Kempen #PotongGajiMenteri sohor kini, ramai rasa kerajaan masih gagal tangani kesan inflasi

pasar twitter
Kempen #PotongGajiMenteri sohor kini, ramai rasa kerajaan masih gagal tangani kesan inflasi

Media sosial boleh dikatakan sebagai ruang jendela untuk mendengar keluh-kesah rakyat. Seminggu selepas berkuatkuasanya harga baharu untuk makanan asas seperti ayam, telur dan minyak masak… ramai jugak yang dilihat kecewa dan mulai merasakan tekanan ekonomi. Bukan tu je, hal-hal lain seperti kadar OPR yang semakin tinggi jugak menyumbang kepada hal tu.

Susulan tindakan kerajaan naikkan harga tu, PM Ismail Sabri memperkenalkan pasukan khas untuk kawal kenaikan harga dan nak kurangkan kesan inflasi. Walau bagaimanapun, rata-rata rakyat masih tak rasa keberkesanan mahupun fungsi pasukan tu. Dah tu, ada beberapa pegawai tinggi kerajaan yang kemukakan cadangan ‘tak berapa cerdik’…

minyak masak
Via Malakat Tribune

#PotongGajiMenteri sohor kini di media sosial, gaji sorang menteri dah boleh beli 3,300 botol minyak masak 5kg

Akibat kesan inflasi yang semakin menekan rakyat, ramai yang luahkan rasa gusar tentang kos sara hidup selepas pandemik. Pada waktu inilah, polisi kerajaan perlu diselaraskan agar dapat menampung tekanan ekonomi yang ‘terpendam’ dari pandemik dan faktor luaran lain. Isu bekalan ayam misalnya, pernah jadi bualan ramai suatu masa lalu. Ada yang memikirkan bahawa ia punca utama kenapa harga ayam dah naik. Bila dah naik, bekalan ayam pulak yang dikatakan terlebih – membawa kesimpulan bahawa boleh jadi wujudnya tangan kartel ayam di belakang tabir.

Fahmi Reza, aktivis dan pereka grafik muat naik karikatur berkenaan perbandingan gaji Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dengan jumlah minyak masak yang boleh dibeli. Merujuk pada portal perisytiharan harta SPRM 2020, pendapatan Saravanan mencecah RM143,628.55 sebulan. Kalau dibundarkan ke RM140,000… Saravanan boleh beli 3,300 botol minyak masak 5 kg.

pendapatanbulanan saravanan
Via Malaysia Dateline

Hantaran Fahmi tu kemudiannya mengundang reaksi warganet yang berang dan kecewa terhadap para menteri. Tanda pagar tu kemudiannya lebih ramai digunakan sebagai ruang untuk meluahkan rasa tak puas hati diorang terhadap polisi dan tindakan kerajaan ketika ni. Kalau nak ditelusuri dari mana datangnya tanda pagar ni, kita wajar sebut gerakan mahasiswa pada akhir bulan Jun lalu.

Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, Timbalan Menteri Perpaduan Negara dalam satu sidang media dilaporkan setuju dengan tuntutan 20 gerakan mahasiswa yang desak gaji menteri dan timbalannya dipotong. Malah, Wan Ahmad Fayshal jugak berpandangan gaji pengerusi dan lembaga pengarah syarikat GLC serta badan berkanun jugak wajar dipotong supaya membolehkan adanya saluran peruntukan kepada usaha bantu rakyat berdepan isu kenaikan kos sara hidup.

“Saya setuju jika Kabinet memutuskan untuk memotong gaji saya serta menteri menteri dan timbalan menteri yang lain. Bukan kami saja, malah penotongan gaji juga perlu membabitkan pengerusi GLC dan badan berkanun untuk berkongsi keperitan rakyat. Demi rakyat kita sanggup. Kadar potongan gaji juga terpulang, sama ada 10 atau 20 peratus,”- Wan Ahmad Fayshal, seperti yang dilaporkan Berita Harian

Selain tu, elaun yang bukan keutamaan kepada menteri dan timbalannya pun patut dipotong seperti elaun luar negara. Bagaimanapun, awal-awal lagi Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid tolak idea tu. Mengulas kenyataan bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz; Mahdzir kata nak potong gaji menteri tetap tak selesaikan isu kos sara hidup. Kerajaan pun dah banyak laksanakan usaha-usaha termasuklah melibatkan anggota Kabinet dan para menteri khususnya yang terlibat langsung dengan ekonomi dan harga barang.

