Masalah kos sara hidup semakin memuncak, harga rumah naik menggila

11
Masalah kos sara hidup semakin memuncak, harga rumah naik menggila

Dah lebih setahun kita mengubah Kerajaan. Tapi isu kos sara hidup merupakan satu masalah besar rakyat masih tak hilang-hilang. Salah kerajaan baru ke? Pakar ekonomi berpendapat yang isu ni tak dapat diselesaikan lagi sebab pertumbuhan pendapatan yang tak selari dengan kenaikan harga barang, ringgit yang lemah dan perubahan gaya hidup. Akhbar The Edge meneliti faktor-faktor yang menyumbang kepada isu kos sara hidup ni. Ini antara faktor yang sebabkan benda tu berlaku…

1. Ringgit yang lemah, sebabkan kuasa beli semakin menurun

Menurut Dr Yeah Kim Leng, profesor Ekonomi kat Sunway University Business School, nilai ringgit berbanding dolar AS yang kini berada di sekitar 4.13 telah jatuh daripada nilai 3.80 semasa Bank Negara Malaysia melaksanakan apungan terurus untuk kadar penukaran ringgit pada Julai 2005.

Via Berita Harian

Indeks berwajaran perdagangan ringgit juga telah menyusut sebanyak 12% ke 13% berbanding paras pada tahun 2010. Benda ni menunjukkan bagaimana kuasa beli semakin menurun atau harga barang import semakin meningkat, benda ni menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup isi rumah purata.

2. Kemampuan pemilikan rumah, harga naik sampai 91% weh…

Harga rumah yang melambung memang beri impak yang besar kepada rakyat Malaysia, lagi-lagi anak muda yang baru nak beli rumah pertama. Berdasarkan Indeks Harga Rumah Malaysia, harga purata sebuah rumah teres, iaitu RM191,055 pada suku ketiga tahun 2010 bernilai RM360,262 pada suku ketiga tahun 2017:  kenaikan sebanyak 88% dalam jangka masa hanya 7 tahun.

Via Utusan

Sementara tu, harga purata sebuah unit bertingkat telah naik sebanyak 91% kepada RM334,821. Memang takdelah rumah mampu milik untuk fresh grad atau pengantin baru.

3. Isu pendapatan, ada jurang yang tinggi dalam kalangan masyarakat

Pertumbuhan gaji bergerak secara perlahan, tambah lagi dengan gaji yang sangat rendah, memanglah rakyat Malaysia sengsara nak tanggung kos sara hidup yang semakin meningkat. Dengan gaji minima yang ditetapkan sebanyak RM1,100, rakyat kita masih tak mampu nak beli barang keperluan asas, apatah lagi nak berbelanja selain daripada itu.

Via Blindspot

Walaupun gaji minima berada di paras RM1,100 sebulan, gaji median bandar bulanan adalah sebanyak RM2,260 pada tahun 2017. Tambahan pula, gaji bagi bidang profesional dan berkemahiran tinggi meningkat lebih cepat berbanding dengan bidang berkemahiran sederhana dan rendah. Perkara ini terus mewujudkan jurang pendapatan yang lebih besar dalam kalangan masyarakat.

4. Kenaikan harga makanan turut sebabkan kenaikan kos sara hidup

29.5% Indeks Harga Pengguna terdiri daripada kos makanan sahaja. Oleh itu, sebarang kenaikan dalam kadar inflasi seringkali disebabkan oleh harga makanan, lantas mewujudkan kenaikan dalam kos sara hidup. Kos import makanan telah meningkat daripada RM4.6 bilion  pada tahun 1990 kepada RM45.39 bilion pada tahun 2015.

5. Bakul barangan Indeks Harga Pengguna yang tidak mencerminkan realiti

Kadar inflasi di Malaysia, yang berada pada 1% tahun lepas, diukur menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP). Namun begitu, apa yang dicerminkan oleh Indeks Harga Pengguna ni tak berapa tepat dengan realiti yang dihadapi pengguna.

Via Nombor Indeks

Apa yang tidak dicerminkan oleh IHP ni adalah kecenderungan pengguna untuk mengganti barangan kepada barangan yang lain mengikut trend harga. Bakul barangan ini setiap 5 tahun baru update, jadi susah lah kita nak ukur pun sebab dalam masa 5 tahun tu, macam-macam boleh berubah.

6. Keperluan? Atau Kemahuan?

Apa yang juga memainkan peranan dalam kos sara hidup adalah tak lain tak bukan, gaya hidup yang dipilih oleh seseorang individu. Ramai je antara kita yang memilih gaya hidup luar daripada kemampuan, tu lah yang jadi berhutang.

Kos sara hidup tak sama dengan kos gaya hidup ya! Kos gaya hidup ni contohnya kita nak bergaya guna iPhone, BMW, dan sewaktu dengannya. Ada juga antara rakyat Malaysia yang pejam celik pejam celik dah pergi bercuti lagi.

Fikir dengan bijak ye. Via Giphy

Ya, kami kat ORANGKATA faham yang ramai anak-anak muda beraspirasi tinggi, nak hidup mewah. Itulah yang seringkali kita lihat keperluan dan kemahuan bertindih dan tak dapat diasingkan. Perkara inilah yang mempengaruhi kos sara hidup. Yang susahnya bila diisytiharkan bankrap. Itulah lebih daripada 50% pengguna khidmat program pengurusan hutang yang dianjurkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (APKK) terdiri daripada golongan bawah 40 tahun.

Via Giphy

Setakat 31 Disember tahun lepas, seramai 246,041 orang telah mendaftarkan diri dalam program tersebut. Statistik daripada Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan seramai 64,632 rakyat Malaysia dalam lingkungan umur 18 hingga 44 tahun telah diisytiharkan bankrap dalam lima tahun yang lepas.

Dalam isu kos sara hidup ni, bukan semuanya salah kerajaan…

Bantuan sara hidup yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM2.62 bilion pada tahun ini tak boleh dilihat sebagai solusi jangka masa panjang. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui bahawa nilai ringgit memainkan peranan besar dalam menentukan kos sara hidup.

Via Utusan

Dia mengulas bahawa satu cara untuk mengurangkan impak pergerakan nilai ringgit adalah untuk mengurangkan pergantungan terhadap barangan dan perkhidmatan diimport. Kerajaan, melalui kementerian tu, telahpun ambil langkah untuk mengekang isu ini dengan mempromosikan usahawan tempatan dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk membeli barangan dan perkhidmatan tempatan. Antara langkah yang diambil adalah untuk menjual lebih barangan tempatan di pasar raya.

Di samping itu, inisiatif Food Bank juga diperkenalkan pada bulan Ogos tahun lepas, – lebihan barangan makanan disalurkan daripada pasar raya, restoran, pengeluar dan hotel kepada keluarga yang memerlukan. Selain tu, kerajaan juga berusaha untuk membangunkan indeks baru yang mencerminkan bacaan harga barang dan kos sara hidup yang lebih tepat. 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top