Nabi Muhammad tak boleh membaca? Ustaz ni kata ada yang salah tafsir

Asa
Nabi Muhammad tak boleh membaca? Ustaz ni kata ada yang salah tafsir

Takde khilaf lagi bahawa Nabi Muhammad adalah ummi. Dalam Surah al-‘Araf, Allah swt berkata;

“Yaitu orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis kat dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang ma’ruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka…”

Disebabkan benda ni, ramai yang kata nabi tu tak boleh membaca, dan ada beberapa kumpulan yang siap bergaduh tentangnya. Jadi, hari ni kami akan cuba bawakan beberapa hujah supaya korang boleh jawab soalan ni dengan mudah bila tengah lepak atau nak tenangkan orang yang bergaduh pasal benda ni.

Kena faham betul-betul apa maksud ummi tu, sebab ada je makna lain…

Kebanyakan orang mengatakan bahawa makna ummi adalah tidak boleh membaca. Justeru, difahami bahawa Nabi Muhammad saw adalah seorang yang tak boleh membaca. Persoalannya, benarkah maksud ummi tu adalah orang yang tak tahu membaca?

Baca apa tu? Via Giphy

Jika benar kalimah ummi diterjemah sebagai orang yang tak tahu membaca, sudah pasti berlaku banyak kekacauan dalam tafsiran ayat-ayat al-Quran. Sebabnya, Allah swt ada nyatakan dalam surah ali-Imran, ayat 20;

“Dan katakanlah kepada orang-orang yang telah diberi Al Kitab dan kepada orang-orang yang ummi: “Apakah kamu (mahu) masuk Islam.” Jika mereka masuk Islam, sesungguhnya mereka telah mendapat petunjuk,”

Dalam ayat ni, Allah swt nyatakan bahawa Nabi Muhammad saw menyampaikan risalah tu bukan sekadar kepada ahli kitab, tapi terhadap orang ummi yang dimaksudkan sebagai orang-orang musyrik. Sesuatu yang tak masuk akal, bahawa orang yang tahu membaca tak disampaikan wahyu juga kepada diorang. Tapi, kena ingat ye – pandangan sarjana agama ada banyak. Hari ni kami akan banyak cerita tentang pandangan yang kata nabi tak buta huruf, jangan ekstrem atau taksub dengan mana-mana pandangan.

Malahan, dalam ayat lain, Allah swt nyatakan bahawa ahli kitab juga dikira sebagai ummi, yang ada dari kalangan diorang menulis kitab dengan tangan diorang sendiri, kemudian mendakwa ia datang dari Allah.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 78 dan 79;

“Dan diantara mereka ada yang ummi, tidak mengetahui Al Kitab (Taurat), kecuali dongengan bohong belaka dan mereka hanya menduga-duga. Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis Al Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya; “Ini dari Allah”, (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa yang mereka kerjakan,”

Jika diorang boleh menulis kitab dengan tangan sendiri, jadi tak masuk akal jika dianggap diorang tidak pandai membaca. Jika benar diorang tak pandai membaca dan menulis, kenapa diorang disebut sebagai ummi dalam ayat ini?

Tulis jangan tak tulis. Via Giphy

Dari sudut bahasa arab pulak, ada beberapa kalimah yang merujuk kepada membaca. Membaca dalam maksud sekadar suara yang berbunyi disebut sebagai “tilawah”, sama ada secara melihat pada sesuatu tulisan atau tidak melihat. Dalam masyarakat kita, dikenali sebagai majlis tilawah al-Quran; didatangkan qari yang baca al-Quran dengan bacaan yang bagus.

Dalam al-Quran, terdapat kalimah tilawah, iaitu firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 113;

“Dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai suatu pegangan”, dan orang-orang Nasrani berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan,” padahal mereka (sama-sama) membaca (tilawah) Al Kitab. Demikian pula orang-orang yang tidak mengetahui, mengatakan seperti ucapan mereka itu. Maka Allah akan mengadili diantara mereka pada hari Kiamat, tentang apa-apa yang mereka berselisih padanya,”

Boleh jadi juga sebutan tu tu bermaksud rujukan utama…

Al-Imam al-Syafie ada karang sebuah kitab yang bernama al-Umm, yang ramai menterjemahnya sebagai induk. Dari sudut al-Quran, didapati kalimah ummi ni merujuk kepada sesuatu yang induk juga, seperti firman Allah dalam surah ali-Imran, ayat 7;

“Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Quran) kepada kamu. Di antara (isi) nya ada ayat-ayat yang muhkamaat, itulah induk al-Kitab dan yang lain (ayat-ayat) mutasyaabihaat,”

Via Media Indonesia

Ayat ni jelaskan bahawa ayat-ayat muhkamat itu adalah “Umm”, iaitu  induk kepada al-Kitab, atau sebagai sumber utama. Kalimah “Umm al-Kitab” tidak layak diterjemah sebagai tidak tahu membaca, malahan tidak masuk akal dengan terjemahan itu. Dalam ayat lain, iaitu dalam surah al-Ra’d, ayat 39 – “Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisi-Nya-lah terdapat Ummul-Kitab.”

Dalam ayat ni, disebut kalimah “umm al-Kitab” yang ramai ulama tafsir maksudnya sebagai Luh Mahfuz, yang merupakan sumber induk. Menterjemah ‘umm’ di sini sebagai tidak tahu membaca adalah tidak tepat.

Hahhh…faham?! Via Giphy

Justeru, kalimah ummi ni layak dimaksudkan sebagai sesuatu rujukan induk. Hal ini sepertimana firman Allah dalam surah al-Zukhruf, ayat 22-23;

“Bahkan mereka berkata: “Sesungguhnya kami mendapati bapak-bapak kami menganut suatu agama, dan sesungguhnya kami orang-orang yang mendapat petunjuk dengan (mengikuti) jejak mereka.” Dan demikianlah, kami tidak mengutus sebelum kamu seorang pemberi peringatanpun dalam suatu negeri, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami mendapati bapak-bapak kami menganut suatu agama dan sesungguhnya kami adalah pengikut jejak-jejak mereka,”

Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim disifatkan sebagai “Ummah”, iaitu induk yang menjadi rujukan utama.

Inilah maksud sebenar ayat ummi yang sering digaduhkan oleh orang ramai…

Jadinya, ummi dalam maksud yang sebenar adalah insan secara fitrah yang tidak punyai sebarang pengaruh luaran, seperti faktor kebudayaan, masyarakat dan sebagainya, lalu dijadikan sebagai rujukan induk.

Walaupun Nabi saw pandai membaca, tidak bermakna Nabi saw dipengaruhi perkara luaran, kerana dalam al-Quran, Allah swt ada menyatakan bahawa wahyu yang disampaikan Nabi saw semestinya didahului dengan bacaan dari Jibril kepada Nabi saw terlebih dahulu, sepertimana disebut dalam surah taha, ayat 114, “dan janganlah kamu tergesa-gesa membaca Al-qur’an sebelum disempurnakan mewahyukannya kepadamu.”

Artikel ini diambil dari artikel yang dikarang oleh ustaz Wan Ji bin Wan Hussin yang merupakan Pengarah Akademik SAUDARA. Dia menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir (Ijazah Syariah Islamiyyah) dan memperolehi Sarjana Sastera di Universiti Malaysia Kelantan (kajian Maqasid Syariah). Beberapa kandungan dalam artikel ini telah disunting oleh pasukan editorial ORANGKATA. Untuk penjelasan yang lebih lengkap, sila rujuk artikel asal.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print