Tiba-tiba ditahan kerana masalah politik? Ini cerita atlet bola sepak Bahrain

Tiba-tiba ditahan kerana masalah politik? Ini cerita atlet bola sepak Bahrain

Siapa sangka, kisah seorang pemain bola sepak boleh merentasi garisan hak asasi manusia, diplomasi antarabangsa, sukan serta geopolitik Timur Tengah dan antarabangsa. Lebih 70 hari yang lalu, impian Hakeem al-Araibi, 25 tahun, untuk menikmati cuti bulan madu bersama isteri tercinta, tersekat apabila pihak berkuasa Thailand menangkap Hakeem ketika beliau dan isterinya baru sahaja turun daripada perut kapal terbang di Bangkok, November lepas. Beliau didakwa berada pada senarai notis merah pihak Interpol, sesuatu yang berada di luar pengetahuannya sebelum itu.

Hakeem. Via BBC

Bahrain nak Hakeem dipenjara 10 tahun sebab jenayah vandalisme

Hakeem, asalnya pemain bola sepak Bahrin, kini menjadi pelarian dan mendapat status penduduk Australia. Bukan sahaja menjadi perhatian dunia kerana kontroversi penahannya, tetapi juga polemik rumit yang melingkari kes yang dihadapi oleh beliau. Jadi, siapa sebenarnya yang bersalah? Di atas kertas, ada 3 buah negara utama yang terlibat: Bahrain, Thailand dan Australia. Namun realitinya, ianya lebih rumit dan rencam: ia merentasi pelbagai isu dan sektor.

Kisahnya, Bahrain mahu Hakeem pulang ke negara tersebut bagi menjalani hukuman 10 tahun penjara atas kesalahan vandalisme, yang mana beliau mendakwa mustahil untuk dia melakukannya, kerana beliau sedang beraksi dalam satu perlawanan bola sepak yang disiarkan secara langsung, ketika kesalahan itu didakwa dilakukan (2012). Beliau melarikan diri ketika masih berada di bawah jaminan, kerana mendakwa telah dipenjara dan diseksa selama 3 bulan. Hakeem percaya bahawa penahanannya sangat berkaitan dengan kritikannya terhadap Sheikh Salman, yang ketika itu sedang cuba mensasarkan kerusi Presiden FIFA. Pada 2016, beliau mendedahkan kepada media berkenaan dakwaan kezaliman yang dilakukan oleh Sheikh Salman.

Menarik. Via Giphy

Hakeem asalnya ditahan di dalam sebuah sel tahanan yang sempit di bangunan imigresen Thailand, di mana isterinya tidak mahu meninggalkannya sendirian di sana. Kemudian, beberapa kumpulan pro-demokrasi negara Teluk dan peguam Hakeem yang berpengkalan di Sydney, mula menghubungi pihak media. Ketika dihubungi oleh pihak media, beliau menyatakan rasa takutnya terhadap Kerajaan Bahrain, dan mendakwa akan dibunuh jika pulang ke Bahrain. Di pihak imigresen Thailand, mereka merasa keliru ketika menguruskan dokumen Hakeem yang berstatus pelarian PBB; mempunyai notis merah Interpol, permohonan untuk menahan beliau dari Bahrain dan permintaan Australia agar beliau dibebaskan.

Lagi 3 jam sebelum dia belepas ke Australia, dia ditahan sekali lagi

Hakeem kemudiannya dimaklumkan oleh pihak berkuasa Thai untuk menempah tiket dan keluar dari negara tersebut. Beliau menempah tiket ke Melbourne, namun hanya 3 jam sebelum berlepas, beliau dimaklumkan bahawa beliau tidak boleh ke Australia dan dibawa ke pusat tahanan imigresen di Bangkok, sebelum tempoh penahanannya disambung oleh mahkamah selama 10 hari dan notis merah Interpolnya dibatalkan.

Hal ini menimbulkan kemarahan banyak pihak, sehingga ramai yang melakukan unjuk perasaan. Kelab bola sepak yang diwakili oleh Hakeem di Melbourne, Pascoe Vale, turut memulakan kempen untuk pembebasannya, sebelum disertai oleh persatuan-persatuan pemain bola sepak di sana.

