Ini perkembangan terkini pelaksanaan ibadah haji di Arab Saudi, dah mula terima pengunjung

F1
Ini perkembangan terkini pelaksanaan ibadah haji di Arab Saudi, dah mula terima pengunjung

Menunaikan ibadah haji adalah salah satu peristiwa yang besar maknanya buat orang Islam di serata dunia. Ia dianggap penting, bukan semata-mata kerana kepentingan sejarah; ia jugak menjadi salah satu daripada rukun Islam. Namun ketibaan pandemik memusnahkan harapan jutaan orang Islam pada tahun ni untuk kembali ke tanah suci semula, ditambah lagi dengan sinar kesembuhan yang belum lagi tiba.

Adakah tahun depan, jemaah kita berpeluang sekali lagi untuk bertandang ke sana?

Haji Kaabah
Via Bloomberg

Arab Saudi mulai tangguh visa umrah dan haji, jemaah kita dapat dibawa pulang lepas terkandas lama

Sejak meletusnya pandemik awal tahun ni, Arab Saudi jugak dalam keadaan berwaspada untuk kurangkan risiko jangkitan. Kemudiannya pada 27 Februari lepas, Arab Saudi mulai gantung visa untuk mengurangkan pergerakan jemaah masuk ke negara tersebut. Memasuki bulan Mac, kerajaan Arab Saudi keluarkan lagi arahan larangan umrah dan ziarah Masjid Nabawi yang dikatakan hanya bersifat sementara.

Masa tu, jemaah yang masih berada di sana boleh berziarah di lokasi tumpuan lain serta dibenarkan berada di Masjidil Haram. Sekatan pergerakan untuk rakyat Arab Saudi jugak dijalankan apabila ibadat umrah tak dibenarkan sehingga satu tempoh yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, jemaah umrah kita kat sana masih sempat mengerjakan umrah sebelum larangan tu berkuatkuasa.

Haji Kaabah 1
Via Oh Media

Memandangkan pada ketika tu, penerbangan MAS jugak turut dibatalkan susulan PKP. Jemaah kita terpaksa naik syarikat penerbangan antarabangsa seperti Saudi Airlines, Etihad Airways dan Turkish Airlines yang masih mempunyai penerbangan ke Jeddah dan seterusnya transit ke Malaysia semula.

Oleh sebab hubungan baik kita dengan Arab Saudi, jemaah kita akhirnya berjaya dibawa pulang walaupun lepas larangan penggantungan visa dah dikuatkuasakan walaupun di awalnya, kita jugak mengalami kesulitan khususnya dari segi jadual penerbangan keluar dari Jeddah. Bayangkanlah, ribuan lagi tengah kejar pesawat yang sama… agensi umrah dan haji Malaysia termasuk Tabung Haji terpaksa menyusun dan merangka cara terbaik supaya semua dapat pulang.

Jemaah Umrah
Via Harian Metro

Usaha membawa pulang jemaah umrah memang tak banyak dibincangkan dalam pentas berita tempatan kerana kita sendiri pun mengalami ‘pergolakan kecil’ dari segi politik dan ancaman pandemik yang mengusarkan ramai pihak. Sehingga awal Mac lalu, 250 jemaah yang terkandas berjaya dibawa pulang oleh ejen agensi umrah masing-masing.

Ada jugak jemaah yang guna visa pelancong; ertinya kepulangannya akan sedikit lewat daripada jemaah lain. Hasil keberkesanan komunikasi dan koordinasi Kedutaan Malaysia di sana, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta pihak muassasah (ejen umrah di Arab Saudi). Berita Harian laporkan ada pekeliling tak rasmi yang mengesahkan Arab Saudi belum bersedia menerima ‘tamu’ lebih lama macam biasa.

“Pekeliling itu adalah arahan dalaman di antara Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dengan pihak muassasah (ejen umrah di Arab Saudi). Setakat ini pihak muassasah memaklumkan tiada tekanan yang dibuat oleh pihak kementerian dalam memastikan arahan tiga hari itu dipenuhi serta merta. Ia mungkin disebabkan mereka menyedari jadual penerbangan setiap kumpulan jemaah adalah pada hari yang berbeza dan ia dibuat sebelum arahan berkenaan dikeluarkan,”- Alauddin Mohd Nor, Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi.

Umrah Kaabah
Via Suara Perak

Kini Arab Saudi bersedia terima jemaah hanya 1,000 orang je, dah mohon kebenaran wakil kita di sana untuk nilai tahap prosedur jalani ibadah

Sehingga artikel ni ditulis, jumlah kes yang dilaporkan untuk Arab Saudi mencecah 260 ribu di mana 220 ribu sudah sembuh dan 2,733 kematian. Kalau dilihat dari graf, ada sedikit penurunan awal bulan ni. Tapi kita pun faham; corak graf atau lekuk kes masih bergantung pada jumlah pesakit yang disaring dan protokol kesihatan untuk memutuskan rantaian wabak tersebut.

Arab Saudi Graf
Via CoronoTracker

Memandangkan musim haji dah tiba, mesti kita pun nak tau apa je benda yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan Arab Saudi kan? Setakat yang dah dilaporkan;

  • Hanya lebih kurang 1,000 jemaah je dibenarkan kali ni
  • Jemaah haji yang masuk akan diarahkan untuk ikut saringan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum sampai ke Mekah. Mereka akan diarahkan untuk kuarantin diri apabila dah sampai ke negara asal nanti.
  • Mereka yang berumur lebih dari 65 tahun ataupun mempunyai penyakit kronik tak dibenarkan mengerjakan Haji
  • Penggunaan pelitup muka diwajibkan untuk semua jemaah haji dan ejen yang ikut sekali.
  • Menyentuh atau mencium Kaabah dilarang sama sekali,
  • Penjarakan sosial sejauh 1.5 meter antara jemaah, termasuklah dalam solat berjemaah dan ruangan mengelillingi Kaabah
  • Akses ke beberapa lokasi lain seperti Mina, Muzdalifah dan Gunung Arafah akan dikhaskan kepada pemegang permit Haji sehingga 2 Ogos
  • Hanya satu Miqat sahaja digunakan iaitu di Miqat Qarn Al-Manazel
Miqat Qarn Al Manazil
Pintu Miqat tahun ni.. -Via Hajj and Umrah Planner

Kumpulan pertama jemaah haji tahun ni dah tiba, iaitu terdiri dari pemastautin asing dan rakyat tempatan Arab Saudi. Kita dah kemukakan permohonan untuk benarkan tiga wakil Tabung Haji yang berada di Jeddah untuk buat laporan, tunaikan haji serta buat sedikit kaji selidik bagaimana pelaksanaan ibadah haji ketika penularan COVID-19 ni.

Laporan dari sumber tersebut akan mudahkan kita untuk faham serta menyediakan jemaah haji seterusnya di bawah ketetapan norma baharu. Kami faham dengan kegusaran serta kekesalan sebahagian jemaah yang dah bayar duit tempahan awal-awal dan pasang impian nak ke sana. Yang penting, kita kena reda dan tak leka dengan situasi kita sekarang. Semoga jemaah kita lepas ni beroleh rezeki untuk ke sana tahun depan, atau di suatu masa nanti.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top