangka pendek dan perebutan kuasa berterusan yang hanya akan memudaratkan rakyat dan negara jangka panjang,” – Asyraf Wajdi, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Gesaan ni dikeluarkan ketika ramai yang ramalkan Perikatan Nasional (PN) tak dapat bertahan lama dan pertukaran kerajaan akan berlaku dalam waktu terdekat. Buat masa ini PN ada majoriti tipis berbanding PH. Sejak beberapa hari lepas, ada beberapa isu yang menyebabkan orang yakin kita akan hadapi krisis politik lagi, contoh isu yang berlaku adalah peletakan jawatan timbalan menteri dan dakwaan pertukaran sokongan ahli parlimen kepada PN.

724656
Via MalayMail

Macam yang kami kata tadi, dakwaan untuk tidak berpolitik ni bahaya kepada demokrasi di negara kita. Gesaan yang betul adalah ayuh berpolitik dengan normal baharu. Kalau dahulu ahli politik suka kumpulkan orang dalam ceramah politik diorang, dalam keadaan normal baharu; ahli politik kena biasakan diri gunakan teknologi untuk menyebarkan propaganda diorang. Kerajaan pula harus bersedia dikritik, bukan menghukum sesiapa sahaja yang kritik diorang sebagai  “berpolitik” ketika pandemik Covid-19.

Kita tak boleh percaya pada “individu”, kita harus percaya pada demokrasi yang baik

Kita tak boleh bergantung kepada individu-individu tertentu untuk menjaga negara kita, apa yang boleh kita harapkan adalah keadaan demokrasi yang sihat akan melahirkan polisi dan dasar yang baik untuk rakyat. Masalah utama kebanyakan rakyat pada hari ni, mereka terlalu mempercayai pemimpin-pemimpin tertentu untuk sentiasa melakukan keputusan yang betul. Malangnya, manusia mudah berubah, lebih-lebih lagi; jika dipengaruhi rasa tamak dan cita-cita politik.

Oleh sebab itulah kita perlukan demokrasi untuk memastikan setiap ahli politik dikritik sewajarnya. Melakukan gencatan politik seperti yang dicadangkan oleh Pemuda UMNO hanya akan memberi ruang kepada mereka yang berkuasa untuk lakukan apa sahaja – termasuk salahguna kuasa. Sebab itulah kita tak boleh hentikan politik ketika pandemik, tapi kita harus belajar untuk berpolitik normal baharu.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top