Sekarang tengah kecoh tentang pengharaman game PUBG. Ada seorang mufti kata PUBG ni patut diharamkan sebab boleh dorong pemain ke lembah keganasan. Dah macam lagu, lembah percintaan, Lembah Klang dan terkini lembah keganasan dan kebinasaan.
“Bagi saya permainan seperti ini sudah lama dirancang dalam tempoh yang lama. Tujuannya membentuk generasi muda menyukai aktiviti perang, tempur dan ganas,” – Mufti Negeri Sembilan
Semangat jihad menentang PUBG berlaku apabila seorang pengganas berfahaman Neo-Nazi telah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap masyarakat Islam di New Zealand. Benda ni tak payah kami sembang panjang sebab dah tentulah kalian dah tahu.
Kami terfikir juga, selain daripada PUBG yang dituduh menyebabkan manusia terjun ke lembah kebinasaan dan keganasan – mesti ada lagi game lain yang boleh jadi kambing hitam kalau tak ada pihak kita nak salahkan…
1. Masa pelumba-pelumba Myvi dahulu buat dajal, apasal game kereta tak diharamkan?
Kami tak tahulah budak-budak sekarang ni main game kereta apa. Masa kami muda-muda dulu, game yang paling popular Need for Speed. Ada muka seorang perempuan tu kami tak akan lupa sebab dia akan muncul setiap kali game tu nak dimainkan.
Kadang-kadang siap main LAN lagi kat cybercafe. Sampailah mak bapak datang cari bawa rotan panjang.
Kalau nak diikutkan, kita pernah ada kes geng-geng Myvi yang berangan-angan nak berlakon cerita Fast and Furious lakukan aksi perlumbaaan sehingga menyebabkan kematian.
Tapi masa tu, tak ada pula orang kata – ayuh haramkan permainan video yang bertemakan lumba kereta atau haramkan filem Fast and Furious. Kenapa eh?
2. Permainan paling ganas dan siap boleh buat kereta terbang, GTA
Jangan mengaku anda seorang kaki game kalau tak kenal Carl Johnson. Seorang lelaki berkulit hitam yang selalunya kelihatan dengan singlet putih. Kerja lelaki ni mudah je, lebih-lebih lagi kalau pemain dia guna cheat codes. Macam-macam boleh buat, kereta terbang pun boleh buat. Tak perlu peruntukan satu juta dari kementerian.
Tapi game ni jelas-jelas ganas. Banyak aksi 18sx pulak tu. Antara benda tak berapa ganas kami selalu buat – curi kereta orang. Paling tak boleh blaa semua kereta tak berkunci pulak tu. Benda ni simple. Takkan kita nak haramkan game GTA ni kalau-kalau ada orang buat keganasan macam curi kereta, letupkan helikopter atau lari-lari sekeliling bandar bawak RPG.
Tak pun, takkan game ni nak diharamkan kalau Menteri ambik inspirasi kereta terbang dari game ni?
3. Kalau ada orang berminat nak join IS , boleh tak kita haramkan Counter Strike?
Budak-budak sekarang lepak shopping mall. Dulu setiap kali lepak kami siap sedia untuk perang beb. Macam-macam senjata boleh dibeli dengan hanya menggunakan jari dan jampi serapah. Banyak kali juga kami syahid di medan pertempuran. Untungnya dalam game ni ada banyak nyawa dan boleh tukar-tukar – kejap jadi polis, kejap jadi pengganas.
Paling best dalam game ni kita boleh berkomunikasi dengan kawan. Nampak tak semangat berpasukan diterapkan dalam game ni?
Kalau ikut IS atau mana-mana group militan, game ni kena haramkan jugak ke? Sebabnya dalam game ni memang orang akan belajar macam-macam pasal senjata dan bom. Tapi tak pernah lagi kami dengar cerita orang yang pergi masuk militan sebab pengaruh Counter Strike ni.
Kadang-kadang kita macam ketandusan idea nak salah sesuatu, sampai kita suka hati je salahkan benda yang tak salah
Dan macam jadi kebiasaan untuk kita salahkan orang atau mana-mana pihak dalam satu-satu isu. Lebih-lebih lagi pasukan membawang sekarang dah makin padu. Pantang ada orang buat salah, terus dikecam! Tak salah nak membawang atau menyalahkan pihak yang sepatutnya, tapi janganlah tiba-tiba salahkan orang yang takda kena-mengena, kan gelojoh tu!
[poll id=”12″]