‘Hello Brother’, ini pelajaran yang sepatutnya kita ambil

Kata-kata terakhir orang yang ditembak di masjid di New Zealand terakam di dalam ‘livestream’ adalah ‘Hello Brother’.  Sebagai Muslim, kita tidak terkejut dengan istilah tu sebabnya kita sering diingatkan ayat al Quran bahawa ‘setiap mukmin itu bersaudara’.

Via AbiUmmi

Sebab itu istilah akhi, saudara atau brother (bukan macam istilah Bro Syed Saddiq) sangat biasa dipakai orang Islam seluruh dunia.

Tetapi bagaimana pula hubungan kita dengan orang bukan Islam?

Sejak kebelakangan ni istilah ‘kafir harbi’ dan ‘kafir dhimmi’ muncul kembali. Istilah tu timbul dalam konteks sejarah Islam pada zaman perang, dan banyak perang didorong elemen agama. Selalunya ketika itu bila umat Islam ditawan pemerintah bukan Islam, maka mereka hilang hak mengamalkan agama mereka. Maka golongan kafir dibahagikan kepada kategori harbi (boleh diperangi) dan dhimmi (yang dipelihara).

Tetapi baru-baru ini, antara organisasi Islam terbesar di dunia, Nahdatul Ulama di Indonesia mahu istilah kafir (orang Kelantan panggil kapir dan orang Utara panggil kapiaq) tidak digunakan dalam konteks kewarganegaraan negara bangsa moden.

Kafir! Via Tanwir

Sarjana Mesir, Allahyarham Dr Fathi Osman mengatakan sebenarnya ketika Piagam Madinah (siapa yang tak tidur kelas agama ingat lah) semua warga Madinah sama ada Muslim mahupun Yahudi dan musyrikin adalah warganegara dengan hak dan tanggungjawab yang sama.

Jangan lupa, Saidina Ali pernah menulis surat untuk mentadbir non-muslim

Masa Saidina Ali bin Abi Talib r.a. jadi khalifah, beliau menulis sepucuk surat kepada seorang gabenornya yang ditugaskan di kota yang separuh Muslim dan separuh bukan Muslim 1400 tahun lalu menyatakan:

“Tanamkan dalam hatimu rasa kasih sayang, cinta dan kelembutan budi pekerti pada rakyat. Jangan sampai kamu jadikan dirimu laksana binatang buas yang bersiap memangsa mereka, kerana mereka ada dua jenis: saudaramu dalam agama atau serupa denganmu sesama makhluk…

“Biarlah rasa penyayang dan pemurah anda membela dan membantu mereka sama seperti kamu mahukan Allah menunjukkan kasih saying dan pemurahNya kepada kamu.” (terjemahan Ustaz Wan Ji Wan Hussin, Surat No. 53 Nahjul-Balagha).

Abdul Masih al Antaki – juris, penyajak dan falsafah Kristian dari Beirut yang meninggal pada awal abad ke-20 mengatakan surat ini adalah asas perundangan yang melebihi perundangan yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. dan Hammurabi.

“Ia menjelaskan bagaimana pentadbiran yang bersifat kemanusiaan patut dibentuk dan ia memberi asas kepada dakwaan umat Islam bahawa Islam mahu memperkenalkan pentadbiran yang bertaqwa rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Ia menjelaskan bahawa seorang pemerintah mentadbir bukan untuk memuaskan dirinya tetapi kebahagiaan golongan yang diperintah.”

Setuju! Via Tenor

Dia – yang kita harus ingat beragama Kristian, menjelaskan lagi, “Tiada agama sebelum Islam cuba mencapai matlamat ini.”

Kita harus menolak keganasan atas nama agama

Bila kita melihat semula insiden keganasan yang dibuat konon atas nama kaum dan agama – tidak kiralah ke atas orang Yahudi, Sikh dan Islam oleh golongan pelampau Kulit Putih di Barat; mahupun ke atas orang Yazidi, Syiah dan Kristian oleh pengganas bertopengkan Islam seperti Daesh – kita harus menolaknya.

Jangan kita terperangkap dalam permainan yang diinginkan oleh kedua-dua puak pelampau ini – menghukum orang awam yang tidak bersalah dalam keghairahan kita membalas dendam.

Via Alaraby

Sebagai Muslim, kita ada asas jelas dalam agama kita tentang bagaimana kita melihat manusia secara keseluruhannya sebagai ciptaan Allah. Sebab itu kita sering diingatkan, Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan sebagai ‘rahmatan lil-alamin’ atau rahmat kepada sekalian alam – bukan manusia sahaja tetapi kepada seluruh makhluk ciptaan Tuhan.

Yang menariknya, ada dalam kalangan orang Melayu Islam yang tegas menolak Ketuanan Kulit Putih di Barat, tetapi di Malaysia bercakap tentang Ketuanan Melayu-Islam.

Cuba fikir – bukankah ini cerminan ideologi sama?

Ini bukan bermakna Islam bersifat ‘pasifis’ yang naif – menolak semua bentuk perang termasuk mempertahankan diri. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri pernah mempertahankan kota Madinah dari Quraisy.

Islam tetap dengan prinsip jelas dan akhlak yang mulia

Islam bersandarkan prinsip jelas sebagaimana digambarkan kehebatan akhlak Salahuddin al Ayubbi membebaskan Baitul Muqaddis sewaktu Perang Salib atau kehebatan Amir Abdul Qadir al Jazairi menentang tentera Perancis dan kemudian melindungi penduduk Kristian.

Dulu, pejuang kulit hitam Amerika Malcolm X (al Hajj Malik Shabazz) pernah melihat penyelesaian kepada kesengsaraan kulit hitam adalah Ketuanan Kulit Hitam. Tetapi apabila beliau memeluk Islam, Malcolm X menunaikan haji dan di dalam suratnya kepada rakyat Amerika menceritakan bagaimana sekiranya Amerika menerima keesahan Tuhan, mereka wajib menerima manusia sebenarnya satu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *