Barisan Nasional (BN) perlu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai penentu kejayaan Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Pengerusi BN itu berkata, hasrat kemenangan itu turut disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu rentak kemenangan dalam PRK DUN Nenggiri dan Mahkota diteruskan di Ayer Kuning.
“Dalam Kerajaan Perpaduan, ini merupakan PRK kelapan, ertinya lima dalam (calon) BN sementara tiga lagi dalam Pakatan Harapan (PH). PRK yang kelima untuk BN ini sangat-sangat penting untuk kita menentukan kejayaannya (menang). Memberi erti bahawa sesungguhnya Kerajaan Perpaduan ini bermula di Perak,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera PRK N48 DUN Ayer Kuning di Pusat Arahan BN
Beliau mahu, jentera BN mahupun PH mempersiapkan diri menghadapi perang politik pihak lawan.
Katanya, meskipun di atas kertas, kombinasi antara BN dan PH bakal memberikan kemenangan dengan jumlah undi yang besar, namun perkara itu bukan jaminan sebenar.

“Selain pada fakta dan statistik, kita juga harus memenangi hati dan pemikiran rakyat khususnya para pengundi. Dalam keadaan inilah, kita amat berterima kasih kepada kepimpinan rakan-rakan di dalam PH yang telah merealisasikan kesepakatan yang dinamik di negeri Perak ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berharap, isu-isu besar yang melanda negara ketika ini terutama berkaitan tarif timbal balik yang dikenakan Amerika Syarikat (AS), tidak dijadikan modal dalam kempen politik parti pembangkang.
“Jangan jadikan PRK Ayer Kuning ini sebagai tempat untuk melampiaskan rasa amarah. Isu ini adalah isu yang dikenakan kepada kita rakyat Malaysia di seluruh negara tanpa mengira parti politik, agama, latar belakang dan keturunan,” katanya.
DAP wujudkan jawatankuasa khas untuk bantu calon Kerajaan Perpaduan
DAP Perak bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bagi membantu menggerakkan kempen calon Kerajaan Perpaduan.
Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, perkara tersebut diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa DAP negeri yang diadakan dan mengumumkan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How mengetuai jawatankuasa khas tersebut dengan dibantu Exco Kerajaan Negeri Perak, A Sivanesan.

Menurutnya, DAP Perak juga akan menggerakkan seluruh jentera pilihan raya parti itu dengan kesemua 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP telah diberikan tanggungjawab untuk menjaga pusat daerah mengundi (PDM) masing-masing.
“Mereka akan memberi kerjasama penuh kepada jentera BN selaku wakil Kerajaan Perpaduan dalam PRK kali ini. DAP Perak hari ini memutuskan sebulat suara menyokong penuh calon yang akan mewakili kerajaan Perpaduan dalam PRK Ayer Kuning,” katanya dalam satu kenyataan media
Kor Ming berkata, DAP yakin kawasan DUN Ayer Kuning akan terus membangun sekiranya kekal di bawah perhatian dan sokongan kerajaan demi meningkatkan kemudahan prasarana serta kesejahteraan komuniti setempat.
Kurangkan ceramah mega, fokus kempen kecil yang berimpak tinggi
Barisan Nasional (BN) akan menggerakkan jenteranya untuk bertemu seramai mungkin pengundi sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap pengundi mendapat maklumat tepat berkaitan isu semasa serta dasar-dasar parti.
Menurutnya, walaupun jumlah pengundi di DUN itu hanya sekitar 31,000 orang, BN menjangkakan sekitar 75 peratus akan keluar mengundi pada hari pengundian nanti.
“Lepas ini, tugasan kita adalah untuk pastikan jentera bekerja sekuat mungkin bagi menyantuni pengundi. Kita tidak akan fokus kepada ceramah besar-besaran, sebaliknya akan adakan sesi dalam kumpulan kecil yang lebih berkesan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN N48 Ayer Kuning di Pusat Arahan BN Kampung Tersusun Haji Tahir
Mohamad berkata, jentera BN telah disusun dengan teratur melalui pendekatan negeri angkat, di mana setiap negeri dan bahagian dalam negeri Perak mengambil tanggungjawab terhadap satu Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Katanya, BN Perak telah menyusun gerak kerja tersebut dengan baik selain jentera dari negeri-negeri lain juga bertindak sebagai negeri angkat kepada PDM yang telah ditetapkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua komponen BN, rakan-rakan Friends of BN serta parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) atas kerjasama yang diberikan.
Mohamad turut mengingatkan jentera BN agar bersiap sedia menghadapi pelbagai isu yang akan dibawa pembangkang sepanjang kempen berlangsung.
Barisan Nasional mensasarkan sekurang-kurang 18,000 undi
Barisan Nasional (BN) menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya 18,000 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai hasil kerjasama erat antara jentera BN dan Pakatan Harapan (PH), selain sokongan padu daripada rakan strategik di seluruh negara.
Menurutnya, berdasarkan rekod Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kira-kira 75 peratus keluar mengundi di DUN Ayer Kuning dan jumlah pengundi berdaftar seramai 31,897 orang
“Dalam PRU15, calon BN Allahyarham Ishsam Shahruddin memperoleh 9,088 undi, calon PH dari Amanah mendapat 6,875 undi dan calon Perikatan Nasional (PN) pula meraih 6,812 undi. Atas kertas, jika semua undi BN dan PH digabungkan, kita sudah ada asas yang kukuh dengan anggaran 15,000 undi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN N.28 Ayer Kuning di Pusat Arahan BN, Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh