Sebenarnya ada beberapa masjid yang mempunyai reka bentuk liberal

Masjid Sultan Sulaiman Feature 1 1024x683
Sebenarnya ada beberapa masjid yang mempunyai reka bentuk liberal

Seni bina Islam mempunyai nilai estetika tersendiri apabila wujud penggunaan geometri, kaligrafi dan motif yang menampilkan flora atau fauna sebagai perincian pada seni hiasan dalaman. Sejarah seni binanya yang mempunyai sejarah panjang, merupakan khazanah diwarisi dari satu era kegemilangan ribuan tahun dahulu di negara Islam. Daripada penawanan Empayar Rom dan Konstaninopel, sehinggalah kegemilangan Andalusia dan sebahagian Eropah, wujud rangkulan terhadap nilai sejagat, membuktikan keterbukaan tokoh-tokoh Islam ketika itu.

Bentuk masjid seperti seni bina pagoda Cina…

Hari ini seni bina Islam sudah bersifat universal, hasil percampuran idea dan kemahiran seni dari pelbagai bangsa dan empayar hebat seperti Turki, Iran, India, Sepanyol, Maghribi, Mesir, Syria termasuk kepulauan Nusantara sendiri. Faktor keterbukaan ini menjadikan Islam agama yang indah dan sesuai dengan kehidupan manusia. Sesungguhnya, konsep kesejagatan dalam Islam sangat mengalu-alukan kepelbagaian serta sikap yang progresif, selagimana tidak bertentangan dengan Syara’.

Via TravelTriangle

Masjid-masjid tradisional Melayu seperti Masjid Kampung Tuan di Terengganu, Masjid Kampung Laut di Kelantan, Masjid Kampung Hulu di Melaka dan Masjid Demak di Indonesia, bentuk bumbung piramid bertingkat menjadi imej ikonik seni bina Islam di Nusantara. Menariknya, masjid-masjid ini mempunyai gaya seni bina ala pagoda dan tokong Cina. Tambahan pula, perabung bumbung untuk Masjid Kampung Hulu dibuat daripada konkrit atau simen bercampur pasir dan dibentukkan secara awan larat serta berekor seperti ‘naga’.

Masjid Kampung Laut, Kelantan. Via Kelantan Attraction

Ia sangat mirip dengan tokong lama Cina seperti Tokong Cheng Hoon Teng yang tidak jauh daripada masjid itu. Umat Islam Melayu nampaknya lebih progresif dan terbuka dalam mengadaptasi seni bina ala tokong Cina, berbanding hanya mengikut rekaan kubah bulat ala Taj Mahal.

Pembinaan Masjid Negara ini melambangkan semangat keterbukaan, perpaduan dan toleransi

Masjid Negara di Kuala Lumpur menggunakan sistem bumbungan plat terlipat, dan arkitek asalnya adalah bukan beragama Islam. Bumbungnya yang beropol itu menyinarkan cahaya merah mawar, disulami pula di tengah-tengahnya oleh terawang kekisi terrazzo di sepanjang galeri. Bumbung konkritnya berbentuk payung kembang dan dihiasi dengan mozek kaca dan emas putih.

Masjid Negara. Via KLCC Site

Bumbung yang berukuran 84 kaki tinggi itu mempunyai garis pusat sepanjang 200 kaki dan disokong oleh 16 buah batang tiang yang ukuran garis pusatnya sepanjang 3 kaki. Tiang-tiang itu diturap dengan terrazzo. Di tengah-tengah bumbung itu terdapat sebuah aluminium yang diukir dengan ayat al-Quran – seperti replika kubah Masjid Biru di Istanbul, Turki.

Dahulu bentuk mihrabnya berbentuk bersegi seperti pintu tetapi telah diubah suai melengkung seperti gerbang. Seluruh kawasan masjid itu dikelilingi sebahagiannya oleh tembok konkrit dan sebahagiannya lagi oleh pagar berhias. Pembinaan Masjid Negara ini melambangkan semangat keterbukaan, perpaduan dan toleransi. Ia direkabentuk oleh orang berketurunan Melayu, dibina oleh orang berketurunan Cina dan India dan dibiayai oleh sumbangan masyarakat Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.

Masjid Negeri Sembilan, dibina oleh arkitek bukan Islam…

Sementara itu, Masjid Negeri di Negeri Sembilan menggunakan sistem bumbungan kelompang konkrit konoid bersilang. Masjid Negeri, Negeri Sembilan ini direkabentuk oleh Firma MAC atau Malayan Architects Co-Pertnership, firma arkitek tempatan pertama yang membintangkan tiga tokoh arkitek nasional, Datuk Lim Chong Keat, Mendiang Chen Voon Fee dan Arkitek William Lim, kesemuanya rakyat Malaysia bukan Islam.

Masjid Negeri, Negeri Sembilan. Via Penang Travel

Reka bentuk masjid ini sangat unik dan menarik dimana ia merupakan senibina moden bercampur elemen tradisional iaitu senibina Minangkabau. Reka bentuk Masjid Negeri yang dibina pada tahun 1967 ini begitu simbolik. Sembilan tiang, sembilan ruang dan sembilan anjung tambahan yang dibina menggambarkan struktur politik negeri di mana Negeri Sembilan yang satu ketika mempunyai 9 daerah pentadbiran.

Masjid Sultan Suleiman di Klang mempunyai rekaan mirip seperti sebuah cathedral atau Gereja Besar. Penggunaan cermin berwarna dan gerbang tajam pada hujung mihrab mempunyai kesamaan rapat dengan dinding apse serta tingkap rose gereja. Masjid ini merupakan pemberian daripada kerajaan British kepada Sultan Selangor yang kelima, Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah.

Masjid Sultan Suleiman di Klang. Via Visit Selangor

Bercirikan seni bina Monghul, rekaan Masjid Diraja Sultan Suleiman adalah hasil cetusan L Keste Ven. Pembukaan rasmi masjid tersebut disempurnakan oleh Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada 11 September 1932. Masjid Saidina Abu Bakar di Bangsar mencerminkan sifat perpaduan Malaysia yang jitu, bilamana mengundang masyarakat Cina bagi merayakan Tahun Baru Cina.

Kepelbagaian dalam bingkai kesatuan, pluraliti, kemajmukan, kepelbagaian dan perbezaan harus diraihkan

Sejarah menyaksikan orang bukan Islam turut menyumbang derma untuk pembinaan masjid-masjid yang kemudiannya sangat bersejarah, di samping keterbukaan para pembina masjid ini untuk menerima idea serta konsep senibina yang pelbagai. Di banyak negara, masjid tidak lagi menjadi terlalu ekslusif malah dibuka untuk masyarakat luar menjadikannya pusat perpaduan dengan suasana yang harmoni.

Pluraliti, kemajmukan, kepelbagaian dan perbezaan harus disikapi dengan kematangan dan disikapi secara positif. Ini sudah mula disinggung-singgung sejak zaman pra kemerdekaan. Namun, ironisnya walaupun telah berdekad-dekad isu ini diperkatakan bangsa Malaysia masih belum dapat direalisasikan.

Via Giphy

Perbincangan mengenai beberapa istilah seperti Dhimmiy dan Harbi dan diganti dengan konsep Muwatinun atau warganegara perlu diketengah dan disuburkan. Gagasan Negara dan bangsa Malaysia tidak akan terbina tanpa penggabungan geografi serta politik yang disempurnakan dengan rasa saling hormat-menghormati dan menyantuni kepelbagaian latar budaya yang berbeza antara satu sama lain. Segala bentuk provokasi melampau berasaskan sentimen perkauman sempit seharusnya dileburkan sama sekali.

Pembinaan bangsa Malaysia berdasarkan kepada formula keadilan sosial yang berasaskan kepada “Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan”, selanjutnya mengarusperdanakan kefahaman masyarakat terhadap identiti bangsa Malaysia sebagai satu jatidiri. Semua peringkat masyarakat bertanggungjawab mengangkat perpaduan, tanpa rasa takut kerana ia tidak mencairkan jatidiri dan keturunan masing-masing. Kefahaman tentang identiti bangsa Malaysia perlu disemarakkan melalui program dan wacana kependidikan seluruh negara.

Artikel ni banyak merujuk tulisan Seni Bina Masjid Liberal yang diterbitkan oleh UTUSAN.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top