Sebastian Castellio, pendakwah Kristian yang kagum dengan kehebatan Islam

Sebastian Castellio, pendakwah Kristian yang kagum dengan kehebatan Islam

Pada kurun ke-16 hingga 18, Eropah dilanda Perang Agama Eropah. Perang Agama Eropah ini bukanlah merujuk pada perang di antara Kristian dengan agama lain seperti Yahudi dan Islam yang menjadi minoriti di Eropah (serta kerajaan Islam yang berjiran dengan benua itu) tetapi di antara mazhab-mazhab Kristian.

Via BAF

Melainkan korang kuat tidur sewaktu subjek sejarah, mesti korang ingat tentang permulaan gereja Protestan yang membantah gereja Katolik yang merupakan mazhab dominan di Eropah Barat sebelum tu. Siri perang ini memuncak dengan Thirty Years War yang melanda Jerman dan menyebabkan satu pertiga penduduknya menjadi korban.

Kelahiran Sebastian Castellio, seorang tokoh penting dalam sejarah

Pada fasa awal Perang Agama Eropah ni lahirlah Sebastian Castellio/Chatellion di Perancis pada 1515. Dia ni belajar kat Universiti Lyon dan mahir bahasa Perancis, Itali, Latin, Hebrew, Greek dan Jerman. Pada zaman mudanya dia menjadi saksi pembakaran golongan yang digelar sesat di Lyon ketika Inquisition Perancis. Maka Castellio mula terpengaruh dengan gerakan anti-Katolik. Castellio pernah menulis;

‘Untuk membunuh seseorang bukan bermakna memelihara sesuatu ajaran, ia bermakna untuk membunuh seseorang.’

Lepas tu dia berjumpa John Calvin, tokoh besar gerakan Protestan dan menjadi rapat dengannya. Pada tahun 1543, wabak berjangkit melanda Geneva. Sebastian Castellio berani untuk melawat golongan sakit dan nazak sedangkan pimpinan gereja Protestan lain termasuk Calvin tak mahu menziarahi mereka. Tak lama lepas tu, mulalah Calvin dan Castellio menjadi musuh.

Via Tenor

Dalam satu mesyuarat awam, Castellio bangun dan mengatakan golongan paderi patut berhenti menzalimi mereka yang tak setuju dalam tafsiran Injil. Lepas tu, Calvin mendakwa Castellio dengan kesalahan ‘melemahkan kesucian golongan paderi.’

Dia pun hilang kerja dan jatuh miskin sampai terpaksa meminta makanan dari rumah ke rumah. Kalau tak minta sedekah dia menggali parit atau membantu semakan percetakan kedai kawan dia. Dia menjadi tutor peribadi (macam cikgu tiusyen kat rumah) sambil menterjemah ribuan muka surat dari Greek, Hebrew dan Latin kepada Perancis dan Jerman.

Castellio mahukan perpaduan ummah, dah macam tema Maulidur Rasul lah pulak

Castellio mahu semua mazhab Kristian – Protestan, Anabaptist dan Katolik – bersatu (perpaduan ummah gitu). Ramai tak berani mengedarkan manuskrip dia kerana boleh dihukum bunuh zaman tu. Lepas tu kehidupan dia jadi okay sikit, sampai dia dapat kerja dengan Universiti Basel.

Tapi lepas tu Michael Servetus dibunuh di Geneva kerana menolak doktrin triniti yang menjadi asas akidah Kristian. Castellio menyerang Calvin kerana mendalangi hukuman ini, dan Calvin pertahankan sebagai cara memelihara akidah Kristian.

Kan kami dah kata, perpaduan ummah popular. Via Twitter

Hujah Castellio, cara berhadapan hujah Servetus adalah dengan hujah dan penulisan, bukan dengan membunuh. Katanya, adalah tidak adil untuk seorang individu (Calvin) menjadi pemutus siapa yang sesat. Dia mengaku membenci golongan ‘sesat’ tapi risau mereka yang dihukum tidak berhak dilayan begitu.

Castellio turut berhujah untuk kerajaan yang terhad dan menolak teokrasi. Apa yang menakjubkan ialah bagaimana dia ni sedar tentang ajaran Islam. Orang Islam ketika itu digelar Turks (orang Turki) atau Mahommatans (kerana ramai orang Kristian menyangkakan orang Islam menyembah Nabi Muhammad SAW sama seperti mereka menganggap Isa al Masih itu anak Tuhan).

Dia mengatakan persamaan Yahudi, Kristian dan Islam ialah kepercayaan Tuhan yang Esa. Katanya ‘Turks berkongsi hormat kepada Isa al Masih sama seperti Kristian, tak macam Yahudi.’ Tetapi, dia juga sedar, hakikat Isa dilihat berbeza oleh Turks banding dengan Kristian.

Via Tenor

Castellio sedar tentang situasi di Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turki.

Meh kita tengok kata-kata Castellio;

‘Apabila ada kezaliman (terhadap mana-mana penganut agama), segalanya kacau-bilau. Apabila tiada kezaliman, semuanya aman walaupun ada macam-macam agama. Dia tahu ada bandar-bandar yang mana ada hampir sama banyak pendapat dengan kepala, tetapi kerana tak ada kezaliman, tak ada hasutan, dan kalau ada kezaliman bermula semua akan kacau-bilau.

‘Di Kostantinapol (Istanbul) ada Turks (orang Islam), ada Kristian, dan ada juga Yahudi, tiga agama yang sangat berbeza antara satu sama lain dalam agama. Tapi diorang duduk aman-damai, yang pasti tak berlaku jika ada kezaliman. Siasatan yang mendalam akan mendedahkan golongan yang zalim yang menjadi punca kekecohan yang besar.

Via TMT

‘Jadi, para Putera dan Hakim, jika korang nak aman dan damai, jangan dengar mereka yang nak suruh korang jadi zalim, kerana merekalah yang menghasut, walaupun tuduh orang lain menghasut, sama seperti orang Yahudi menuduh Isa al Masih, walaupun diorang sebenarnya bertanggungjawab. Rumah Isa al Masih mesti dibina dengan kasih sayang. Golongan zalim nak bina dengan bencian dan darah.‘

Castellio menganggap Constantinople satu-satunya bandar yang dibina dengan kasih sayang dan dianggap Rumah Isa al Masih

Zaman tu Istanbul ni lejen, sebab lepas Sepanyol ditakluk 100 peratus oleh kerajaan Kristian, orang Yahudi dan Islam sana dihalau beramai-ramai. Tahu mana – bukan saja orang Islam, tapi Yahudi pilih? Mereka pilih pergi ke negara-negara Islam termasuk Empayar Uthmaniyyah. Macam sekarang, banyak pelarian (termasuk orang Islam) pilih pergi ke Barat sebab rasa selamat, zaman tu orang pilih datang ke negara Islam.

Castellio ni mati kat Basel, Switzerland tahun 1563. Kubur dia ni kena bongkar dengan musuh-musuh dia, yang kemudian bakar dan menaburkan abu-abu mayatnya. Beberapa murid dia mendirikan tugu untuk mengingatinya, yang kemudian dirosakkan secara tak sengaja, tapi inskripsinya masih ada.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print