Kisah pemimpin mualaf yang jadi muslim pertama terpilih ke kongres USA

Baru-baru ni ORANGKATA ada menulis tentang pemimpin-pemimpin Muslim yang memegang banyak jawatan penting dalam Dinasti Ming di China sehingga Maharaja ketika tu menulis puisi memuji Nabi Muhammad s.a.w.

Sebenarnya banyak je lagi pemimpin-pemimpin Islam yang dihormati di serata dunia. Hari ni kami ingin menyenaraikan beberapa pemimpin Muslim yang berjaya di dunia Barat. Senarai ini membuktikan kebolehan pemimpin Muslim turut serta dalam demokrasi di Barat dan beri kesan positif kepada komuniti Islam di sana.

1. Ilhan Omar pelarian dari Somalia yang berjaya menang pilihan raya di Amerika Syarikat

Wanita berusia 37 tahun ni lahir di Somalia dan meninggalkan negara tu bersama keluarganya ketika perang saudara di sana. Beliau akhirnya menetap di Arlington, Virginia dan kemudian ke Minneapolis, Minnesota.

Via Daily Wire

Beliau dipilih ke Dewan Perwakilan Negeri Minnesota untuk Parti Demokrat pada 2016. Pada 2018, beliau memenangi pilihan raya ke Kongres, mewakili daerah kelima di Minnesota. Bersama seorang lagi wanita keturunan Palestin, Rashida Tlaib, Ilhan menjadi wanita Muslim pertama dipilih ke Kongres, dan wanita memakai hijab yang pertama.

Ibu kepada tiga orang anak ini lulusan North Dakota University.

2. Keith Ellison, seorang mualaf yang menjadi muslim pertama terpilih ke Kongres Amerika Syarikat

Sebelum Ilhan dipilih mewakili daerah kelima Minnesota, Keith Ellison mewakili daerah yang sama pada tahun 2007-2019. Beliau merupakan Muslim pertama dipilih ke Kongres Amerika Syarikat.

Via Axios

Keith lahir sebagai seorang Kristian di Amerika Syarikat. Pada usia 19 tahun, ketika belajar di Wayne State University, beliau memeluk Islam.

“Ketika saya melihat kehidupan kerohanian saya, dan melihat apa yang mungkin mempengaruhi perubahan sosial, keadilan dalam masyarakat… saya menemui Islam.”

Kumpulan progresif dalam Parti Demokrat termasuk Bernie Sanders menyokong Keith untuk menjadi Pengerusi Parti Demokrat pada 2017 tetapi beliau tewas. Beliau dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Parti Demokrat.

Kini beliau merupakan Peguam Negeri Minnesota.

3. Khalid Chaouki, wakil rakyat yang mahir pelbagai bahasa

Khalid Chaouki merupakan Wakil Rakyat Parlimen Itali mewakili Parti Demokratik negara tersebut. Beliau juga adalah Presiden Masjid Rom yang merupakan masjid terbesar di luar dunia Islam, India dan Rusia.

Lahir pada 1983 di Casablanca, Maghribi, beliau berhijrah ke Itali pada usia 8 tahun. Beliau terpaksa menunggu 10 tahun untuk mendapat kerakyatan tetapi menghabiskan masanya mendapat ijazah dalam sains politik dan pengajian Oriental.

Via Youtube

Kebolehannya berbahasa Inggeris, Itali, Perancis dan Arab membolehkan beliau mendapat kerja sebagai seorang wartawan. Beliau memperjuangkan hak kewarganegaraan yang lebih terbuka untuk membolehkan negara Itali berkembang. Khalid juga meminta sebuah restoran halal dan imam di Parlimen Itali.

Walaupun berkahwin dengan seorang rakyat Itali keturunan Maghribi, kedua-dua anak gadisnya menghadiri sekolah mubaligh.

4. Ahmed Aboutaleb, peminat puisi Arab dan siap menterjemah

Ahmed Aboutaleb juga keturunan Maghribi, tetapi dia dan keluarganya pindah ke Negara Belanda ketika usianya 15 tahun pada 1970-an. Seorang graduan kejuruteraan, beliau bekerja sebagai wartawan dan kemudian kakitangan kerajaan di Amsterdam.

Via The Indipendent

Apabila Parti Buruh menang Pilihan Raya Belanda pada 2007, beliau menjadi Timbalan Menteri Hal Ehwal Sosial dan Pekerjaan selama setahun sebelum dilantik menjadi Datuk Bandar Rotterdam, bandar kedua terbesar Belanda pada 2009. Beliau masih memegang jawatan tersebut.

Beliau seorang peminat puisi Arab dan menterjemahkan beberapa karya popular kepada bahasa Belanda.

5. Sadiq Khan, berdarah Pakistan namun tetap berjaya jadi Datuk Bandar London

Britain pun ada Sadiq tau. Oh, not that Saddiq. Cuma ada satu ‘d’. Sadiq Khan memenangi Pilihan Raya Datuk Bandar London pada 2016 mewakili Parti Buruh. Ibu bapanya tiba di London dari Pakistan pada 1968. Mereka mendapat lapan orang anak dan bapanya bekerja sebagai pemandu bas dan ibunya tukang jahit. Mereka tinggal di ‘council flat’ (kira PPR lah) tiga bilik.

Ketika A-Level beliau merancang nak jadi doktor gigi, tetapi cikgunya cadangkan dia jadi peguam kerana dia suka berdebat. Untuk mencari wang lebih ketika membesar dia bekerja di tapak pembinaan dan menghantar surat khabar. Ada wang yang dikumpul keluarga dihantar kepada saudara mereka di Pakistan hingga hari ini.

Sadiq ni tua sikit. Via Evening Standard

Sadiq akhirnya berjaya lulus sebagai peguam dan fokus dalam isu diskriminasi dan keganasan polis. Pada 2005 dia menjadi Ahli Parlimen Tooting, London dan kekal selama tiga penggal.

Selepas dipilih menjadi Datuk Bandar London – Datuk Bandar Muslim pertama ibu negara di Barat – Sadiq dikecam media pelampau di Britain dan Amerika. Tindakan pertamanya adalah melawat majlis peringatan Holocaust di London. Sadiq biasa menghadiri Masjid al Muzammil di Tooting, London.

Dia peminat bola sepak, kriket dan boxing serta dikatakan berbakat sebagai stand up comedian.

6. Sayeeda Warsi, seorang lagi yang memiliki darah Pakistan

Baroness ni dekat UK adalah pangkat besar bagi mereka yang duduk di House of Lords (macam Dewan Negara). Sayeeda Warsi pernah menjadi Timbalan Menteri di Kabinet David Cameron dan Pengerusi Parti Konservatif.

Via Dawn

Sama seperti Sadiq, dia lahir di Britain daripada keluarga Pakistan. Dia adalah wanita Muslim pertama menghadiri kabinet dan ketika mesyuarat pertamanya di Downing Street, memakai pakaian tradisi Pakistan salwar khameez.

Ketika menjadi sebahagian daripada kabinet, dia memberi penekanan kepada soal Perbankan Islam. Pada tahun 2014, dia meletakkan jawatan kerajaannya kerana tidak bersetuju dengan dasar kerajaan Britain dalam konflik di Israel-Gaza. Dia juga kesal keputusan Britain sebelum itu tidak mengiktiraf Palestin.

Ramai ja sebenarnya pemimpin-pemimpin Islam yang power dekat Barat

Kami dah bagi beberapa contoh yang menunjukkan pemimpin Islam sebenarnya ada peranan mereka yang tersendiri di Barat. Mereka bukan setakat memperjuangkan isu-isu yang ada kaitan langsung dengan agama, tetapi turut lantang dalam isu-isu penting seperti hak asasi, ekonomi, dan paling penting mereka tak ekstrem. Sebab tu mereka boleh diterima dan menang pilihan raya di tempat masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *