Banjir Baling dikatakan bukan kerana pembalakan, aktivis beri amaran cabar kerajaan negeri

banjirbaling f1
Banjir Baling dikatakan bukan kerana pembalakan, aktivis beri amaran cabar kerajaan negeri

Baru-baru ni, penduduk negeri Kedah diuji dengan dugaan kejadian kepala air dan banjir kilat di Baling. Dua kampung di kawasan tersebut teruk terjejas, sehingga ada yang terkorban harta dan nyawa. Sejak 4 Julai, hujan lebat menimpa sampai air sungai terdekat melimpah. Usaha menyelamat giat dijalankan oleh pelbagai pihak, dan tak kurang jugak banyak yang turut mengecam kerajaan negeri.

Beberapa pihak khususnya kumpulan aktivis dan peguam alam sekitar mendakwa kejadian banjir ni ada kena mengena dengan aktiviti pemusnahan besar-besaran hutan. Dikatakan, banyak hutan dah dimusnahkan dan digantikan dengan aktiviti penanaman durian. Jabatan Perhutanan pulak nafikan kewujudan pembalakan, siap sahkan pembangunan hutan di kawasan tersebut memang diluluskan oleh kerajaan negeri. Kami ringkaskan ceritanya…

banjir baling yan
Via Harakahdaily

Kedai dan rumah hancur sekelip mata, mayat wanita hamil dan ibu mentua berpelukan ditemui

Banjir yang berlaku di Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas benar-benar menyayat hati kami. Namun bak kata peribahasa Melayu, berat mata memandang… berat lagi bahu memikul. Sorang pengusaha kedai kek yang ditemubual FMT berkongsi detik akhir sebelum kedai keknya ranap sekelip mata. Katanya, kejadian berlaku sangat pantas sehingga terpaksa meninggalkan barangan serta peralatan lain.

“Masa tengok kedai tempat kita cari rezeki habis terbenam, memang perasaan ketika itu susah nak gambarkan, memang sedih sangat. Tak sampai 10 minit, air dah naik sampai paras dada. Selepas gelombang pertama banjir, gelombang kedua tiba dalam masa tak sampai lima minit, waktu (itu) nampak dah kayu-kayan, balak turun.” – Nur Halimah Kuin, seperti yang dilaporkan FMT

banjir baling kedai 060722 2 768x480
Keadaan kedai kek tersebut.. -Via FMT

Keadaan menjadi lebih genting apabila ibu dan sorang pekerjanya hampir terperangkap di dalam kedai akibat barangan dan peralatan yang dah halang laluan keluar.

“Masa itu, mak saya datang nak tolong. Kami yang lain sempat keluar, tinggal mak dengan seorang pekerja masih ada di dalam (kedai), dengan peti ais menghalang (laluan keluar). Saya cepat-cepat minta tolong orang ramai, mujur mereka sempat diselamatkan tak lama sebelum kedai hanyut,”- seperti yang dilaporkan FMT

Katanya, ini kali pertama banjir seteruk ni berlaku di kampung Iboi. Dalam kampung yang sama jugak, sorang lagi peniaga rugi lebih RM50,000 kerana barangan dan peralatan di kedai runcitnya rosak. Ada jugak antaranya dihanyutkan banjir, sementara rumahnya turut dimasuki balak.

banjir baling selut 060722 768x480
Banjir tersebut membawa selut dan lumpur tebal.. -Via FMT

Bukan tu je, dia cuba nak alihkan kereta miliknya dan keluarganya ke tempat selamat sambil menggendong anaknya. Paras air naik dengan cepat sehingga nak alih kereta pun dah tak dapat. Kalut-kalut nak selamatkan yang lain, dia bertambah cemas apabila ibunya masih berada di rumah ketika air naik. Nasib baiklah dia dimaklumkan ibunya selamat setelah dibantu orang ramai.

Ada jugak tak sempat nak selamatkan diri. Jasad wanita hamil dan ibu mentuanya dihanyutkan arus kepala air ditemukan sedang berpelukan kira-kira 100 meter dari lokasi rumah diorang yang dah runtuh. Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat percaya bongkah kayu yang dihanyutkan arus deras hempap rumah mangsa.

“Mangsa dipercayai hanyut sebelum tersangkut pada kayu dan batu menyebabkan terperangkap di bawah timbunan kayu. Pasukan penyelamat ternampak kaki mangsa dan berjaya mengeluarkan mangsa pertama, diikuti mayat kedua,”- Sayani Saidon, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, seperti yang dilaporkan Berita Harian

Pasukan bomba jugak mencari remaja lelaki berusia 14 tahun, Khairul Ikhwan Nor Azman. Kira-kira 11.55 pagi pada 5 Julai tu, barulah mayat remaja tersebut ditemui dalam keadaan baik dan takde kesan kecederaan. Mayat mangsa ketiga ni ditemui di bawah timbunan kayu. Penemuan tersebut menamatkan operasi pencarian dan penyelamatan, berdasarkan mangsa yang dilaporkan hilang oleh ahli kampung tersebut.

Ibarat ‘bom jangka’, ladang durian di Gunung Inas didakwa bukti kerajaan negeri tak peduli

Bencana alam dan korban jiwa yang terjadi sekali lagi menyatukan masyarakat. Pelbagai usaha yang digiatkan oleh pelbagai pihak, termasuklah kerajaan persekutuan sendiri yang umumkan akan beri bantuan kewangan buat mangsa Banjir Baling. Parti-parti politik sendiri pun salurkan wang derma bagi meringankan beban orang kampung. Namun begitu, isu sebenarnya banyak dikaitkan dengan tindakan awal kerajaan negeri Kedah yang membenarkan penebangan hutan di kawasan tadahan air.

projek ladang durian
Via Malaysiakini

Penasihat Sahabat Alam Sik, Mohd Sobri Ramlee kata pihaknya dah pernah bangkitkan isu tersebut sejak 2018. Baginya, kawasan tersebut ibarat bom jangka yang akan dilanda banjir pada bila-bila masa. Ikut pemerhatian, dia tak tolak kemungkinan fenomena kepala air di Gunung Inas berpunca dari kegiatan penerokaan tanah. Akhirnya, apa yang dikhuatiri aktivis tersebut berlaku.

“Saya sebenarnya sudah bangkitkan isu ini sebelum terjadinya banjir, cuma pihak berwajib tidak ambil maklum. Pada 2018, saya dah pergi ke kawasan itu (Gunung Inas) bersama wakil Exco alam sekitar dan penduduk kampung. Berdasarkan pemerhatian, terdapat beberapa kolam takungan dibina bagi mengurangkan pengaliran terus lumpur ke sungai berdekatan, dan ada kemungkinan kolam itu pecah kerana tidak dibina mengikut standard Jabatan Alam Sekitar,”- seperti yang dilaporkan FMT

mukadepan bh musangking baling
Muka depan pendedahan isu Musang King.. -Via Berita Harian

Susulan bencana tersebut, Peguam bagi Hak Alam Sekitar (LER) turut percaya bahawa banjir Baling memang ada kaitan dengan pemusnahan besar-besaran hutan yang didakwa digantikan dengan aktiviti penanaman durian. Jurucakapnya Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal kata, kemusnahan hutan hujan menyebabkan paras tampungan air berkurangan dan meningkatkan hakisan tanah secara drastik.

“Kerajaan negeri Kedah bersalah kerana membenarkan pembangunan tidak bertanggungjawab sedemikian oleh syarikat-syarikat yang tamak dan kemaruk wang. Kerajaan tempatan jelas tidak ragu-ragu membenarkan penebangan hutan kita yang tidak ternilai dan tidak boleh diganti untuk membuka jalan untuk perkara yang sama sambil tidak mengendahkan memorandum dan bantahan oleh penduduk tempatan dan Ahli Parlimen.

Kami memaklumkan kerajaan negeri Kedah akan menghadapi cabaran undang-undang dan kerajaan negeri perlu memulihkan hutan Gunung Inas secara segera,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

air gununginas
Penerokaan di Gunung Inas menyebabkan air jadi keruh.. -Via Berita Harian

Spekulasi penanaman durian Musang King ni memang dah lama, dan dibidas oleh MB Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Dulu katanya, takde bukti saintifik yang mengaitkan ladang durian tu dengan banjir, serta langkah-langkah tangani isu tu dahpun diambil. LER bertegas, Jabatan Perhutanan mesti bertanggungjawab atas tiada tindakan dan keengganannya menangani isu tersebut.

“Jabatan itu tidak melakukan tugas mereka ketika syarikat mengeksploitasi kawasan hutan secara sewenang-wenangnya, malah masyarakat tempatan mengalami akibat buruk yang timbul daripada aktiviti sedemikian, sama ada bekalan air tercemar atau banjir kilat.

LER menggesa pihak berkuasa untuk mengambil langkah segera dan menyeru orang ramai menyokong dan mendesak perubahan untuk memerangi penebangan hutan yang berleluasa serta memulihkan keseimbangan alam semula jadi yang kita rosakkan,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

banjir baling
Keadaan banjir di Baling beberapa hari lalu.. -Via Berita Harian

Ahli Parlimen Baling kata pihaknya dah hantar memorandum bantahan projek ladang Musang King kepada MB Kedah sebelum ni. Katanya, isu tu dah bertahun-tahun tak selesai. Dakwaan penebangan hutan semakin kuat apabila melihatkan timbunan kayu dan pokok hanyut yang dilaporkan di kawasan kejadian. Akan tetapi, laporan rasmi dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pulak berlainan dengan spekulasi tu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kata, takde aktiviti pembalakan aktif di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas sehingga mengakibatkan kejadian kepala air dan banjir kilat. Dia jelaskan;

“JPSM telah membuat semakan dan siasatan serta mengesahkan bahawa pokok yang dihanyutkan itu adalah bukan daripada kayu-kayu balak yang dijalankan pembalakan. Ini adalah kerana kayu-kayu itu dihanyutkan bersama akar-akarnya sendiri.

Jadi kita mahu betulkan anggapan sesetengah pihak bahawa berlakunya pembalakan aktif yang menjadi punca berlakunya kepala air di sungai (Sungai Kupang) itu,” – seperti yang dilaporkan Harian Metro

pokok banjir baling
Via Berita Harian

Apa yang terjadi di Baling amat mendukacitakan kami. Dalam kesempatan ini, kami ingin ucapkan takziah buat keluarga yang terjejas. Bukan setakat kejadian ni kali pertama berlaku dalam sejarah kampung tersebut, malah ia jugak dikatakan dah lama diramalkan boleh berlaku… cuma takde tindakan dari pihak kerajaan negeri. Isu penebangan dan penerokaan tanah khususnya di kawasan hutan simpan dan kawasan tadahan air semakin menjadi-jadi, lantaran penguatkuasaan yang dianggap lemah. Kami harapkan kejadian banjir ni tak berulang lagi, dan menjadi peringatan buat kerajaan negeri masing-masing mempertimbangkan semula polisi guna tanah agar tak berlaku kejadian seperti ni lagi.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top