Tunjuk perasaan. Via Gif4u

Bekas ketua pasukan skuad Socceroo, Craig Foster mempersoalkan peranan serta tindakan yang dilakukan oleh Persekutuan Bola Sepak Australia, FIFA dan AFC yang berdiam diri. Namun, suasana cuti Krismas menyebabkan kempen tersebut menjadi suram. Hanya beberapa minggu selepas itu, penahanan remaja dari Arab Saudi, Rahaf al-Qunun, yang juga ditahan di Thailand menjadi perhatian masyarakat antarabangsa kerana kerana mengumumkan keluar dari Islam, lalu mencari perlindungan di Australia.

Banyak pihak mempersoalkan kenapa ramai yang begitu prihatin dengan kes Rahaf, tetapi mengambil mudah tragedi yang menimpa Hakeem. Persoalan ini kemudiannya menghidupkan sentimen sehingga membuka mata banyak pihak. Bukan sahaja pemain bola sepak di Australia, atlet Olimpik dan bintang sukan dunia turut menyebarkan kempen #SaveHakeem.

Banyak pihak yang cuba membantu untuk membebaskan Hakeem

Menteri Luar Australia, Marise Payne, dan kakitangan kedutaan Bangkok berusaha keras untuk membebaskan Hakeem, namun tidak berjaya. Bukan sebarang orang yang menyokong kempen pembebasan Hakeem ini. Rakyat Australia yang membantu menyelamatkan pasukan bola sepak sekolah Thailand dari sebuah gua sempit tahun lepas juga, menulis rayuan kepada Perdana Menteri Thailand, namun tidak dibalas.

Marise Payne. Via CDN

Banyak pihak turut menuntut tindakan sekatan dan boikot kepada Thailand dan Bahrain, dari bidaan menganjurkan Piala Dunia sehinggalah keanggotaan dalam Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa. Tiadanya tindakan bersungguh daripada FIFA dan AFC menimbulkan kemarahan peminat, kerana sering melaungkan slogan kesaksamaan serta hak asasi manusia.

Realitinya, Presiden AFC yang juga kini Naib Presiden FIFA adalah Sheikh Salman Ibrahim al-Khalifa, kerabat diraja Bahrain, yang juga memimpin persatuan bola sepak negara tersebut, ketika berlakunya penahanan 150 atlet di sana.

Hakeem dibebaskan, dan dia berjaya pulang ke Australia

Selepas siri perbicaraan dan ditahan dalam penjara yang sempit di Bangkok, Kementerian Luar Thailand secara tiba-tiba memfailkan petisyen kepada mahkamah untuk menggugurkan kes ekstradisi Hakeem. Peliknya, Hakeem tidak dihantar ke tempat pemprosesan dokumentasi, sebaliknya dimasukkan ke dalam van polis dan dibawa terus ke lapangan terbang pada waktu tengah malam untuk menaiki penerbangan ke Melbourne. Tiketnya dibayar oleh pihak berkuasa Thailand.

Alhamdulillah, lega. Via Giphy

Sekembalinya ke negara ‘Down Under’ tersebut, bukan sahaja akan kembali menjalani latihan bersama kelab Pascoe Vale, Hakeem juga dapat bertemu dengan ramai pemimpin di Australia termasuk Perdana Menteri, Scott Morrison. Kes Hakeem membuktikan bagaimana peranan besar yang boleh dimainkan oleh media, badan masyarakat madani (CSO) serta individu, selagimana ia digerakkan secara bersungguh serta konsisten. Asalnya tidak dipedulikan, kini Hakeem seolah-olah seorang selebriti di sana.

Selepas tu, Bahrin minta Australia pulangkan Hakeem

Chatchom Akapin, Pengarah Besar Jabatan Hal-ehwal Antarabangsa di Pejabat Peguam Negara Thailand, menyatakan bahawa kes Hakeem digugurkan kerana Bahrain memutuskan untuk tidak meneruskan kes tersebut. Namun, Kerajaan Bahrain menafikannya dan memaklumkan mereka akan tetap berusaha membawanya ke negara tersebut. Buktinya, Bahrin kini meminta Australia pula untuk mengekstradisi Hakeem.

Meskipun tampak mustahil untuk Australia membenarkan permohonan tersebut, persoalan utama kepada kes Hakeem ini adalah: Adakah penahanannya ketika mahu berbulan madu dengan dokumen yang dimilikinya, mengikut prosedur yang betul? Kita nantikan kesudahannya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top