Kawalan harga siling makanan dimansuh mulai Julai, ada kata mansuh subsidi langkah betul

minyakbeli

Baru-baru ni, kerajaan dah umumkan kawalan harga siling beberapa jenis bahan makanan terkawal akan dimansuh. Sebelum ni, permit import pun dah dimansuhkan dengan harapan makanan akan lebih mudah diimport masuk. Sekarang ni, subsidi minyak masak sawit pun ikut dimansuhkan bermula 1 Julai.

Langkah ni mengundang pelbagai reaksi negatif dan risiko pembelian panik dalam kalangan rakyat menjelang 1 Julai nanti. Rata-rata wargamaya sendiri meluahkan rasa tertekan, gusar dan marah terhadap langkah kerajaan yang disifatkan tak adil. Namun dalam ramai yang tentang, ada jugak yang sokong tindakan kerajaan ni.

ayam import
Via Harian Metro

Kesan pandemik kian terasa susulan harga makanan naik, ini harga ayam dan minyak masak terkini

Bila kita cakap mengenai soal kesan pandemik, harga makanan menjadi topik bualan yang begitu hangat. Selain isu gaji dan peluang pekerjaan, isu harga makanan benar-benar membangkitkan rasa gusar dan risau rakyat. Ditambah lagi dengan faktor luar seperti perang Ukraine-Rusia, rantaian lain tercetus sehingga harga ayam dan telur meningkat.

Kemudian pada 21 Jun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi pulak umumkan dalam sebuah sidang media, kawalan harga siling ayam dan telur ayam takkan diteruskan lagi. Begitu jugak dengan subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol 2-5kg.

minyakmasak
Via Melaka Hari Ini

Katanya, langkah kerajaan ni dibuat bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran lebih stabil. Dalam harapan kerajaan jugak, diharapkan langkah ni turut boleh stabilkan harga. Selain tu, kerajaan jugak tak lagi teruskan beri subsidi kepada penternak ayam. Pihak penternak dilaporkan berharap kerajaan apungkan harga ayam.

“Harga ayam akan diapungkan dan akan tertakluk kepada kuasa pasaran. Golongan memerlukan akan dibantu nanti dengan bantuan wang tunai bersasar,”- seperti yang dilaporkan dalam Malaysianow

Mengenai pemansuhan subsidi minyak sawit tulen tu, Alexander kata program tu sebenarnya cumalah program sementara dan sepatutnya dah lama tamat. Tapi ia tetap diteruskan jugak sehingga hari ni. Jadi sekarang ni, kerajaan rasa dah tiba masanya untuk ia dimansuhkan agar kerajaan dapat fokus bantu golongan memerlukan.

minyak masak
Via Malakat Tribune

Katanya lagi program subsidi barangan tersebut dah cecah RM20 juta sebulan. Setakat ni, hanya subsidi minyak masak dalam bungkusan polibeg 1kg yang ditawarkan pada harga RM2.50 sepeket masih diteruskan. Ini harga runcit maksimum minyak masak sawit dalam kemasan botol:

  • Minyak masak sawit botol 1kg – RM.6.70 sebotol
  • Minyak masak sawit botol 2kg – RM12.70 sebotol
  • Minyak masak sawit botol 5kg – RM29.70 sebotol
subsidiminyakmasak
Via Utusan Digital

Alexander turut kata, pemain industri ayam beri jaminan bahawa kenaikan harga ayam takkan naik secara mendadak. Walaupun kerajaan kata nak mansuhkan harga kawalan siling ayam, KPDNHEP akan tetap ambil tindakan sekiranya ada pihak cuba ambil kesempatan naikkan harga barangan secara berlebihan.

Tengku Zafrul kata subsidi 2022 paling besar dalam sejarah, mansuh subsidi langkah yang tepat

Bagi Shahril Hamdan, tindakan kerajaan tarik subsidi tu sebenarnya hanyalah ‘mengalihkan’ subsidi. Dalam hal ayam tu misalnya, kerajaan alih belanja subsidi daripada penternak kepada pengguna menerusi tambahan BKM (Bantuan Keluarga Malaysia) sebanyak RM100 untuk keluarga dan RM50 untuk bujang.

bantuanbkmtambahan
Via Perak Insights

Tak kira apa terma atau syarat istilah yang nak digunakan dalam menerangkan isu subsidi ni, ia tak mengubah fakta yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz. Katanya, unjuran subsidi tak hanya setakat ayam. Subsidi kepenggunaan untuk 2022 diunjurkan berjumlah RM77.3 bilion. Jumlah subsidi ni paling tinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

  • Subsidi kepenggunaan meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) – RM37.3 billion
  • Minyak masak – RM4 bilion
  • Tepung dan elektrik
  • Bil subsidi – RM9.7 bilion

“Apabila ditambah dengan bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) (RM11.7 bilion) dan lain-lain subsidi (RM14.6 bilion), jumlah keseluruhan subsidi setakat ini adalah RM77.3 bilion bagi 2022,”- seperti yang dilaporkan FMT

https://www.youtube.com/watch?v=d9dhperVI1I&ab_channel=BuletinTV3

Dr. Afzanizam Abdul Rashid, Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia kata keputusan kerajaan termasuklah masih nak kekalkan subsidi minyak masak sawit dalam bungkusan plastik ni akan beri manfaat kepada golongan rentan seperti B40.

Manakala bagi pemansuhan subsidi minyak masak sawit yang diputuskan kerajaan, langkah tersebut perlu dililhat sebagai langkah betul bagi memastikan lebih banyak bantuan secara terus dan bersasar dapat diberikan kepada golongan yang layak terima.

minyakmasakkaunter
Via Berita Harian

Sementara tu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan subsidi minyak masa tu perlu dimansuhkan bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan dan penyeludupan minyak masak.

“Kerajaan hapuskan subsidi itu kerana minyak masak botol itu mudah untuk orang menyeludup dan diseleweng kepada pihak tertentu kerana kuantitinya besar dan kemasannya yang tahan lasak berbanding minyak sawit plastik kuantiti yang kecil dan mudah pecah,”-seperti yang dilaporkan Berita Harian

minyakmasakpaket
Via Harian Metro

Jelasnya lagi, kerajaan jugak mesti peka tentang jaminan minyak masak plastik sebanyak 60,000 tan metrik sebulan tu dapat dijual oleh peniaga kepada pengguna. Antara lain, cadangan mekanisme yang berkesan nak salurkan bantuan tersebut boleh dilaksanakan adalah menerusi bentuk e-baucar dan transaksi yang telus.

“Apabila kita nak pastikan bantuan dan subsidi itu sampai kepada rakyat, penggunaan teknologi sedia ada boleh membantu. Sebagai contoh, kita ada aplikasi MySejahtera dan dulu kerajaan memperkenalkan baucar buku 1Malaysia yakni baucar itu boleh beli buku saja.

Jadi mungkin kita boleh gabungkan mekanisme ini untuk mengesan dan memberi bantuan dengan lebih bersasar dan apabila mereka pergi ke kedai mereka boleh beli minyak sawit dalam paket atau barang keperluan yang lain,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

mysejahtera1
Via Berita Harian

Pada Mei lalu, barisan pakar yang sama turut mencadangkan penggunaan aplikasi Mysejahtera sebagai salah satu mekanisme yang membolehkan bantuan bersasar dilaksanakan lebih baik. Dalam satu sisi, idea ni ada baiknya kerana orang ramai dahpun kenal Mysejahtera dan setakat ni, masih berfungsi sebagai aplikasi saluran maklumat kesihatan awam. Peranan Mysejahtera masih lagi penting dan relevan untuk kehidupan seharian rakyat biasa.

Reaksi negatif yang dipaparkan di alam maya menunjukkan betapa tertekannya rakyat sekarang. Dahlah bingung isu kerja dan peluang pekerjaan, dirumitkan lagi dengan harga makanan dan kos hidup yang meningkat kerana impak rantaian kenaikan kos-kos lain.  Dari satu segi, tindakan kerajaan ni mungkin disifatkan kurang sesuai lagi-lagi apabila nilai bantuan RM100 dan RM50 dilihat tak cukup berbaloi bagi menampung subsidi yang bakal ditarik nanti.

Akan tetapi, ada jugak melihat bahawa langkah kerajaan ni tepat atas persoalan “sampai bila kita nak bergantung pada subsidi?”. Mentaliti subsidi kerapkali dibicarakan dalam pentas wacana, yang mana ia dikatakan tak membantu rakyat dalam jangka masa panjang kelak. Sekarang kita ni dalam persimpangan; nak subsidi atau perlu bantuan tunai? Adakah perlu kedua-duanya sekali?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *