Teringin nak kerja sebagai freelancer? Ini undang-undang yang korang kena tahu

Teringin nak kerja sebagai freelancer? Ini undang-undang yang korang kena tahu

Korang mesti kenal saudara mara atau kawan-kawan yang dah kerja jadi pemandu e-hailing macam Grab, MyCar kan? Ada yang dah sanggup nak berhenti kerja hanya sebab jadi pemandu Grab ni lebih fleksibel dan hasilnya juga dikatakan lumayan. Ye lah, ada yang mampu capai RM2,000 seminggu!

Kredit: Tenor

Benda ni tak jadi suatu yang pelik lagi zaman sekarang. Kalau sebelum ni, ramai bercita-cita nak jadi doktor, jururawat, jurutera, akauntan… sekarang ni pula, dah ramai yang berkecimpung dalam industri media dalam talian. Persekutuan Majikan-Majikan (MEF) kata, jumlah orang yang terlibat dalam ekonomi gig ni dah meningkat sebanyak 123.68% berbanding 9 tahun lalu. Jobstreet Malaysia pun setuju pasal pertambahan keterlibatan belia dalam ekonomi gig ni.

Eh, gig… macam band nak menyanyi tu ke?

Memetik Online Etymology Dictionary, ‘gig’ ni biasanya terpakai dalam kalangan ahli muzik jazz yang bermaksud ‘kerja’ atau ‘pertunjukan’. Biasanya artis-artis pun guna istilah ni kan? Haa, sekarang ni tak lagi. Ekonomi gig ni dikatakan naik ketika krisis ekonomi 2008-2009 yang melanda Amerika Syarikat dan Malaysia juga terkena tempiasnya.

Afizan Amer pada 2018 menulis pengamatannya terhadap konsep ekonomi gig ni sebagai “model ekonomi yang memerlukan pekerja dan peniaga menggunakan sistem kontrak atau projek untuk aktiviti perniagaan mereka.” Jelasnya lagi, biasanya sesuatu kerja yang dilaksanakan oleh “sekumpulan individu yang mempunyai pekerjaan sementara atau fleksibel dalam talian mahupun perniagaan, pemandu Grab atau Uber, kontraktor bebas serta freelance (separuh masa).”

Dengan kata yang lebih mudah, ekonomi gig ni adalah salah satu sektor ekonomi yang memberikan ruang dan peluang buat sesiapa sahaja untuk jana pendapatan dengan buat tugasan dengan syarat yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Bahagian ni, kami setuju.

Baik buruk berkecimpung dalam ekonomi gig ni. Kredit imej: Tutor2u

Tapi pengamatan Afizan ni kami amati semula. Betul ke orang yang terlibat dalam ekonomi gig ni dah dikira sebagai pekerja?

Hmm… bukan ade bos tu ertinya kita ni pekerja ke?

Tak ramai yang tahu bahawa hak para pekerja ni dilindungi oleh Akta Kerja 1955 dan Ordinan Buruh untuk Sabah dan Sarawak. Sebab tulah, para pekerja ni boleh je nak mogok ke, nak buat kesatuan sekerja ke… sebab dah diperuntukkan hak tu kepada mereka. Tapi sebelum nak tuntut hak kebajikan, kita kena tahu dulu tafsiran kontrak dalam Akta Kerja 1955.

Dalam Akta Kerja, ada dua jenis kontrak. Kredit imej: Google Image

Asklegal.my kata, kontrak perkhidmatan ni dah memang jelas bahawa hubungan bos sebagai majikan dan korang sebagai pekerja tu sah. Jadi korang boleh tuntut hak korang sebagai pekerja terutamanya bila korang dah ada kontrak yang dipersetujui bersama.

Tapi jenis kontrak kedua ni iaitu kontrak untuk perkhidmatan, tak sama dengan kontrak perkhidmatan. Ertinya, korang bukan pekerja di bawah tanggungjawab bos sebagai majikan korang. Kebanyakan kedudukan pekerja separuh masa (freelancer) di bawah jenis kontrak ni. Sebab tu kalau ada masalah, kebanyakan freelancers tak boleh tuntut hak sebagai pekerja.

Kredit imej: northjersey.com

Di California, pemandu Grab dan Lyft dah boleh dikategorikan sebagai ‘pekerja’. Manakala di negara kita pula, status pemandu e-hailing tak jelas sangat sama ada mereka ni pekerja di bawah tanggungjawab syarikat atau pekerja yang dibayar perkhidmatannya oleh syarikat. Kalau tengok kenyataan Perkeso pula, rupanya pemandu e-hailing ni diletakkan sebagai ‘bekerja sendiri’ di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri.

 

Ada tiga perkara yang korang kena ambik kira bila nak kerja di bawah ekonomi gig

Era ekonomi gig ni dahpun mudahkan sesiapa saja untuk cari duit lebih, nak tampung kos hidup dan lain-lain. Jadi kalau nak teruskan buat kerja di bawah ekonomi gig sebagai sumber pendapatan, ada tiga perkara yang korang kena pastikan.

  1. Halal dan sah di sisi undang-undang

Ni kena jadi perkara pertama untuk korang tentukan sama ada sesuatu tugasan atau pekerjaan ni baik. Barulah rezeki jadi berkat. Jangan lupa pastikan pekerjaan korang ni memang sah di sisi undang-undang.

  1. Ada maklumat yang sahih berkaitan dengan sifat, bentuk dan risiko sesuatu pekerjaan

Sebab utama perkara ni adalah supaya korang tak kena tipu dek janji manis untung berlipat ganda, kadar upah yang tidak masuk akal dan tawaran tugasan yang kabur. Dahlah rugi masa dan tenaga, kena tipu pula.

Peluang kerja dari rumah macam masukkan data entri dan masukkan risalah dalam sampul. Waspada, kalau nampak terlalu mudah! Kredit imej: sebenarnya.my

Dalam siasatan Ross Stephenson dan Vulcanpost, terdapat unsur mencurigakan dalam beberapa iklan sebegini. Lagi-lagi apabila mereka terdahulu meminta duit pendaftaran sebelum memulakan apa-apa urusan dengan korang. Ia kemungkinan besar adalah bentuk penipuan dalam talian.

  1. Ada kontrak yang jelas, terma dan syarat yang dipersetujui oleh kedua belah pihak

Walaupun Akta Kerja dah pisahkan jenis kontrak, korang masih ada peluang untuk tuntut hak korang dalam Akta Kerja sekiranya kontrak korang boleh mengesahkan korang ni sebenarnya pekerja di bawah tanggungjawab bos (majikan) korang.

Salah satunya adalah terma dan syarat yang boleh buktikan korang ni tak sepenuhnya bebas dari kawalan bos. Ertinya, sesuatu kerja tu kena ikut cita rasa dan jalan kerja yang dimahukan oleh bos.

Kalau boleh, kena pastikan korang ada salinan kontrak kerja sebagai rujukan masa depan! Kredit imej: Finansialku.com

Jadi, dah sedia lompat ke dalam ekonomi gig? Kalau korang dah memang terlibat dalam ekonomi gig ni, cepat-cepat pastikan yang korang ni ada kontrak yang jelas tunjukkan yang korang ni kena lindungi oleh Akta Kerja. Kongsikan ilmu ni pada kengkawan korang yang baru nak terfikir buat kerja sambilan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print