“Mereka ini akan duduk mesyuarat seminggu dua kali bagi membincangkan hal yang berbangkit dan memberi jalan penyelesaian seperti yang diumumkan Perdana Menteri mengenai tiada kenaikan tarif elektrik dan harga pasaran ayam  tidak akan diapungkan.

Sehingga kini pun kerajaan masih beri subsidi petrol RON95 kepada rakyat dengan harga RM2.05 seliter. Ini antara langkah dan keputusan yang diambil kerajaan agar tidak membebankan rakyat,”- Mahadzir Khalid, seperti yang dilaporkan Utusan

Ada cadangkan kurangkan makan telur sebagai langkah jimat, warganet balas semula “kurangkan hidup”

Di sebalik langkah kerajaan yang mansuhkan subsidi dan tetapkan harga siling yang lebih tinggi untuk ayam dan telur; ada jugak usaha murni wakil jabatan kerajaan yang cuba beri saranan kepada rakyat. Malangnya, saranan-saranan ni macam tak seberapa kena di hati kebanyakan. Ditambah lagi, kadangkala saranan dan penjelasan diorang pun tak kena pada tempatnya.

Salah satu saranan tersebut tular dalam alam maya. Asalnya dari sebuah video yang boleh dicapai di Youtube Melaka TV, kata-kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar mengundang reaksi negatif di media sosial.

Dia sarankan orang ramai khususnya rakyat Melaka agar kurangkan pengambilan telur berikutan harga baharu tu. Ujarnya lagi, rakyat perlu faham situasi kenaikan harga barang akibat inflasi di seluruh negara ni.

“Kita sebagai pengguna kalau dah tahu kenaikan harga telur tu tinggi, kalau boleh kita kurangkan sikit makan telur. Kalau satu minggu kita makan lebih kurang 20 biji, kita kurangkan jadi 10 atau 15 biji. Tak ada masalah. Itu adalah cara gaya hidup kita..

“Sekarang ini kerajaan memutuskan untuk bagi lagi pelbagai subsidi untuk bagi kita tak terbeban dengan inflasi tapi kita mohon sangat dengan rakyat terutama rakyat Melaka supaya faham, kita sekarang dalam inflasi yang tinggi. Bukan Malaysia sahaja alami tekanan barangan naik, bahkan satu dunia. Ini bukan isu baru,”- seperti yang dilaporkan Mstar

telurayam1
Via Berita Harian

Kenyataan tersebut pulak disifatkan oleh sesetengah warganet sebagai suatu kenyataan yang tak sensitif, dangkal dan dilihat tak selesaikan masalah yang dihadapi rakyat. Telur jugak disifatkan sebahagian dari menu harian keluarga berpendapatan rendah. Ada jugak dalam kenyataan lain berkenaan ayam, yang mana nada sama turut kedengaran: asal harga makanan naik, jawapan kerajaan mesti nak suruh kurangkan makan makanan tersebut.

“Harga telur naik, mereka suruh kita kurangkan makan telur. Harga ayam naik, kita disuruh jangan makan ayam untuk sebulan. Sepatutnya, kena #kuranggajimenteri, hapuskan rasuah dan kurangkan jumlah menteri dalam kabinet kita”- Kenyataan dari seorang warganet Twitter, seperti yang dilaporkan NST

‘Menyahut’ gaya kenyataan wakil kerajaan yang kerapkali nak suruh “kurangkan” sebagai cara terbaik untuk ringankan masalah rakyat, ada jugak warganet balas semula kenyataan tersebut dengan gurauan tajam dan sinis. Sorang pengguna Twitter berciap;

“Kos sara hidup tinggi? Kurangkan hidup. Cuba hidup 3-4 hari je seminggu”- seperti yang dipetik NST

twitter telurmahal
Via NST

Nampak lucu… tapi ada benarnya jugaklah. Kenyataan bernada macam ni memang tak manis dan sedap untuk didengari orang ramai, lagi-lagi apabila ia datang dari wakil kerajaan atau autoriti yang diharapkan dapat bantu rakyat. Reaksi masyarakat sebenarnya perlu didengari dan diperhalusi agar kita faham bagaimana nak seimbangkan isu-isu ekonomi untuk kepentingan negara dan kepentingan rakyat. Main cakap lepas bukanlah solusi yang baik, dan penelitian berterusan harus dibuat bagi mengurangkan kesan inflasi kepada rakyat ketika ni.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top