Mahasiswa lapar sebab manja? Ini sebabnya mahasiswa ada masalah kewangan

Mahasiswa lapar sebab manja? Ini sebabnya mahasiswa ada masalah kewangan

Asal lapar je mahasiswa, asal mahasiswa je lapar. Dekat Malaysia ni, rasa macam dah sinonim dua perkara ni. Isu mahasiswa tak cukup makan ni diungkit lagi sebab ada kajian pasal pelajar kelaparan. Setiap kali berbangkit isu ni, masyarakat akan bergaduh. Ada dua jenis puak; yang rasa mahasiswa manja dan yang rasa kesian.

Kerajaan dah umum lulus peruntukkan khas sebanyak RM3 juta untuk program Food Bank yang akan edarkan makanan kepada B40 dan 20 universiti awam. Walaupun sebarang peruntukkan untuk kurangkan beban pelajar dan orang miskin dialu-alukan, tapi kami rasa ini hanyalah langkah reactionary yang pada jangka masa panjang tak memberi apa-apa kesan.

Via BH

Kalau semester ni bagi RM3 juta,  semester depan macam mana? Selagi tak keluar berita tak ada lah peruntukan tambahan ye dak?

Kami di ORANGKATA pernah jadi mahasiswa, dan taklah kaya raya, jadi kami cuba memahami isu ni dengan lebih mendalam.

Mahasiswa manja? Tapi bukan semua orang merungut ke harga barang mahal

Macam kami cakap tadi, isu mahasiswa lapar ni bukan pertama kali dibangkitkan. Dulu Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM) pernah buat survey melibatkan lebih 25,632 pelajar seluruh Malaysia, dan hasil dapatan survey tu kata 74% (atau 18,675) pelajar tak cukup makan. Malah pernah terjadi sekali pada tahun 2016 seorang pelajar UKM terkoyak usus sebab ikat perut.

Related image
Nangis bila pelajar lapar? Zaman dia pun ada, lepas tu dia siap potong peruntukan Via. Gyfcat

Bagi yang rasa mahasiswa ni manja perlu tengok isu ni dalam konteks zaman sekarang. Rungutan hidup susah dengan kadar kos kehidupan tinggi bukan hanya beri kesan kepada orang dah bekerja. Kalau golongan pertengahan pun selalu merungut, apa tah lagi pelajar.

Pelajar diminta bekerja, buat bisnes, drive Grab dan sebagainya untuk survive, tapi pada masa yang sama mereka perlu hidup sebagai pelajar. Kehidupan sebagai pelajar pun bukannya mudah dengan kelas, assignment, study, exam. Bagi yang boleh bahagikan masa untuk semua ni dan bekerja, kami salute anda. Tapi ini tak bermakna mereka yang tak boleh tu patut diherdik.

Bila kau habis duit di kampus. Via Tenor

Orang yang memang dah bekerja pun masih struggle apatah lagi pelajar. Setiap orang ada permasalahan dan limitasi sendiri, sama ada hal keluarga, masa, pembelajaran dan sebagainya.

Tapi kalau dah belasan ribu pelajar kelaparan setiap tahun, itu bukan manja, itu epidemik sosial!

Tahu tak kos menyambung pelajaran di Malaysia antara tertinggi di dunia?

Menurut Expert Market, sebuah firma kajian di London, kos untuk menyambung pelajaran di Malaysia ke-5 tertinggi antara 40 negara di dunia.

Walaupun yuran masih pada kadar yang okay, tapi bila ambil kira gaji purata sekitar RM2,000 sebulan, ibu bapa terpaksa mengeluarkan lebih 50% wang gaji untuk menyara pendidikan seorang anak. Itu baru seorang.

Maknanya ibu bapa juga dah susah nak membayar yuran seorang anak, jadi anak memang tak boleh sepenuhnya harapkan bantuan ibu bapa untuk menyara diri. Dengan kos kehidupan meningkat, gaji mendatar, ada yang kena buang kerja dan sebagainya, kesian juga ya.

Image result for poor gif
Via. Giphy

Itu yang sampai berlaku kes-kes pelajar ni pula terpaksa bagi wang saku PTPTN, biasiswa, zakat  dan sebagainya dekat keluarga masing-masing sebab nak tolong mak ayah dan adik beradik lain. Kita kena ingat, Malaysia ni bukan semua orang kaya dan berduit.

Masalah mula sebab PTPTN? Tapi ramai yang tak sedar lagi

Kami perhati isu pendidikan Malaysia ni mula bermasalah semasa pendidikan sendiri didagangkan macam bisnes. Masa Najib Razak Menteri Pendidikan dan Mahathir masih Perdana Menteri BN (tahun 1996), ada dua akta diperkenal iaitu Akta Institusi Pendidikan Tinggi 1996 dan Akta Pendidikan 1996.

Masa zaman tu pun mahasiswa dah protes sebab takut pendidikan jadi industri berasaskan bisnes dan keuntungan bila terbuka pada swasta. Lepas tu tahun 1997 PTPTN ditubuhkan untuk tampung pembiayaan pendidikan tinggi yang mula melambung dengan penglibatan pihak swasta melalui IPTS.

Image result for najib gif
Eh dia lagi Via. Tenor

Memang PTPTN ni bagi peluang pelajar yang dulu tak ada duit untuk sambung pelajaran, tapi kolej ambil kesempatan sebab proses kelulusan longgar. Tumbuhlah kolej-kolej IPTS macam cendawan kat shoplot apa semua (sekarang ada lebih 500 kolej swasta) dan kebanyakannya buat untung guna PTPTN ni – kebergantungan sebanyak 70% pendapatan menurut Penang Institute.

Pada tahun 2015, wang yang diagihkan ke IPTS (RM2.5 billion) hampir sekali ganda banding wang yang disalurkan ke IPTA (RM1.7 billion).

Masalah sama di Amerika Syarikat, bukan di Malaysia je ye…

Sebenarnya isu pinjaman pendidikan ni dah berlaku di negara lain. Di Amerika Syarikat bermula tahun 1985 hingga 2016 berlaku peningkatan 6 kali ganda yuran pendidikan. Tambahan pula kerajaan potong dana per kapita pelajar. Untuk tampung kekurangan, kerajaan AS memperkenalkan geran dan pinjaman pelajaran (macam PTPTN).

Bila jadi macam tu, kemasukan pelajar ke institusi pengajian bermotif keuntungan meningkat 225% dan 86% keuntungan institusi ni bergantung pada geran dan pinjaman.

Image result for student debt in america
Via. Politifacts

Akibatnya sekarang AS juga mengalami krisis pembiayaan pendidikan ni dan rata-rata pelajar berhutang ratusan ribu dollar dan terpaksa menanggung sampai lewat alam pekerjaan.

Pendidikan percuma macam menarik je

Jelas isu ni perlukan solusi yang menyeluruh, dan Pakatan Harapan dulu macam idea menarik dengan janji pendidikan percuma. Malangnya, kerajaan ni pun tak ada kesungguhan sama je macam kerajaan BN dulu.

Kalau ikut contoh negara lain macam Norway, Sweden, Jerman, pendidikan percuma sebenarnya menggalakkan mobiliti sosial yang lebih menyeluruh. Sekarang dengan isu kos sara hidup dan PTPTN, pelajar miskin lebih terkesan. Tak semua orang layak pergi universiti, tapi kekangan kewangan tak patut jadi halangan atau bebanan masa depan. Pendidikan percuma boleh memberi akses kepada setiap warganegara yang tak perlu risau dibebankan hutang untuk ke universiti.

Kita boleh tengok kesan negara lain yang praktikkan pendidikan tinggi percuma ni banding negara yang tak ada pendidikan percuma. Lagi senang anak-anak dapat pendidikan tinggi kalau mak ayah pun ada pendidikan tinggi.

The Education at a Glance report 2014

Peningkatan bebanan hutang hanya akan menyebabkan kesenjangan sosial lebih tinggi. Kalau orang miskin nak keluar dari kitaran kemiskinan, pendidikan pun main peranan penting. Kalau bukan untuk dia, untuk anak-anak. Selagi ada beban kos sara hidup, hutang dan sebagainya, makin susah nak keluar dari tampuk kemiskinan tu.

Jadi setiap tahun kita akan terus dengar isu mahasiswa lapar ni sebab kerajaan masih tak nak ambil langkah yang lebih berani. Lagi pening kepala bila langsung tolak perancangan pendidikan percuma yang pernah dijanjikan, dolak dalik isu PTPTN, sekejap blacklist sekejap tak, lepas tu letakkan kadar bayaran balik pelik-pelik.

Isu mahasiswa lapar ni lebih besar dari pelajar tak cukup makan je, ia mencerminkan kehidupan sosial masyarakat yang makin susah. Jadi silalah buat Food Bank, tapi masa yang sama fikir dasar yang lebih menyeluruh.

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top